Skip to main content

Singapura

HDB akan beli semula flat dari penjual hadapi kesulitan dek Dasar Integrasi Kaum

Para pemilik flat yang menghadapi kesukaran untuk menjual flat mereka kerana tertakluk oleh Dasar Integrasi Kaum (EIP) kini boleh menjual flat mereka kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada "harga yang wajar", menurut pihak berkuasa pada Selasa (8 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Mar 2022 06:39PM Dikemas Kini : 08 Mar 2022 09:00PM

SINGAPURA: Para pemilik flat yang menghadapi kesukaran untuk menjual flat mereka kerana tertakluk oleh Dasar Integrasi Kaum (EIP) kini boleh menjual flat mereka kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada "harga yang wajar", menurut pihak berkuasa pada Selasa (8 Mac).

Di bawah EIP, yang diperkenalkan pada 1989, kuota ditetapkan bagi flat-flat yang dimiliki oleh setiap kaum di sebuah blok HDB atau kejiranan untuk mengelakkan penumpuan mana-mana kaum.

Apabila had yang ditetapkan sudah dicapai, flat-flat tidak lagi boleh dijual kepada pembeli yang terjejas, melainkan jika penjual dan pembeli flat adalah dari kaum yang sama.

Berucap di Parlimen, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee menekankan betapa pentingnya dasar itu, sambil menarik perhatian bahawa sesetengah pemilik mungkin menghadapi kesukaran untuk menjual flat mereka berdasarkan had yang ditetapkan.

Bantuan sedia ada termasuk memberikan mereka lebih masa untuk menjual flat, atau mengetepikan had EIP bagi "keadaan luar biasa".

Namun ia bukan langkah yang mampan untuk terus berbuat demikian kerana ia akan "menghakis matlamat yang ingin dicapai melalui EIP", katanya.

Setelah mengkaji pelbagai idea, termasuk memberi geran kepada keluarga yang perlu menjual flat mereka pada harga yang lebih rendah, beliau berkata pilihan "yang terbaik" adalah untuk membeli semula flat-flat tersebut.

"Ini bukan keputusan yang kita ambil mudah, kerana ia memerlukan sumber pemerintah yang ketara. Namun kami percaya bahawa ia adalah langkah yang terbaik untuk melakukannya kerana EIP memanfaatkan kita semua dan bantu memupuk sebuah masyarakat yang lebih bersatu padu," katanya.

BAGAIMANA IA BERFUNGSI

Mulai 8 Mac, HDB akan membeli semula flat-flat daripada para pemilik flat yang tertakluk kepada EIP yang tidak dapat menjual rumah mereka pada harga yang munasabah.

Ini termasuk para pemilik yang membeli flat dari HDB dan pasaran jualan semula, tidak kira sama ada flat itu tertakluk kepada EIP ketika membelinya.

Permohonan akan dinilai mengikut kes masing-masing, mengambil kira syarat-syarat seperti sama ada mereka sudah memenuhi Tempoh Penginapan Minimum dan memiliki flat itu selama sekurang-kurangnya 10 tahun, menurut HDB dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Para pemilik juga seharusnya "mencuba secara kerap dalam tempoh yang berterusan untuk menjual flat mereka pada harga yang wajar sekalipun tertakluk kepada satu atau lebih had EIP".

Tempoh itu juga harus setanding dengan masa yang diambil oleh kebanyakan pemilik untuk menjual flat mereka - dan berdasarkan pengalaman HDB, enam bulan buat masa ini sudah cukup untuk berbuat demikian, menurut kenyataan tersebut. Namun pihak berkuasa menyatakan ia mungkin berubah bergantung kepada keadaan pasaran.

Bagi menetapkan "harga yang wajar", para penjual boleh merujuk kepada harga urus niaga baru-baru ini bagi flat yang terletak dalam lingkungan 200 meter daripada lokasi flat mereka dan membuat penyesuaian untuk mengambil kira ciri-ciri seperti ketinggian dan lokasi flat tersebut.

Selain itu, para pemilik juga perlu menyimpan rekod bulanan percubaan pemasaran mereka sepanjang tempoh itu dan menyerahkannya kepada HDB ketika mendapatkan bantuan. Rekod-rekod itu termasuk senarai penjualan hartanah dalam wadah cetakan atau online yang memperincikan harga penjualan dan tarikh penyenaraian serta rekod kunjungan ke flat tersebut.

"Pemilik flat yang tertakluk kepada EIP yang tidak memenuhi kriteria itu, namun berdepan keadaan di luar kawalan, boleh memohon bagi pertimbangan khas dari HDB," menurut kenyataan itu.

APA YANG BERLAKU SELEPAS ITU?

Bagi para pemilik flat yang dianggap layak, HDB akan melantik seorang penilai profesional yang bertauliah untuk mentaksir nilai flat mereka.

Penilai itu kemudian akan membuat taksiran berdasarkan "prinsip penilaian yang ditetapkan".

"HDB kemudian akan menentukan harga pembelian semula dan membuat tawaran bagi flat itu pada harga yang wajar," menurut pihak berkuasa.

Para pemilik flat diberikan tempoh sehingga tiga bulan untuk memutuskan sama ada mereka ingin menerima tawaran pembelian semula itu. Jika mereka menolak tawaran tersebut, mereka tidak akan layak untuk mendapat bantuan itu selama 12 bulan selepas tawaran itu luput.

Flat-flat yang dibeli semula oleh HDB akan menjadi sebahagian daripada bekalan perumahan dan akan dijual semula menerusi Jualan Baki Flat atau jualan terbuka.

"Seperti kesemua flat yang dijual menerusi kaedah tersebut, HDB akan menggunakan subsidi yang besar kepada nilai pasaran yang ditaksir untuk menentukan harga jualannya," menurut HDB.

Selepas itu, kelayakan keluarga untuk membeli flat akan bergantung kepada perkadaran etnik di blok dan kejiranan itu apabila mereka dipelawa untuk memilih flat.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita