Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB bakal selaraskan proses beli rumah, gabungkan penilaian kelayakan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan meringkaskan proses membeli flat dengan menggabungkan penilaian kelayakan bagi pembelian flat HDB, geran perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan pinjaman perumahan HDB ke dalam satu permohonan sahaja melalui Portal Flat HDB.

Sebaik sahaja mendapatkan surat Kelayakan Flat HDB (HFE), pembeli flat baru atau jualan semula akan dapat meraih pemahaman lebih baik bagi kos pembelian dan pilihan kewangan mereka, jelas HDB dalam kenyataan medianya pada Jumaat (28 Apr).

Surat HFE itu akan menggantikan surat Kelayakan Pinjaman HDB sedia ada mulai 9 Mei.

"Dengan lebih banyak ketelusan berhubung bajet perumahan dan pilihan kewangan mereka, pembeli flat juga dapat membuat keputusan lebih maklum dan hemat bagi pembelian rumah mereka," menurut HDB.

Buat masa ini, HDB menilai kelayakan pembeli bagi pembelian flat, geran perumahan CPF dan pinjaman perumahan HDB pada peringkat yang berbeza dalam proses membeli rumah.

Misalnya, apabila membeli flat baru, HDB sekarang ini menilai kelayakan pembeli untuk membeli rumah pada peringkat permohonan, manakala kelayakan bagi geran perumahan dinilai pada peringkat tempahan.

Kelayakan bagi pinjaman HDB dinilai pada peringkat permohonan surat HLE, dan pembeli perlu menunggu HDB untuk memaklumkan dan mengesahkan permohonan tersebut.

Bagi setiap penilaian, pembeli flat itu perlu menyediakan HDB dengan dokumen sampingan sewajarnya seperti penyata gaji dan CPF bagi pengesahan.

Di bawah proses sedia ada, pembeli flat baru dan jualan semula tidak dapat menentukan kelayakan mereka untuk membeli flat atau mendapatkan geran perumahan pada peringkat permohonan, yang mungkin menyebabkan "beberapa ketidaktentuan" berhubung bajet perumahan mereka, jelas HDB.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan