Skip to main content

Singapura

HDB lancar 4 projek Prime pada Okt

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (15 Okt) melancarkan empat projek Prime untuk dijual di Bishan, Bukit Merah dan Toa Payoh sebagai sebahagian daripada penjualan Bina Ikut Tempahan (BTO) bagi bulan Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Oct 2025 03:17PM Dikemas Kini : 15 Oct 2025 10:35PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (15 Okt) melancarkan empat projek Prime untuk dijual di Bishan, Bukit Merah dan Toa Payoh sebagai sebahagian daripada penjualan Bina Ikut Tempahan (BTO) bagi bulan Oktober.

Antara empat projek itu, Berlayar Residences yang terletak di tapak lama Keppel Club, akan mempunyai kadar subsidi yang dikembalikan sebanyak 14 peratus, iaitu paras tertinggi setakat ini.

Ia juga merupakan projek BTO pertama yang dilancarkan di kawasan perumahan baharu di Kawasan Pesisiran Selatan.

Redhill Peaks di Bukit Merah dan Mount Pleasant Crest di Toa Payoh masing-masing mempunyai kadar subsidi yang dikembalikan sebanyak 12 peratus, manakala kadar bagi projek Bishan Terraces ialah 10 peratus.

Lebih 9,100 flat di bawah 10 projek dilancarkan untuk dijual pada Rabu, termasuk sebuah projek Apartmen Jagaan Masyarakat di Sengkang.

Sekitar 3,300 flat BTO di Bedok, Sengkang dan Yishun dijangka mempunyai tempoh menunggu lebih singkat, iaitu kurang daripada tiga tahun.

Ini merupakan pelancaran BTO pertama yang melaksanakan Skim Penjagaan Keluarga (Undian Bersama), yang membolehkan ibu bapa dan anak-anak mereka, tanpa mengira status perkahwinan, memohon dua unit dalam projek perumahan yang sama, sekiranya terdapat flat Fleksi dua bilik, atau tiga bilik, yang ditawarkan.

FLAT PLUS DAN PRIME

Sebuah projek Plus di Ang Mo Kio turut dilancarkan untuk dijual, dengan kadar subsidi yang dikembalikan sebanyak tujuh peratus apabila dijual semula.

Flat Plus dan Prime terletak di kawasan yang dijangka mempunyai nilai pasaran lebih tinggi pada masa hadapan.

Oleh itu, flat-flat tersebut ditawarkan dengan subsidi tambahan agar ia kekal dimampui. Ia juga tertakluk kepada syarat jualan yang lebih ketat, termasuk tempoh pendudukan minimum selama 10 tahun.

“Kadar subsidi yang dikembalikan ini sepadan dengan jumlah subsidi tambahan yang diberikan bagi setiap projek berkenaan,” menurut HDB.

Pegawai Eksekutif ERA Singapore, Eugene Lim, berkata kadar subsidi yang dikembalikan sebanyak 14 peratus bagi Berlayar Residences adalah lebih seganda daripada kadar enam peratus yang diperkenalkan semasa model flat Prime pertama kali dilancarkan pada 2022.

“Langkah ini akan menggalakkan pemilikan jangka panjang, terutama sekali memandangkan subsidi dan geran yang ditawarkan di bawah model PLH (Perumahan Awam Lokasi Utama) adalah agak besar, di samping kelebihan bagi pembeli awal di kawasan perumahan baharu,” kata beliau.
Related article image
Bagi menyokong warga emas untuk hidup secara berdikari dalam masyarakat, HDB akan menawarkan 207 unit apartmen jagaan masyarakat di Fernvale Plains, Sengkang.

Ini merupakan projek Apartmen Jagaan Masyarakat kelima yang dilancarkan.

Warga emas yang layak dan ingin membeli apartmen jagaan masyarakat atau flat Fleksi dua bilik boleh memohon Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) yang dipertingkat sehingga S$40,000 apabila ia berkuat kuasa pada Disember.

“Bonus yang dipertingkat ini memberi sokongan lebih besar kepada warga emas yang memilih untuk menyesuaikan kediaman mereka dan menambah pendapatan persaraan,” menurut HDB, sambil menambah bahawa warga emas yang membeli flat tiga bilik dalam penjualan BTO kali ini layak menerima bonus tunai sehingga S$30,000.
Related article image
Di bawah Skim Penjagaan Keluarga yang baharu, sehingga 15 peratus daripada flat Fleksi dua bilik, dan tiga bilik, akan diperuntukkan bagi golongan ibu bapa, manakala sehingga 15 peratus daripada flat Fleksi dua bilik hingga lima bilik diperuntukkan untuk anak-anak mereka.

Skim tersebut membolehkan ibu bapa dan anak-anak yang layak, tanpa mengira status perkahwinan, memohon dua unit dalam projek BTO yang sama.

Mereka yang ingin membeli rumah dalam pelancaran BTO pada Oktober perlu mempunyai surat Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah ketika mengemukakan permohonan.

Secara keseluruhan, HDB sudah melancarkan 29,975 flat baharu pada 2025, terdiri daripada 19,723 flat BTO dan 10,252 unit di bawah pelaksanaan jualan baki flat.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bekalan BTO dari 2021 hingga 2025 mencecah sekitar 102,400 flat, melebihi komitmen awal HDB untuk membina 100,000 flat baharu dalam tempoh lima tahun.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita