Skip to main content

Singapura

HDB akan peroleh kedai kejiranan milik persendirian jika perlu selepas harga sewa naik mendadak

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan memperoleh secara terpilih kedai-kedai HDB milik persendirian jika perlu dan menaikkan bekalan keseluruhan kedai-kedai HDB, di tengah-tengah harga sewa yang meningkat bagi kedai-kedai milik persendirian, kata Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling di parlimen pada Rabu (24 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 24 Sep 2025 02:53PM Dikemas Kini : 29 Sep 2025 11:53AM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan memperoleh secara terpilih kedai-kedai HDB milik persendirian jika perlu dan menaikkan bekalan keseluruhan kedai-kedai HDB, di tengah-tengah harga sewa yang meningkat bagi kedai-kedai milik persendirian, kata Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling di parlimen pada Rabu (24 Sep).

Dengan kenaikan dalam jumlah bekalan kedai HDB, perkadaran lebih tinggi adalah kedai-kedai yang disewakan secara langsung oleh HDB, di mana kadar sewanya kekal stabil sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Cik Sun menjawab beberapa soalan di parlimen mengenai kos menyewa unit komersial HDB, menyusuli laporan mengenai kadar sewa yang meningkat di kawasan kejiranan.

Terdapat kira-kira 15,500 kedai HDB di Singapura, kata Cik Sun.

Daripada jumlah itu, kira-kira 8,500 adalah milik persendirian, manakala sekitar 7,000 disewakan oleh HDB.

“Kami sedia maklum bahawa kadar sewa bagi setiap kaki persegi kedai HDB milik persendirian telah meningkat dengan mendadak baru-baru ini,” katanya.

Kadar sewa bagi kedai milik persendirian HDB dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh setahun lalu, manakala kadar sewa bagi kedai yang disewakan HDB kekal stabil, menurut laporan akhbar Straits Times pada awal September.

Dalam jawapannya, Cik Sun berkata kenaikan dalam kadar sewa itu bertepatan dengan kadar lebih tinggi urus niaga sewa melibatkan unit-unit bersaiz kecil, yang seringkali mempunyai kadar sewa lebih tinggi bagi setiap kaki persegi.

Terdapat kira-kira 740 kedai HDB milik persendirian yang dijual dengan pajakan 30 tahun, lebih 80 peratus daripadanya mempunyai tempoh pajakan tinggal kurang daripada 10 tahun.

“Kedai-kedai itu secara berperingkat akan dipulangkan kepada HDB dan kemudiannya disewakan semula,” katanya.

Selain kedai-kedai tersebut, Cik Sun berkata terdapat 7,700 lagi kedai HDB milik persendirian yang dijual dengan tempoh pajakan selama 99 tahun dan masih mempunyai tempoh pajakan lebih 30 tahun.

Sejak 1998, HDB menghentikan penjualan kedai HDB kepada pemilik persendirian, dan kini hanya menyewakannya secara langsung kepada perniagaan.

Memandang ke hadapan, Cik Sun berkata HDB akan meningkatkan keseluruhan jumlah kedai HDB, dengan perkadaran lebih tinggi disewakan secara langsung oleh pemerintah.

“Kami juga akan menambah bekalan runcit baharu bagi memenuhi permintaan di estet sedia ada apabila perlu, termasuk pilihan untuk memperoleh secara terpilih kedai HDB milik persendirian jika perlu,” kata Cik Sun.

KADAR SEWA KEDAI DISEWAKAN SECARA LANGSUNG OLEH HDB KEKAL STABIL

Bagi kedai-kedai yang disewakan oleh HDB, terdapat “pelbagai langkah yang dilaksanakan” untuk memastikan kadar sewa kekal stabil, katanya.

Semua kedai lazimnya disewakan HDB untuk tempoh selama tiga tahun. Apabila tempoh sewa tamat, kadar sewa bagi tempoh seterusnya akan dinilai oleh penilai profesional yang dilantik oleh HDB.

HDB akan mengambil kira kadar sewa semasa bagi premis serupa di kawasan berdekatan dan mengambil kira keadaan pasaran semasa.

Cik Sun berkata berdasarkan pendekatan itu, kadar sewa bagi 90 peratus kedai HDB yang disewakan tidak meningkat sepanjang tempoh lima tahun lalu.

Sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kadar sewa purata meningkat pada "tahap sederhana" antara 1.3 hingga 3.3 peratus setahun, tambah beliau.

KADAR SEWA KEMUDAHAN PERUBATAN

Berhubung kadar sewa kedai-kedai HDB yang ditawarkan untuk bidaan sebagai kemudahan perubatan, Cik Sun berkata kadar sewa purata bagi setiap kaki persegi adalah S$10.40 pada 2020.

Jumlah itu meningkat kepada S$22.70 tahun lalu dan S$28.50 pada separuh pertama 2025.

Sehingga baru-baru ini, HDB menyewakan kebanyakan unit kedai bagi klinik-klinik GP semata-mata berdasarkan harga, kata Cik Sun.

Pada Jun, Mediacorp melaporkan bahawa sebuah syarikat GP membuat bidaan melebihi S$52,000 bagi sebuah kedai HDB di Tampines.

Sejak Mei lalu, HDB dan Kementerian Kesihatan merintis penggunaan kaedah harga-kualiti dalam bidaan bagi klinik-klinik GP. Bidaan pertama di bawah rangka kerja itu dianugerahkan kepada sebuah klinik GP di Bartley Beacon pada kadar S$16.70 setiap kaki persegi, kata Cik Sun.

Kadar itu adalah lebih rendah berbanding kadar bidaan purata sebanyak S$35.50 bagi setiap kaki persegi bagi bidaan klinik GP yang ditetapkan di projek perumahan baharu yang dianugerahkan sepanjang tempoh tiga tahun lalu.

Berhubung kadar sewa bagi unit yang disewakan semula, Cik Sun berkata HDB tidak mengumpulkan data itu kerana ia tertakluk kepada perjanjian kontrak antara penyewa utama dan penyewanya.

“Kami memahami kebimbangan bahawa harga sewa bagi unit sewaan semula boleh meningkat lebih ketara berbanding apa yang dikenakan oleh HDB terhadap penyewa utama," kata Cik Sun.

Beliau menambah HDB akan memantau keadaan dan “meneroka cara yang sesuai” untuk menyediakan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita