Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Hati-hati' sokong, perjuang isu LGBT di S'pura, peringatan MHA buat perniagaan asing

Kenyataan MHA dibuat menyusuli komen Speaker Dewan AS Nancy Pelosi, yang meminta kumpulan perniagaan menyokong masyarakat LGBTQ sedang lebih banyak syarikat Amerika bertapak di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Aug 2022 02:11PM Dikemas Kini : 04 Aug 2022 09:13PM
SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (4 Ogos) mengingatkan perniagaan asing supaya "berhati-hati" dalam memperjuangkan isu-isu LGBT di Singapura.

Ini menyusuli komen-komen yang dibuat Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi semasa lawatannya ke Singapura pada awal minggu ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Singapura pada Isnin ketika tokoh politik AS itu melancarkan lawatan berprofil tinggi ke Asia, Cik Pelosi meminta kumpulan-kumpulan perniagaan supaya menyokong masyarakat LGBTQ sedang lebih banyak syarikat Amerika membuka pejabatnya di sini.

Sebagai respons, MHA menyatakan pada Khamis: "Pemerintah ingin mengingatkan perniagaan asing bahawa meskipun mereka bebas untuk menggalakkan kepelbagaian dalam syarikat masing-masing, mereka harus berhati-hati dalam memperjuangkan isu-isu di Singapura yang boleh memecahbelahkan masyarakat."

Ini termasuk isu-isu LGBT, menurut MHA, sambil menambah bahawa "ini adalah hal-hal yang perlu dibincangkan bagi rakyat Singapura dan mencapai kata sepakat tentang cara bagaimana untuk maju ke hadapan".

Pada Mei tahun lalu, sebuah webinar yang dianjurkan bersama oleh kedutaan AS dan Oogachaga - pertubuhan LGBTQ tempatan yang tidak mengaut untung - mencetus Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk mengeluarkan kenyataan.

"MFA mengingatkan Kedutaan AS bahawa misi-misi negara luar tidak harus dicampuradukkan dengan hal ehwal sosial dan politik di dalam negeri, termasuk isu-isu seperti bagaimana orientasi seksual harus ditangani dalam dasar awam," menurut kementerian itu.

"Ini adalah pilihan untuk hanya rakyat Singapura berbahas dan membuat keputusan."

Perbahasan berhubung Seksyen 377A - undang-undang Singapura yang menjatuhkan hukuman terhadap seks sesama lelaki tetapi tidak dikuatkuasakan secara aktif - menarik perhatian ramai sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun, pemerintah menyatakan ia sedang mempertimbangkan jalan terbaik bagi undang-undang itu, sementara menghormati sudut pandangan berbeza termasuk mereka yang khususnya mahu Seksyen 377A dikekalkan.

Singapura juga akan meneliti bagaimana ia boleh melindungi kedudukan undang-undang buat masa ini berhubung perkahwinan terhadap sebarang tuntutan dan pertikaian yang dikemukakan di mahkamah, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada bulan lalu.

Kedudukan undang-undang sedia ada berhubung perkahwinan ditakrifkan di bawah Seksyen 12 Piagam Wanita sebagai antara seroang lelaki dengan seorang wanita; perkahwinan sejenis pula dianggap sebagai tidak sah dan tidak akan diterima.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan