Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB lancar 5,032 flat BTO pada Feb, termasuk projek Prime di Tanjong Rhu

Flat-flat Prime di Tanjong Rhu merupakan antara 5,032 unit Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dilancarkan dalam pelancaran flat pada Februari 2025.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Feb 2025 05:40PM Dikemas Kini : 10 Feb 2025 10:35PM
SINGAPURA: Flat-flat Prime di Tanjong Rhu merupakan antara 5,032 unit Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dilancarkan dalam pelancaran flat pada Februari 2025.

Tanjong Rhu Parc Front di Kallang/Whampoa adalah satu-satunya projek dalam kategori Prime, daripada lima projek BTO yang dilancarkan, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (10 Feb).

Bersempadan dengan Tanjong Rhu Road, Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE) dan East Coast Parkway (ECP), projek itu menampilkan 812 flat Fleksi dua bilik, serta unit tiga bilik dan empat bilik daripada empat blok kediaman secara keseluruhannya.

Salah satu blok itu mempunyai 203 flat sewa.

Harga flat di Tanjong Rhu Parc Front, tidak termasuk geran, bermula dari S$211,000 hingga S$364,000 bagi flat Fleksi dua bilik, S$399,000 hingga S$519,000 bagi flat tiga bilik dan S$548,000 hingga S$727,000 bagi flat empat bilik.
Peta menunjukkan lokasi Tanjong Rhu Parc Front. (Gambar: laman HDB)

Flat Prime dan Plus merupakan rumah flat yang mempunyai ciri-ciri lokasi yang unggul.

Flat-flat tersebut diberi subsidi tambahan berbanding flat Standard untuk memastikan ia kekal mampu dimiliki oleh penduduk Singapura, namun ia tertakluk kepada syarat-syarat lebih ketat berhubung penjualan semula dan penyewaan bagi mengurangkan 'kesan loteri'.

Kadar subsidi yang perlu dipulangkan bagi satu-satunya projek Prime dalam penjualan BTO kali ini - iaitu Tanjong Rhu Parc Front - ditetapkan pada 9 peratus, manakala ia ditetapkan pada 8 peratus bagi satu-satunya projek Plus iaitu Stirling Horizon di Queenstown.

Ia berkadar dengan "tahap subsidi tambahan yang diberikan bagi setiap projek itu", menurut HDB.

"Subsidi tambahan, beserta syarat pemilikan yang lebih ketat, dapat bantu memastikan flat Plus dan Prime HDB kekal mampu dimiliki, pada penjualan asal dan juga bagi penjualan semula selanjutnya."

Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie, ketua penyelidikan dan kandungan PropNex Wong Siew Ying, pengarah kanan data analitik Huttons Asia Lee Sze Teck dan ketua penyelidikan dan analitik data SRI, Mohan Sandrasegeran berkata jumlah pemohon bagi projek BTO di Tanjong Rhu sebelum ini adalah tinggi.

Justeru, Tanjong Rhu Parc Front dijangka menarik permintaan serupa, kata mereka.

STIRLING HORIZON

Gambaran Stirling Horizon. (Gambar: laman HDB)
Bersempadan dengan Queensway Road dan Mei Chin Road, dan terletak berhampiran stesen MRT Queenstown, Stirling Horizon terdiri daripada tiga blok perumahan setinggi 35 hingga 47 tingkat, dan mempunyai 1,126 flat Fleksi dua bilik, serta unit tiga bilik dan empat bilik.

Harga bagi projek itu, tidak termasuk geran, bermula dari S$224,000 hingga S$365,000 bagi flat Fleksi dua bilik, S$408,000 hingga S$529,000 bagi flat tiga bilik dan S$554,000 hingga S$749,000 bagi flat empat bilik.

Pegawai Eksekutif Utama ERA Singapore, Eugene Lim berkata Stirling Horizon adalah projek Plus yang pertama di Queenstown.

"Berbanding dengan projek Prime BTO Queenstown yang dilancarkan pada Jun 2024, kami menyaksikan harga permulaan lebih rendah bagi flat empat bilik berbanding flat-flat BTO di Holland Village dan Tanglin pada tahun lalu," katanya.

"Terdapat juga flat tiga bilik yang dikecualikan daripada projek tahun lalu."

Dua projek di Yishun dan satu di Woodlands North Coast berada dalam kategori Standard dalam penjualan BTO pada Februari.

Chencharu Vines dan Chencharu Greens - kedua-duanya di Yishun - mempunyai 1,531 flat Fleksi dua bilik, serta unit tiga bilik, empat bilik dan lima bilik.

Dengan sebanyak 1,563 flat Fleksi dua bilik hingga lima bilik, Woodlands North Verge adalah projek terbesar daripada kelima-lima projek yang dilancarkan pada Februari.

Terletak berhampiran stesen MRT Woodlands North serta Taman Admiralty, ia juga adalah projek BTO pertama yang akan dilancarkan di daerah Woodlands North Coast yang baharu.

MASA MENUNGGU

Lapan daripada 10 flat BTO yang dilancarkan dalam penjualan BTO kali ini mempunyai masa menunggu selama empat tahun atau kurang daripada itu, menurut HDB.

Dijangka siap dalam tempoh kira-kira 37 bulan, para pembeli flat Chencharu Vines mempunyai tempoh menunggu paling singkat antara kelima-lima projek itu.

Para pembeli dapat menjangkakan masa menunggu selama empat tahun dan tujuh bulan bagi Stirling Horizon - iaitu tempoh paling lama dalam penjualan kali ini - manakala flat-flat di Woodlands North Verge dan Tanjong Rhu Parc Front mempunyai masa menunggu sekitar empat tahun.

Di samping 5,032 flat BTO yang dilancarkan dalam penjualan kali ini, lagi 5,590 Jualan Baki Flat (SBF) di merata Singapura ditawarkan untuk penjualan dalam sesi SBF terkini.

"Para pembeli flat yang mahu berpindah ke flat mereka lebih awal boleh menimbangkan untuk membuat permohonan bagi baki flat di bawah sesi SBF, di mana 40 peratus flatnya sudah siap dibina," menurut HDB.

Ia menambah bahawa pemohon bujang kali pertama kini boleh memilih daripada 2,759 flat Fleksi dua bilik dalam penjualan BTO dan SBF terkini.

"Walaupun rangka klasifikasi flat baharu itu tidak tertakluk kepada unit SBF yang ditawarkan untuk penjualan semua di bawah penjualan SBF, pemohon bujang kali pertama masih boleh memohon bagi mana-mana flat Fleksi dua bilik SBF di seluruh Singapura," menurut HDB.

Permohonan flat dalam sesi penjualan kali ini boleh dibuat online menerusi Portal Flat HDB mulai 10 Februari hingga 17 Februari dan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tempoh lapan hari.

Para pemohon harus mempunyai sijil Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah sebelum mereka boleh mohon bagi flat baharu dan waktu proses permohonan mungkin mengambil lebih lama pada waktu sibuk seperti semasa pelancaran flat BTO.

PELANCARAN FLAT BTO JULAI 2025

Disebabkan oleh jumlah flat yang banyak dilancarkan semasa penjualan BTO dan SBF pada Februari, HDB menjangkakan ia akan menerima banyak permohonan.

Untuk memberikan lebih banyak masa untuk memproses kesemua permohonan, penjualan BTO seterusnya akan diadakan pada Julai, menurut HDB.

Sekitar 5,400 flat di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Sembawang, Tampines, Toa Payoh dan Woodlands akan ditawarkan untuk penjualan dalam sesi seterusnya.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan