Skip to main content

Singapura

HBL selama 10 hari bagi murid Darjah 1-5 di tengah lonjakan kes COVID-19

Untuk membendung lonjakan kes COVID-19 sebelum Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), murid Darjah 6 akan diberi cuti belajar dari 25 hingga 29 September manakala murid Darjah 1 hingga 5 bakal menjalani pembelajaran di rumah (HBL) dari 27 September hingga 6 Oktober. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Sep 2021 10:47AM Dikemas Kini : 18 Sep 2021 10:19PM

SINGAPURA: Untuk membendung lonjakan kes COVID-19 sebelum Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), murid Darjah 6 akan diberi cuti belajar dari 25 hingga 29 September manakala murid Darjah 1 hingga 5 bakal menjalani pembelajaran di rumah (HBL) dari 27 September hingga 6 Oktober.

Kementerian Pendidikan (MOE) mengumumkan tentang langkah berjaga-jaga itu hari ini (18 Sep) bagi sekolah-sekolah rendah dan pendidikan khas menjelang peperiksaan bertulis PSLE di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini di Singapura.

“Ini akan melindungi dengan lebih baik para pelajar lebih muda yang belum lagi layak dari segi perubatan bagi mendapatkan vaksinasi," jelas MOE. Buat masa ini, kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak boleh divaksin terhadap COVID-19.

Cuti belajar bagi murid Darjah 6, yang akan menduduki peperiksaan PSLE dari 30 September hingga 6 Oktober, adalah untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 di sekolah dan jumlah pelajar yang dikenakan perintah kuarantin atau cuti ketidakhadiran (LOA) sebelum peperiksaan itu.

Ini serupa dengan aturan bagi peperiksaan nasional akhir tahun pada 2020.

Dengan meletakkan semua murid dari Darjah 1 hingga 5 di bawah HBL mulai 27 September hingga hari terakhir PSLE adalah satu "langkah berjaga-jaga tambahan", menurut MOE.

Ia menyatakan sekolah-sekolah rendah dan pendidikan khas akan tetap dibuka kepada pelajar yang memerlukan lebih banyak sokongan sepanjang tempoh HBL itu.

“Tadika MOE, Khidmat Jagaan Tadika dan Pusat Jagaan Pelajar akan beroperasi seperti biasa. Ibu bapa yang tidak boleh bekerja dari rumah atau mendapatkan aturan jagaan alternatif boleh menghubungi sekolah anak mereka untuk bantuan," menurut MOE.

BUAT UJIAN KENDIRI SEBELUM KEMBALI KE SEKOLAH

Bagi memastikan murid kembali ke sekolah dengan selamat, MOE amat mengalakkan mereka untuk mengambil ujian pantas antigen (ART) kendiri di rumah pada tarikh-tarikh berikut:

  • Murid Darjah 6: Pada 27 atau 29 Sep
  • Murid Darjah 1-5: Pada 4 atau 5 Okt

Ini akan memberikan murid-murid masa yang mencukupi untuk menjalani ujian swab tindak balas rantaian polimerase (PCR) COVID-19 sekiranya mereka diuji positif selepas melakukan ujian kendiri atau mendapat keputusan tidak sah buat dua kali berturut-turut bagi ujian tersebut.

“MOE akan terus memantau dengan teliti keadaan COVID-19 dan melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk memastikan persekitaran sekolah kita selamat, jika perlu," ia memberi jaminan.

“Kami menggesa semua pelajar dan kakitangan untuk terus mengamalkan kebersihan diri yang baik, mematuhi langkah pengurusan selamat serta menjalankan tanggungjawab sosial," tambahnya.

Singapura mencatat 935 kes baru COVID-19 pada Jumaat (17 Sep). Semua kes itu, kecuali satu, adalah jangkitan tempatan.

Pada hari yang sama, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata jumlah jangkitan harian COVID-19 berkemungkinan melepasi 1,000 tidak lama lagi. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita