Skip to main content

Singapura

HDB bayar pampasan S$5.1 juta kepada hampir 900 pembeli flat selepas projek BTO Waterway Sunrise II tertangguh

Anggaran Waktu Membaca:
HDB bayar pampasan S$5.1 juta kepada hampir 900 pembeli flat selepas projek BTO Waterway Sunrise II tertangguh

(Gambar: HDB)

Diterbitkan : 04 Mar 2023 05:35PM Dikemas Kini : 04 Mar 2023 05:47PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan membayar pampasan bernilai sekitar S$5.1 juta kepada hampir 900 pembeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Punggol.

Ini selepas tarikh siap flat-flat tersebut tertunda selama lebih setahun, menurut HDB pada Sabtu (4 Mac). 

Dilancarkan pada Februari 2017, Waterway Sunrise II dijadual selesai dibina menjelang pertengahan 2021 dengan Tarikh Penyerahan Pemilikan (DPD) dianggarkan antara Mac hingga Jun 2022. 

DPD merujuk kepada tarikh kontrak yang sah di mana HDB dikehendaki di bawah Perjanjian Sewa-Beli menyerahkan flat berkenaan. 

Namun, garis masa pembinaan projek itu ditunda buat pertama kali disebabkan oleh kegagalan kontraktor asal, Lian Ho Lee Construction, dan kemudian angkara kekurangan tenaga manusia dan gangguan bekalan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Waterway Sunrise II adalah antara projek-projek BTO yang paling mengalami kelengahan sewaktu pandemik COVID-19 dan adalah satu daripada dua projek BTO selain Anchorvale Village di Sengkang, yang kelengahannya secara keseluruhan sudah melebihi setahun. 

Memandangkan ia menjangkaui DPD, HDB akan memberi pampasan kepada para pembeli flat Waterway Sunrise II atas kelengahan tersebut. 

Seramai 896 keluarga yang menempah flat Waterway Sunrise II sebelum Oktober 2021 layak menerima pampasan tersebut, menurut HDB.

Para pembeli flat akan menerima pampasan itu dalam tempoh dua bulan setelah selesai membeli flat mereka dan bersetuju untuk menerima perjanjian penyelesaian tersebut, tambahnya. 

Persetujuan penyelesaian itu menunjukkan jumlah pampasan yang pembeli flat itu layak menerima, berdasarkan tempoh sebenar kelengahan dan harga jualan flat yang ditempah. 


Para pembeli flat biasanya dikehendaki mengemukakan bukti perbelanjaan mereka yang layak untuk mendapatkan pampasan tersebut. 

Namun, untuk tidak menyusahkan para pembeli flat, HDB menawarkan untuk membayar balik "jumlah pampasan maksimum kepada pembeli flat Waterway Sunrise II yang layak menerima pampasan tersebut tanpa perlu menyerahkan sebarang bukti perbelanjaan mereka". 

Para pembeli flat bagi empat blok pertama yang selesai dibina sudahpun diberikan pampasan, menurut HDB.

Jumlah pampasan untuk pembeli yang terjejas bagi  kesemua tujuh blok dianggarkan antara S$1,000 hingga S$10,500, menurut HDB, sambil menambah bahawa purata jumlah pampasan adalah S$5,750. 

"Jumlah pampasan bagi kesemua 896 keluarga dianggarkan bernilai S$5,156,700," dedah HDB. 

Kesemua tujuh blok bagi projek BTO Waterway Sunrise II sudah siap dibina, dengan unit-unit di lima blok sedang diserahkan kepada para pembeli flat secara bertahap-tahap, menurut HDB pada Sabtu. 

Sekitar 58 peratus daripada 951 pembeli flat sudah menerima kunci bagi rumah baru mereka sejak Disember 2022, dedah HDB. 

Pemeriksaan terakhir bagi baki dua blok sedang dijalankan, menurut HDB, sambil menambah bahawa para pembeli boleh menjangkakan untuk menerima kunci rumah baru mereka menjelang hujung bulan ini.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita