Skip to main content

Singapura

"Hati saya remuk!" - ambil pinjaman S$180,000 untuk jadi jurulatih kuda, kini di ambang penutupan Turf Club

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Semasa keadaan di Singapore Turf Club (STC) semakin rancak dan bertambah baik selepas COVID-19, Encik Mahadi Taib tidak berfikir dua kali untuk menjadi seorang jurulatih kuda dan membuka kandang kudanya sendiri.

Atas tujuan itu, beliau mengambil pinjaman bank sebanyak S$180,000 untuk merealisasikan impiannya itu pada Jun 2022.

Ini membanggakan dirinya kerana dapat menyambung warisan bapa dan datuknya yang dahulu juga pernah bekerja sebagai penjaga kuda atau ‘syce’.

Beliau juga satu-satunya jurulatih kuda Melayu dalam kalangan 23 jurulatih bertauliah STC yang kebanyakannya adalah warga asing seperti dari New Zealand, Jepun dan Australia.

Namun keterujaan itu tanpa disangka-sangka bertukar malap, geram dan kecewa dalam masa kurang setahun setelah pemerintah mengumumkan STC akan ditutup menjelang Mac 2027.

“Memang hati saya dah remuk. Saya pun tak tahu nak fikir macam mana. Pertama sekali saya fikir, keluarga saya sebab saya seorang yang bekerja. Saya masih ada enam lagi anak bersekolah. Satu di universiti, dua diploma. Semua bergantung pada saya. Bila saya balik ke ‘stable’, saya pun tak tahu nak cakap macam mana dengan pekerja saya,” kata Encik Mahadi yang mula mengalirkan air mata.

Encik Mahadi menggajikan 10 pekerja termasuk para penjaga kuda, pekerja pembersihan dan pembantu jurulatih kuda.

Related article image

Mereka dalam kalangan sekitar 400 pekerja ‘stable’ yang tidak tergolong dalam kira-kira 350 pekerja STC yang sudah diumumkan akan menerima pampasan pemberhentian kerja.

“Saya pun tak tahu, kalau mereka (pekerja) nak keluar, tak nak kerja dengan saya, saya tak boleh larang mereka. Saya pun tak berani jamin untuk bertahan sampai perlumbaan ini habis sebab saya tak tahu sama ada saya ini mampu beri mereka pampasan,” ujar Encik Mahadi.

Beliau menjadi lebih sebak apabila mengenang pengorbanan para pekerjanya.

“Mereka punya jujur sama saya, setia sama saya. Mereka itu semua macam darah daging saya, sudah macam adik-beradik. Mereka bergegas ke sini pukul 5.30 pagi, mereka solat terus kerja. Pukul 1.00 tengah hari habis Zohor, terus kerja. Hari Raya mereka kerja sebab ini semua binatang, binatang yang hari-hari nak perlukan orang. Bukan kita simpan mesin, cuti kita tutup hentikan mesin. Ini binatang kita ini kita jaga seperti kesayangan kita, macam mana kita ingatkan anak kita perlu makan, mereka pun perlu makan,” kata Encik Mahadi menahan air matanya.

Menurut beliau, sekitar 80 peratus pekerja ‘stable’ adalah pekerja masyarakat Melayu/Islam dan mereka sudah akrab dan menganggap STC sebagai ‘kampung halaman’.

SIAPA NAK JAGA KUDA KALAU PEKERJA BERHENTI?

Meskipun kawasan seluas 120 hektar itu akan hanya ditutup pada 2027, perlumbaan kuda masih akan diteruskan sehingga Oktober tahun depan.

Ini yang merisaukan Encik Mahadi kerana sekiranya ada pekerja yang berhenti, siapa pula yang akan menguruskan 10 ekor kuda lumba di kandangnya.

Menurut Encik Mahadi, kuda-kuda itu perlu dimandikan, diberi makan dan dibawa berlari untuk bersenam setiap hari.

Jika tidak ditunggang ke luar kandang setiap hari, otot-otot kuda akan terjejas dan minda kuda-kuda itu akan terganggu sehingga haiwan tersebut boleh jatuh sakit.

Sementara itu, beliau masih ada kira-kira lagi lapan kuda lumba baru yang sudah dibelinya dan dalam proses dibawa masuk ke Singapura dari Australia dan New Zealand.

Pembelian kuda-kuda itu menelan belanja sehingga lebih S$100,000 seekor, bergantung kepada jenis baka dan tempat asal kuda itu.

Dengan hutang bank yang masih lagi tertunggak, ia merunsingkan fikiran Encik Mahadi.

Pendapatannya juga kini terjejas dengan ada dalam kalangan pemilik kuda yang tidak lagi mahu membiayai latihan dan kos jagaan kuda-kuda mereka.

Kuda-kuda lumbanya juga perlu dijual dan dihantar ke luar negara selepas perlumbaan terakhir nanti.

Dengan berita penutupan ini, Encik Mahadi dan beberapa lagi jurulatih kuda yang ditemui sudah menjangkakan kerugian yang bakal dialami. Ini kerana kuda-kuda lumba mereka akan dibeli dengan harga yang lebih rendah.

Mereka tiada pilihan lain kerana kuda-kuda khas bagi lumba mereka itu lebih muda dan bertenaga. Oleh itu, ia tidak sesuai untuk industri lain seperti sukan polo kuda atau bagi kegiatan riadah di zoo atau tempat tarikan lain misalnya.

Bagi dirinya yang sudah berusia 52 tahun, Encik Mahadi hanya merancang untuk bersara setelah STC ditutup kelak dan bermastautin ke luar negara agar dapat terus membela kuda di sana.

a
RASA BAGAI DITIKAM DARI BELAKANG

Setiap kali ke gelanggang lumba kuda, ia ibarat “menghantar nyawa” kerana pelbagai perkara boleh berlaku sehingga boleh mengorbankan nyawa pelumba kuda atau joki.

Aksi mereka inilah yang dinanti-nantikan dan yang menghidupkan STC dengan sorakan ribuan penyokong dan peminat sukan lumba kuda.

Para pekerja 'stable' dan joki menganggap diri mereka sebagai tulang belakang sebenar STC.

Namun, apabila STC mahu ditutup, tiada satu pun antara mereka yang dimaklumkan terlebih dahulu.

Itu yang mengecewakan joki, Zyrul Noor Azman yang hanya mendapat tahu daripada kawannya dari luar.

"Terkejut fasal saya dapat tahu daripada Facebook. Kawan saya yang bilang saya dan kawan saya tak bekerja di Turf Club pun. Saya dapat tahu daripada dia dan saya terkejut," kata Zyrul.

"Kami rasa seperti ditikam dari belakang. Kami 'front man of the show'. Kita yang usahakan perlumbaan ini jadi nyata. Bukan sahaja joki tapi ada 'syce', petugas lain. Habis, kita orang-orang yang terakhir dapat tahu. Orang yang tak bekerja kat Turf Club ini tahu dulu sebelum kita," tambahnya.

Zyrul yang kini berusia 35 tahun, mula menceburkan diri dalam 'dunia kuda' ini sejak berusia 19 tahun lagi.

Lulusan ITE ini tertarik kepada bidang tersebut kerana menjanjikan gaji yang lumayan. Ini lebih-lebih lagi apabila dia perlu membantu menampung perbelanjaan keluarganya.

Menurut Zyrul, gaji joki boleh mencecah sekitar S$6,000 sebulan.

Zyrul turut terkenangkan pengorbanan yang perlu dilakukannya semasa mahu menjadi joki dahulu.

Beliau mengikuti latihan joki selama tiga tahun di New Zealand sehingga putus tunang dan berada jauh dari pangkuan keluarga.

Kini, beliau sangkakan pengorbanannya itu berbaloi apabila dapat hidup selesa dan berumahtangga.

Isterinya juga baru sahaja melahirkan anaknya yang kedua.

"Bila saya bincang, isteri saya pun risau. Sudah dua malam isteri saya tak tidur fikir pasal anak-anak. Apa yang saya boleh fikir, saya balik ke New Zealand. Saya di sana tiga tahun latihan untuk lumba kuda. Itulah pilihan pertama, saya pergi ke New Zealand balik.

"Tapi itu pun saya tak tahu mereka nak ambil saya balik atau tak, sebab saya pun dah berumur, 35 tahun. Daripada ambil saya, lebih bagus mereka ambil budak-budak yang 18 atau 19 tahun yang masih kuat yang masih segar dalam bidang ini," tambah Zyrul.

Bagi joki sepertinya, dia akan hanya mempunyai pekerjaan sehingga perlumbaan terakhir pada Oktober 2024.

Sepanjang tempoh selama 15 bulan ini, Zyrul perlu fikir masak-masak apa yang perlu dilakukannya.

Dia boleh menimba kemahiran baru tetapi itu juga akan mengambil masa dan sekiranya ia dilakukan sepenuh masa, Zyrul juga perlu memikirkan tentang sumber rezekinya sewaktu dia mengikuti kursus atau latihan dan bagaimana untuk menanggung dua orang anaknya yang masih kecil.

Menurutnya lagi, perasaan berkecamuk ini mengganggu perhatian dan semangat pekerja-pekerja sepertinya.

Zyrul cuba menggambarkan perasaan mereka: "Kita datang kerja macam kita ke tempat yang akan 'cease to exist' dalam masa satu tahun. Itu sedihlah. Datang macam balik rumah jumpa mak yang dah tahu nak meninggal dalam setahun, sedih. Balik jumpa mak tapi tahu dalam kepala otak ini, yang mak ini dah nak mati. Jadi, kita sedih datang kerja"

Menurut Encik Mahadi dan Zyrul, mereka berharap lebih banyak masa dapat diberikan kepada mereka untuk membuat penyesuaian dan perancangan bagi sumber mata pencarian mereka seterusnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita