HDB buka tender pasang panel suria di 1,290 blok flat, 99 tapak pemerintah
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan tender pada Jumaat (25 Feb) untuk memasang panel suria di 1,290 blok HDB serta 99 tapak pemerintah.

Gambar: Sembcorp Industries
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan tender pada Jumaat (25 Feb) untuk memasang panel suria di 1,290 blok HDB serta 99 tapak pemerintah.
Dengan kapasiti suria sebanyak 75 megawat-puncak (MWp), tender SolarNova itu akan memenuhi permintaan bagi flat HDB di majlis bandaran Bishan-Toa Payoh, Tanjong Pagar dan Jurong-Clementi
Tapak pemerintah yang mengambil bahagian dalam tender itu termasuk 57 sekolah, 37 tempat di kampus Politeknik Singapura (SP), Kelab Masyarakat Fuchun, dua tapak Penguasa Kewangan Singapura (MAS), bangunan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura SEAB) serta Politeknik Khatib yang akan datang.
Ini merupakan tender pajakan suria ketujuh di bawah program SolarNova HDB dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB), untuk mempercepatkan penggunaan sistem fotovolta suria (PV) di Singapura dan membantu memacu pembangunan industri suria negara.
Di bawah program itu, kuasa suria yang dijana digunakan dulu untuk khidmat umum di estet HDB seperti lif, lampu dan pam air pada siang hari, dengan tenaga lebihan disalurkan ke grid elektrik, kata HDB yang merupakan pemacu terbesar bagi pemasangan sistem PV suria di Singapura sekarang ini.
Termasuk tender terbaru itu, ia "memberi komitmen untuk menghasilkan kapasiti suria sebanyak 380 MWp bagi sekitar 8,400 blok HDB". Jumlah itu bersamaan dengan memberi bekalan tenaga kepada 95,000 flat empat bilik.
Sebanyak 2,700 blok HDB sudahpun dipasang panel suria setakat ini.
Tender ditutup pada 20 Mei 2022 dan disasarkan diberi pada suku keempat tahun ini. Pemasangan sistem PV suria dijangka selesai menjelang suku ketiga 2025.
Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada Program Bandar-Bandar Hijau HDB, yang dilancarkan pada 2020 dan bertujuan untuk menyediakan kehidupan yang mampan kepada semua bandar HDB sedia ada menjelang 2030.
Tenaga suria yang dijana itu membantu mengurangkan pelepasan karbon lantas mengurangkan kesan perubahan iklim, menurut HDB.
Ia menambah bahawa sasaran sebanyak 540 MWp menjelang 2030 berpotensi menjana sebanyak 648 GWh tenaga suria setiap tahun untuk memberi tenaga kepada 135,000 flat empat bilik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.