Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB ambil tindakan segera dapatkan semula geran perumahan salah diberikan kepada pemohon

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) segera mengambil tindakan untuk mendapatkan semula geran perumahan yang tersilap diberikan kepada 12 pemohon yang tidak layak, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di Parlimen pada Isnin (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
HDB ambil tindakan segera dapatkan semula geran perumahan salah diberikan kepada pemohon

Sebuah blok HDB di Singapura. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 07:02PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 07:04PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) segera mengambil tindakan untuk mendapatkan semula geran perumahan yang tersilap diberikan kepada 12 pemohon yang tidak layak, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di Parlimen pada Isnin (13 Sep).

HDB juga sedang berusaha untuk mengesahkan kelayakan lagi 1,055 pemohon yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara (AGO) dalam audit terkini terhadap agensi-agensi awam.

Proses pengesahan dijangka selesai "menjelang atau sebelum hujung tahun ini", kata Encik Lee menjawab Anggota Parlimen Sylvia Lim (WP-Aljunied) berhubung kelemahan yang dikesan oleh AGO dalam laporannya pada Julai lalu.

AGO, dalam auditnya terhadap akaun pemerintah bagi tahun 2020/2021 menyatakan bahawa geran perumahan sebanyak S$405,000 telah diberikan kepada pemohon yang tidak layak.

Penemuan itu dibuat setelah pemeriksaan ke atas 22,627 permohonan flat jualan semula HDB yang menerima Geran Keluarga atau Geran Bujang semasa tempoh 1 April 2018 hingga 30 Sep tahun lalu.

"AGO juga mendapati bahawa HDB memberikan geran kepada 13 pemohon yang tidak memenuhi kriteria kelayakan. Dalam kalangan 13 pemohon itu, HDB kemudian mengesahkan bahawa seorang pemohon dinilai layak menerima geran," kata Encik Lee.

Siasatan lanjut menunjukkan bahawa geran itu tersilap diagihkan kepada baki 12 pemohon kerana "mereka gagal mengesahkan maklumat penting seperti gaji sebenar dan memiliki hartanah privet kepada HDB".

Kegagalan untuk memberikan maklumat itu tidak dikesan dalam pemeriksaan pengesahan, kata Encik Lee.

Cik Lim bertanya jika mungkin terdapat kes serupa yang dilakukan secara tidak sengaja dan mungkin timbul akibat salah faham tentang kriteria kelayakan atau maklumat yang perlu diberikan.

Encik Lee berkata pihak berkuasa akan melihat pada fakta dan situasi di sebalik setiap kes.

Selain daripada mengambil tindakan untuk mendapatkan semula geran itu, HDB juga akan mempertingkatkan proses pemeriksaan kelayakan termasuk menggunakan sistem automasi.

Pemohon geran perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mesti mengisytiharkan semua maklumat relevan tentang diri mereka dan penghuni yang akan tinggal bersama mereka di flat HDB itu serta menyerahkan dokumen bukti pendapatan, pekerjaan dan butiran pemilikan hartanah privet jika ada.

HDB kemudian akan menilai setiap permohonan secara manual dengan mengesahkan pendapatan yang diisytiharkan berdasarkan dokumen yang dihantar oleh pemohon dan penghuni bersama mereka. Ini termasuk surat gaji, surat majikan, kenyataan komisen dan sejarah sumbangan CPF.

Bagi pemilikan hartanah privet, HDB akan mengesahkannya bersama dokumen-dokumen seperti Notis Pemindahan, Instrumen Pemindahan serta Perjanjian Jualan & Pembelian.

Encik Lee berkata proses pengesahan seringkali rumit terutama sekali jika pembeli flat dan penghuni bersama mempunyai pelbagai sumber pendapatan atau memiliki hartanah, di dalam dan luar negara.

Peningkatan proses dan sistem automasi bagi pemeriksaan katanya, akan membantu HDB memeriksa kelayakan pemohon secara berkesan dan tepat.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan