Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB bakal lancar sekitar 4,500 flat BTO; 2 projek baru PLH pada Mei

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 4,500 flat dan dua projek baru di bawah Model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) akan dilancarkan semasa penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Mei 2022.

Unit-unit itu akan ditawarkan di lima bandar - Bukit Merah, Jurong West, Queenstown, Toa Payoh dan Yishun - kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam catatan Facebooknya pada Isnin (23 Mei).

Encik Lee menambah bahawa salah satu projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Merah akan dilancarkan pada Ogos dan bukan Mei kerana "lebih banyak masa diperlukan untuk menyemak semula projek itu dan bagi menyebarkan lokasi projek-projek itu dengan lebih baik di estet-estet matang dan belum matang bagi setiap pelancaran flat baru".

"Secara keseluruhannya, HDB menepati sasaran untuk melancarkan sehingga 23,000 flat baru pada tahun ini," katanya.

Bilangan unit yang "besar" dalam pelancaran BTO pada Mei akan ditawarkan di estet-estet matang untuk memenuhi "permintaan kukuh untuk flat", tambah Encik Lee.

"Ia akan memenuhi keperluan keluarga muda yang ingin tinggal berhampiran dengan ibu bapa mereka yang sudah menetap di estet-estet matang sedia ada bagi penjagaan dan sokongan bersama yang lebih baik," kata Encik Lee.

Encik Lee juga berkata bahawa kadar permohonan bagi projekk di estet-estet matang dijangka kekal tinggi.

Para pembeli flat digalakkan supaya menimbangkan flat-flat BTO yang terletak di estet-estet belum matang seperti Jurong West dan Yishun di mana kadar permohonan "secara amnya lebih rendah" berbanding estet-estet matang, tambah Encik Lee.

Pelancaran BTO kali ini juga akan menyaksikan pelancaran serentak bagi Jualan Baki Flat, yang akan menawarkan unit-unit di pelbagai bandar dan estet merata negara.

"Flat-flat ini sedang dibina; malah ada yang sudah siap. Maka itu, para pembeli boleh menjangkakan flat-flat mereka siap lebih awal," kata Encik Lee.

PROJEK DI BAWAH MODEL LOKASI PERDANA

HDB juga akan melancarkan dua projek di bawah model PLH melalui pelancaran BTO itu menyusuli "sambutan kukuh" terhadap pelancaran sebelum ini, tambahnya.

Model PLH dilancarkan tahun lalu untuk memastikan semua flat HDB, termasuk yang terletak di lokasi perdana dan bandar, kekal dimampui dan boleh diakses dari semasa ke semasa.

"Kami akan terus menilai lokasi projek dan nilai pasaran, dan terus menawarkan projek-projek PLH dalam pelancaran seterusnya jika terdapat tapak-tapak yang tersedia dan sesuai," kata Encik Lee.

Sementara itu, sesi pemilihan projek pertama PLH di River Peaks I dan II di Rochor sedang dijalankan, tambahnya.

"Kira-kira 80 peratus pembeli yang diundang untuk sesi pemilihan tersebut sudah menempah flat mereka setakat ini, lebih tinggi daripada purata 60 peratus untuk kebanyakan projek BTO."

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan