Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB lancar 4,501 flat BTO, termasuk unit PLH di Rochor

Unit-unit BTO yang dilancarkan pada bulan merangkumi sembilan projek di enam estet perumahan.

Anggaran Waktu Membaca:
HDB lancar 4,501 flat BTO, termasuk unit PLH di Rochor

Ilustrasi River Peaks I dan II di Rochor. (Gambar: HDB)

Diterbitkan : 17 Nov 2021 07:13PM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 07:17PM

SINGAPURA: Sebanyak 4,501 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dilancarkan hari ini (17 Nov).

Ini termasuk 960 unit di Rochor, iaitu projek pertama di bawah Model Perumahan Awam Lokasi Perdana (PLH).

Flat-flat BTO di Rochor itu tertakluk kepada pemerolehan semula enam peratus subsidi oleh HDB apabila pemilik menjual semula rumah mereka, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Unit-unit BTO yang dilancarkan pada bulan November merangkumi sembilan projek di enam estet perumahan - di Kawasan Pusat Bandar, Choa Chu Kang, Hougang, Jurong West, Kallang Whampoa dan Tengah.

"Tempoh masa menunggu biasanya antara tiga dengan lima tahun, serupa dengan projek-projek BTO yang dilancarkan tahun-tahun sebelum ini, dengan tempoh median menunggu kira-kira 4.4 tahun," menurut HDB.

Tiga projek - Hougang Olive, Parc Clover @ Tengah and Parc Glen @ Tengah - mempunyai tempoh menunggu yang lebih singkat sekitar 2.4 hingga 2.8 tahun.

Projek-projek di Rochor - River Peaks I dan II - tempoh menunggunya adalah 71 bulan atau bawah enam tahun, menurut HDB.

Ini disebabkan oleh kerja-kerja persiapan tambahan yang diperlukan bagi tapak binaan, memandangkan jaraknya dengan stesen MRT Jalan Besar dan perlunya untuk mematuhi syarat-syarat lebih ketat.

Flat-flat Fexi dua bilik di Pembangunan Bersepadu baru di Choa Chu Kang hanya akan ditawarkan kepada mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas, dengan tempoh pajakan lebih singkat antara 15 dengan 45 tahun dan tempoh pajakan dinaikkan setiap lima tahun.

Lagi 1,798 flat yang ditawarkan adalah Jualan Baki Flat (SBF), membawa jumlah keseluruhan unit baru yang dilancarkan hari ini kepada sebanyak 6,299.

PEMEROLEHAN 6% SUBSIDI BAGI PROJEK PLH DI ROCHOR

Model Perumahan Awam Lokasi Perdana (PLH), yang diumumkan pada bulan lalu, bertujuan untuk "memastikan perumahan awam baru yang dibangunkan di lokasi-lokasi dekat bandar kekal dimampui dan mudah diakses oleh rakyat Singapura", menurut HDB.

"Oleh kerana flat-flat PLH diberikan subsidi tambahan, selain daripada subsidi-subsidi lain yang sudah diberikan bagi semua flat BTO hari ini, para pemilik PLH perlu mengembalikan kepada HDB sebahagian daripada harga jualan semula apabila flat mereka dijual," menurut HDB lagi.

"Subsidi-subsidi tambahan itu akan memastikan flat-flat PLH dimampui oleh sebahagian besar rakyat Singapura, manakala pemerolehan semula subsidi memastikan kesetaraan dengan para pemilik flat BTO lain yang tidak diberikan subsidi-subsidi tambahan itu."

Bagi River Peaks I dan II di Rochor, para pemilik akan membayar HDB 6 peratus harga jualan semula atau nilai taksiran, berdasarkan mana satu yang lebih tinggi, apabila mereka menjual flat dalam pasaran terbuka buat pertama kali.

"Jumlah yang akan diperolehi semula dipadankan mengikut jumlah subsidi tambahan yang diberikan," menurut HDB.

Para pemilik flat-flat itu juga berdepan tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun.

Terletak di Kelantan Road dan Weld Road, bersebelahan stesen MRT Jalan Besar dan Sim Lim Tower, kedua-dua pembangunan itu terdiri daripada enam blok setinggi 47 tingkat. Salah satu daripada blok itu akan menempatkan flat-flat sewa.

Daripada 960 unit untuk dijual itu, 280 adalah flat tiga bilik dan 680 adalah unit empat bilik.

Kuota keutamaan di bawah Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berumahtangga (MCPS) bagi River Peaks I dan II akan dikurangkan kepada dua pertiga daripada kuota biasa - 20 peratus bagi keluarga pembeli kali pertama dan sehingga dua peratus bagi keluarga pembeli kali kedua.

"Ini membolehkan perumahan awam di lokasi perdana menjadi lebih inklusif, kerana ia membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Singapura yang tidak mempunyai anggota keluarga yang tinggal berhampiran kawasan itu untuk tinggal di kejiranan tersebut," menurut HDB.

Permohonan bagi flat-flat yang dilancarkan dalam bulan November boleh dibuat online melalui InfoWEB HDB mulai hari ini sehingga 23 November.

Pada Februari 2022, HDB akan menawarkan sekitar 3,900 flat BTO di kawasan-kawasan seperti Geylang, Kallang Whampoa, Tengah dan Yishun.

Dalam bulan Mei 2022 pula, ia merancang untuk melancarkan 5,700 flat BTO di Bukit Merah, Jurong West, Queenstown, Tampines, Toa Payoh dan Yishun.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan