Skip to main content

Singapura

HBL bagi semua peringkat bukan lagi aturan pilihan sekolah jika ada kes COVID-19

Kementerian Pendidikan (MOE) akan memperhalusi responsnya terhadap kes-kes COVID-19 di sekolah bagi "mengurangkan gangguan" di samping memastikan keselamatan para pelajar.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Aug 2021 04:34PM Dikemas Kini : 13 Aug 2021 08:42PM

SINGAPURA: Kementerian Pendidikan (MOE) akan memperhalusi responsnya terhadap kes-kes COVID-19 di sekolah bagi "mengurangkan gangguan" di samping memastikan keselamatan para pelajar.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (13 Ogos).

Sejak awal Ogos, MOE beralih kepada "pendekatan lebih bersasar" yang menjejas hanya segelintir pelajar apabila terdapat kes positif COVID-19 di sekolah, katanya dalam satu catatan di Facebook.

"Ini bermakna seberapa mungkin, kami akan menempatkan kontak-kontak rapat para pelajar dari kelas atau kumpulan CCA yang sama di bawah cuti ketidakhadiran (LOA) atau perintah kuarantin (QO) dan tidak mengenakan aturan pembelajaran di rumah bagi seluruh peringkat. Gangguan dikurangkan lagi dengan cara ini," kata Encik Chan.

Menurutnya lagi pada masa akan datang, MOE sedang meneroka pilihan bagi kaedah ujian kurang invasif untuk terus mengurangkan gangguan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka.

MOE sejauh ini sudah melaksanakan pembelajaran penuh dari rumah sebanyak dua kali ini, tambahnya dalam catatan itu.

"Namun, HBL penuh ada keterbatasannya dan ia menimbulkan gangguan ke atas pelajar, ibu bapa dan guru. Ia bukan pilihan mampan dan mesti dijadikan sebagai pilihan terakhir," katanya.

Antara bulan Mei dengan Julai lalu, MOE mengambil "pendekatan lebih bersasar" dengan meletakkan pelajar daripada seluruh peringkat di bawah aturan pembelajaran di rumah apabila terdapat kes-kes jangkitan di sekolah.

Pada ketika itu, 216 pelajar daripada seramai 600,000 pelajar dijangkiti COVID-19, kebanyakannya menerusi jangkitan di rumah, kata Encik Chan.

Dalam kalangan 216 pelajar, 103 merupakan murid-murid sekolah rendah, katanya.

"Namun walaupun HBL dihadkan kepada peringkat-peringkat tertentu sahaja, gangguannya kepada pembelajaran pelajar dan jadual keluarga masih agak ketara," kata Encik Chan.

LEBIH 20,000 PELAJAR TERJEJAS

Sepanjang tiga bulan lalu, 100 peringkat daripada 50 sekolah diletakkan di bawah aturan pembelajaran di rumah pada waktu berbeza dan dalam tempoh berlainan, menjejas lebih 20,000 pelajar, katanya.

Tiada dalam kalangan pelajar itu diuji positif bagi COVID-19 memandangkan semua kontak rapat sudah pun diberikan cuti ketidakhadiran atau perintah kuarantin, kata Encik Chan.

"Dengan lebih banyak bukti menunjukkan keberkesanan langkah-langkah sebelum ini dan sedang kita beralih ke arah menjalani kehidupan dengan COVID-19 sebagai situasi endemik, kami akan memperhalusi langkah-langkah ini untuk terus mengurangkan gangguan di samping memastikan keselamatan kanak-kanak," katanya.

Seberapa mungkin, sekolah-sekolah tidak akan melaksanakan aturan pembelajaran di rumah bagi seluruh peringkat jika terdapat kes positif COVID-19, menurut MOE dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

Sebaliknya, ia akan menumpukan perhatian kepada usaha meletakkan kontak-kotak rapat dan pelajar daripada kelas atau kumpulan CCA yang sama di bawah cuti ketidakhadiran atau perintah kuarantin, menurut kenyataan media itu.

"Pendekatan itu akan membolehkan pelajar-pelajar lain dan guru di peringkat tersebut serta sekolah itu meneruskan pembelajaran di sekolah dan mengurangkan gangguan, di samping memastikan kesihatan dan keselamatan mereka," menurut MOE dalam kenyataan media.

"Meletakkan lebih banyak kelas atau peringkat di bawah HBL kekal sebagai pilihan jika terdapat risiko berlaku penularan menjangkaui kontak-kontak rapat. Sekolah-sekolah kami akan terus memantau dengan teliti kesihatan para pelajar dan kakitangan sebagai langkah berjaga-jaga."

UJIAN KERAP BAGI GURU BELUM DIVAKSINASI

Ujian akan membolehkan Kementerian Pendidikan mengambil langkah "lebih bersasar" untuk menentukan siapa yang seharusnya tidak datang ke sekolah dan beberapa lama, kata Encik Chan.

Dengan ujian lebih kerap dan pantas menggunakan Ujian Pantas Antigen (ART) kendiri, para pelajar dan kakitangan yang diuji negatif boleh kembali ke sekolah lebih awal.

"Sedang bukti saintifik baru muncul dan kami mengumpulkan lebih banyak pengalaman, kami akan memperhalusi langkah-langkah dan melaksanakannya berdasarkan situasi, untuk memastikan keselamatan sekolah-sekolah dan pelajar.

"Jika perlu, kami akan mempertingkatkan langkah-langkah, mengimbangi pertimbangan bagi pengurusan risiko dengan kesan daripada gangguan," katanya.

Semua guru dan kakitangan yang belum divaksinasi yang berhubungan secara kerap dengan murid-murid berusia 12 tahun dan ke bawah akan menjalani ujian COVID-19 dua kali seminggu sebagai sebahagian daripada rejim "vaksin atau ujian kerap" yang baru mulai 1 Oktober.

Ini tertakluk kepada para kakitangan yang belum menerima vaksin penuh, belum divaksinasi atau tidak layak dari segi perubatan untuk mengambil vaksin COVID-19, menurut MOE.

Rejim baru itu tertakluk kepada semua kakitangan memandangkan mereka adalah kakitangan sektor awam, menurut MOE.

MOE juga akan memperluas rejim itu kepada semua kakitangan yang bukan pegawai pemerintah namun berhubungan secara kerap dengan murid-murid berusia 12 tahun dan ke bawah, menurut kenyataan media itu.

Ini termasuk sekitaran di luar sekolah seperti pusat tuisyen dan pusat pengayaan, pusat jagaan pelajar serta pemandu bas sekolah dan kelindan bas, menurut MOE.

Sebagai sebahagian daripada rejim ujian pantas dan mudah di negara ini, sekumpulan kecil kakitangan juga perlu diuji secara kerap meskipun mereka sudah menerima vaksin penuh kerana mereka terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi, menurut MOE.

Ini termasuk pekerja kontrak pembersihan dan pengendali kantin sekolah serta guru latihan jasmani yang mengadakan aktiviti tanpa memakai pelitup di sekolah.

Mulai 3 September, para pekerja pembersihan di pusat-pusat tuisyen dan pengayaan bagi murid-murid berusia 12 tahun dan ke bawah juga tergolong di bawah kumpulan itu, menurut MOE.

Pusat-pusat tuisyen dan pengayaan boleh mendaftarkan diri bagi ujian pantas dan mudah di laman https://go.gov.sg/tuition-enrichment-fet.

"Di sekolah, para guru dan kakitangan akan terus berjaga-jaga disebabkan oleh varian sedia ada yang mudah berjangkit dan menghantar pulang para pelajar yang mengalami simptom meskipun ringan," kata Encik Chan.

"Sekalipun demikian, ini tidak bermakna tiada kes di sekolah, selagi masih ada kes dalam masyarakat. Namun kita akan melakukan yang terbaik dan terus berwaspada supaya para pelajar boleh terus menghadiri sekolah."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita