Hati-hati...taktik baru penipuan beli telefon online
Satu jenis penipuan e-dagang baru muncul ekoran puluhan aduan dibuat para mangsa, Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan pada Jumaat (19 Apr).
SINGAPURA: Satu jenis penipuan e-dagang baru muncul ekoran puluhan aduan dibuat para mangsa, Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan pada Jumaat (19 Apr).
"Sejak November 2018, polis menerima lebih 25 aduan yang melibatkan mangsa dibebani hutang yang tidak mereka diketahui semasa cuba membeli telefon bimbit di wadah e-dagang," menurut polis dalam satu kenyataan media.
Menurut pihak berkuasa dalam beberapa kes, mangsa diperdaya supaya memberi maklumat peribadi seperti NRIC, butiran SingPass atau akaun bank, atas alasan pendaftaran pelan bayaran ansuran bagi pembelian telefon bimbit.
"Para mangsa kemudian mendapati sejumlah wang dimasukkan dalam akaun bank mereka dan pelaku kemudian menuntut mereka membuat bayaran tersebut dengan faedah," tambah pihak polis.
"Dalam kes-kes lain, mangsa ditawarkan pinjaman untuk membeli telefon bimbit. Mangsa kemudian akan menerima wang dalam akaun bank mereka tidak kira sama ada atau tidak mereka setuju dengan tawaran pinjaman itu. Mereka kemudian akan dituntut membuat bayaran.
Polis menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan demikian dan jangan sekali kali memberikan maklumat peribadi kepada orang yang tidak dikenali atau pihak yang tidak disahkan.
"Jika anda mengesyaki telah menerima wang yang tidak dipastikan sumbernya dalam akaun bank, laporkan serta-merta kepada pihak bank dan polis. Jika wang yang dimasukkan itu masih berada dalam akaun anda, jangan membuat sebarang urus niaga dengan wang itu."
Orang ramai juga dinasihatkan agar memeriksa rekod dan latar belakang syarikat atau penjual sebelum membuat pembelian.
"Berwaspada terhadap penipu yang boleh senang-senang tenggelam timbul terutamanya di wadah e-dagang. Tiada rekod aduan tidak semestinya bermakna pihak itu adalah penjual yang sahih," menurut polis lagi.
Jika anda mempunyai sebarang maklumat berhubung penipuan demikian, anda boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau www.police.gov.sg/iwitness.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.