Skip to main content

Singapura

HDB lancar 10,200 flat baharu dengan 4 projek Prime

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 10,209 flat baharu pada Julai melalui penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), menurut HDB pada Rabu (23 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jul 2025 02:05PM Dikemas Kini : 25 Jul 2025 12:12AM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 10,209 flat baharu pada Julai melalui penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO), menurut HDB pada Rabu (23 Jul).

Ini termasuk 5,547 flat BTO dan 4,662 flat di bawah Jualan Baki Flat (SBF), menurut HDB dalam satu kenyataan media.

Masa menunggu bagi tujuh daripada 10 flat BTO yang dijual itu adalah selama empat tahun atau kurang daripada itu, termasuk 1,396 unit dengan masa menunggu kurang daripada tiga tahun di Clementi Emerald dan Bangkit Breeze.

Sembawang Beacon, iaitu projek BTO pertama di kawasan kejiranan Sembawang North yang baharu, menawarkan 775 unit dengan masa menunggu selama tiga tahun.

HDB turut menarik perhatian bahawa para pembeli flat yang mahu berpindah ke flat mereka lebih awal boleh menimbangkan untuk membuat permohonan melalui SBF, di mana 1,733 - atau lebih sepertiga daripada flat-flat SBF - sudahpun siap dibina.

FLAT BTO, SUBSIDI DIKEMBALIKAN

Terdapat empat projek BTO Standard dan empat projek Prime ditawarkan dalam penjualan kali ini, meliputi flat-flat dari Flat Fleksi 2 Bilik hingga ke 3Gen.

Projek-projek Standard yang ditawarkan adalah di Bukit Panjang, Sembawang, Tampines dan Woodlands manakala projek-projek Prime termasuk dua di Bukit Merah dan setiap satu di Clementi dan Toa Payoh.

"Untuk memastikan ia kekal dimampui, harga flat-flat baharu akan ditawarkan dengan diskaun pasaran yang ketara," menurut HDB.

Selain diskaun pasaran, flat-flat Prime - yang mempunyai nilai pasaran lebih tinggi disebabkan oleh ciri-ciri lokasinya yang lebih menarik - diberikan subsidi tambahan untuk memastikan ia kekal dimampui dan diakses oleh para penduduk.

Harga jualan bagi flat-flat baharu itu adalah lebih rendah berbanding harga urus niaga flat-flat jualan semula yang setanding, menurut HDB.

Selain itu, salah satu daripada sekatan tambahan yang dikenakan ke atas flat Prime adalah pengembalian subsidi sebaik sahaja ia dijual semula, yang diperolehi sebagai sebahagian daripada harga jualan semula atau taksiran flat itu, bergantung kepada yang mana satu lebih tinggi.

Alexandra Peaks, Alexandra Vista dan Toa Payoh Ascent mempunyai kadar subsidi yang dikembalikan sebanyak 11 peratus, manakala bagi Clementi Emerald pula kadarnya adalah 12 peratus.

"Ia setimpal dengan tahap subsidi tambahan yang diberikan untuk projek masing-masing," menurut HDB.

Keluarga pemohon kali pertama yang layak boleh menerima Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan sehingga S$120,000.

Dengan adanya geran, para pembeli boleh membeli flat tiga bilik pada harga bermula dari S$162,000 atau flat empat bilik pada harga bermula dari S$248,000, menurut HDB.

PERUBAHAN MULAI JULAI

HDB juga menggariskan beberapa perubahan yang berkuat kuasa mulai penjualan kali ini, termasuk penambahbaikan pada Skim Penjagaan Keluarga, yang akan memberikan keutamaan kepada para ibu bapa dan anak-anak mereka apabila memohon sebuah flat untuk tinggal bersama atau berhampiran satu sama lain.

Pertama kali diumumkan pada Mac lalu, kuota yang diperuntukkan bagi flat tiga bilik dan flat BTO lebih besar bagi keluarga pemohon kali kedua juga dinaikkan sebanyak 5 peratusan mata.

Peraturan bagi Skim Penilaian Pendapatan Tertunda (DIA) juga dipertingkatkan di mana hanya seorang daripada pasangan berkenaan adalah pelajar sepenuh masa atau anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) baru-baru ini atau semasa. Buat masa ini, kedua-dua pihak perlu memenuhi syarat itu.

Geran Perumahan Permulaan Baru yang disediakan bagi menyokong keluarga pembeli kali kedua untuk membeli Flat Fleksi 2 Bilik yang baharu atau flat tiga bilik dengan tempoh pajakan lebih singkat, juga dinaikkan kepada S$75,000 daripada S$50,000.
FLAT SBF

Sebanyak 4,662 flat SBF yang ditawarkan dalam pelancaran kali ini adalah lebih tinggi berbanding 3,000 unit flat yang ditawarkan HDB sebelum ini.

Bersama dengan 5,590 flat sedemikian yang ditawarkan pada Februari, keseluruhan bekalan flat SBF pada tahun ini mencecah 10,200 flat.

Ia adalah bekalan tahunan tertinggi flat-flat SBF sejak 2016, menurut HDB.

Seperti flat-flat BTO, flat-flat SBF diberikan subsidi dan harganya lebih rendah berbanding flat-flat jualan semula seumpamanya.

Golongan bujang yang membuat permohonan buat kali pertama boleh memohon mana-mana Flat Fleksi 2 Bilik SBF di merata Singapura dalam pelancaran kali ini, menurut HDB.

Permohonan flat boleh dibuat secara online menerusi Portal Flat HDB bermula Rabu (23 Jul) hingga 30 Jul.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita