HDB lancar 5,500 flat BTO untuk dijual; kebanyakan siap kurang 4 tahun
Gambaran pelukis bagi Serangoon North Vista. (Gambar: HDB)
SINGAPURA: Sebanyak 5,495 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dilancarkan bagi penjualan pada Selasa (30 Mei), merentasi lima projek di kawasan perumahan Bedok, Kallang Whampoa, Serangoon dan Tengah.
Hampir 90 peratus flat BTO, iaitu empat daripada lima projek ditawarkan, memiliki masa menunggu kurang dari empat tahun, dedah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam kenyataan medianya.
Ini sekali gus menjadikan pelancaran bagi penjualan flat BTO pada bulan Mei salah satu pelancaran BTO dengan bahagian tertinggi flat untuk siap dibina kurang dari empat tahun sejak beberapa tahun lalu, jelasnya.
Masa menunggu purata bagi flat yang dilancarkan pada bulan Mei adalah sekitar tiga tahun lima bulan, tambah HDB.
Mereka yang berhasrat berpindah masuk ke flat mereka lebih awal boleh menimbangkan memohon bagi flat di Parc Meadow @ Tengah, yang mempunyai masa menunggu antara tiga tahun satu bulan dengan tiga tahun empat bulan.
Masa menunggu bagi empat projek lain - Plantation Verge di Tengah, Bedok South Blossoms, Serangoon North Vista dan Farrer Park Arena - adalah antara tiga tahun lima bulan hingga empat tahun.
HDB pada Selasa menyatakan lagi 1,500 unit Penjualan Flat Baki (SBF) juga ditawarkan untuk dijual.
PERMINTAAN KUKUH DI BEDOK DAN SERANGOON
Pilihan luas flat, iaitu dari unit flexi dua bilik hingga flat 3Gen, ditawarkan bagi memenuhi keperluan perumahan yang rencam, jelas HDB bagi pelancaran flat kali ini.
Secara khususnya, flat lima bilik akan ditawarkan di bandar matang Bedok dan Serangoon, sekali gus membentuk lebih 40 peratus jumlah bekalan flat lima bilik bagi pelancaran BTO pada bulan Mei.
Menurut pengarah kanan bagi kajian di Huttons Asia, Lee Sze Teck, pelancaran BTO sebelum ini di Bedok South adalah pada November 2006. Maka itu, permintaan di kawasan kejiranan Bedok dijangka tinggi.
Serangoon juga dijangka menyaksikan trend serupa, jelas Encik Lee.
Harga flat-flat baru akan ditetapkan lebih rendah berbanding harga urus niaga flat jualan semula serupa disebabkan potongan harga besar bagi pasaran, menurut HDB.
Keluarga kali pertama yang layak boleh meraih manfaat daripada Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan (EHG) sebanyak sehingga S$80,000.
Dengan EHG, pembeli flat boleh membayar jumlah minimum S$163,000 bagi flat tiga bilik dan S$290,000 bagi flat empat bilik bagi estet belum matang di Tengah dan boleh membuat bayaran gadai janji melalui CPF, dengan tiada atau hampir tiada bayaran tunai, jelas HDB.
Di estet matang di mana harga adalah lebih tinggi, harga selepas geran bermula dari S$260,000 dan S$403,999 masing-masing bagi flat tiga bilik dan empat bilik di Bedok.
Farrer Park Arena, dengan sebanyak 569 unit flat tiga bilik dan empat bilik, adalah satu-satunya projek yang ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) dalam pelancaran bagi penjualan flat kali ini.
PROJEK BTO MASA DEPAN
Pada Ogos 2023, HDB akan menawarkan sekitar 6,700 flat BTO di bandar atau estet seperti Choa Chu Kang, Tengah, Kallang/Whampoa dan Queenstown.
Sekitar 6,300 flat akan ditawarkan di bandar atau estet seperti Bukit Panjang, Jurong West, Woodlands, Bedok, Bishan, Bukit Merah dan Queenstown pada November 2023.
"Ia mungkin akan disemak semula sedang lebih banyak butiran projek akan ditetapkan menghampiri tarikh pelancaran," jelas HDB. "HDB akan terus memantau permintaan perumahan dengan teliti. Kami masih berada di landasan yang betul untuk melancarkan sebanyak 100,000 flat dari 2021 hingga 2025."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.