HDB lancar 6,800 flat BTO pada Okt ini
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 6,800 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk dijual hari ini (4 Okt).
Flat-flat tersebut dilancarkan bagi lapan projek di kedua-dua estet matang dan belum matang.
Enam daripada projek tersebut, atau kira-kira 75 peratus daripada flat yang ditawarkan, mempunyai tempoh menunggu tidak melebihi empat tahun.
PILIHAN LUAS FLAT MAMPU MILIK BAGI BAJET DAN KEPERLUAN BERBEZA
Lapan projek BTO bagi pelancaran tersebut terletak di Choa Chu Kang, Kallang/ Whampoa, Queenstown, dan Tengah. Pelbagai pilihan flat, dari Flexi dua bilik hingga flat 3Gen, ditawarkan untuk memenuhi keperluan kediaman yang berbeza.
Flat baharu tersebut ditetapkan pada harga dengan potongan harga pasaran yang ketara untuk memastikan ia mampu dimiliki.
Atas sebab itu, harga jualannya juga lebih rendah daripada harga urus niaga flat jualan semula yang serupa.
Keluarga yang memohon buat kali pertama, yang layak, boleh meraih manfaat Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG) sehingga S$80,000.


75% FLAT BTO MEMPUNYAI TEMPOH MENUNGGU TIDAK MELEBIHI 4 TAHUN
Enam daripada lapan projek BTO pada pelancaran tersebut, atau 75 peratus yang ditawarkan pada kedua-dua estet matang dan belum matang, mempunyai tempoh menunggu empat tahun atau kurang.
Bagi pembeli flat yang ingin berpindah pada masa terdekat, mereka boleh menimbangkan untuk memohon bagi flat di Plantation Edge I & II di Tengah dan Rail Green I @ CCK. Ia mempunyai tempoh menunggu paling singkat berbanding projek lain pada pelancaran jualan tersebut, antara tiga tahun dengan tiga tahun empat bulan.
PERUMAHAN AWAM LOKASI UTAMA
Dua projek, Verandah @ Kallang dan Tanglin Halt Cascadia pula akan ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH).
20 peratus flat PLH di Verandah @ Kallang dan Tanglin Halt Cascadia akan diperuntukkan untuk keluarga yang memohon buat kali pertama, dan 2 peratus untuk keluarga yang memohon untuk kali kedua di bawah Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berumahtangga (MCPS).
PENGENALAN KATEGORI IBU BAPA & PASANGAN KALI PERTAMA
Untuk memudahkan bantuan bagi segolongan keluarga yang memohon untuk kali pertama, serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat, Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB akan memperkenalkan kategori keutamaan Ibu Bapa dan Pasangan Kali Pertama (FT(PMC)) seperti yang diumumkan semasa Jawatankuasa Peruntukan 2023. Kategori itu akan disertakan dalam pelancaran BTO kali ini.
Pemohon kali pertama tidak perlu membuat permintaan bagi kategori itu. HDB akan menilai dan memaklumkan kepada mereka tentang kelayakan mereka selepas mereka menyerahkan permohonan baharu bagi flat mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.