Hati-hati jika terima SMS ini; ia bukan dari IRAS
Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menasihatkan orang ramai supaya tidak mengendahkan kiriman SMS yang kononnya dihantar oleh lembaga berkanun itu yang mengandungi pautan untuk memancing maklumat penting.

(Gambar: Iras)
SINGAPURA: Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menasihatkan orang ramai supaya tidak mengendahkan kiriman SMS yang kononnya dihantar oleh lembaga berkanun itu yang mengandungi pautan untuk memancing maklumat penting.
Para penipu meniru ID Penghantar IRAS dan kiriman SMS palsu itu disatukan bersama dengan mesej-mesej sahih yang dihantar oleh IRAS sebelum ini.
Demikian menurut IRAS pada Khamis (3 Feb).
Dalam maklumannya yang dimuat naik ke lamannya, IRAS menekankan bahawa orang awam tidak sepatutnya menekan pautan - https://singaporeposte.com - dalam kiriman SMS itu.
"Mereka yang terjejas dengan skim penipuan itu dinasihatkan supaya membuat aduan polis," menurut IRAS.
Lembaga berkanun itu menambah bahawa para pembayar cukai harus berwaspada terhadap skim-skim penipuan yang cuba memancing data "terutama sekali semasa musim kemuncak pemfailan cukai kerana lebih banyak percubaan sedemikian mungkin berlaku".
"Para penipu akan cuba memperdayakan para pembayar cukai untuk menyerahkan butiran peribadi seperti butiran kad kredit atau akaun bank, membuat sebarang bayaran kepada akaun bank milik pihak ketiga atau mematuhi sebarang arahan oleh pengirim mesej itu," menurut IRAS.
Untuk mengelakkan daripada diperdaya, IRAS juga menyatakan bahawa orang ramai harus sentiasa mengesahkan kesahihan mesej yang diterima dengan lembaga berkanun itu sendiri jika mereka mendapatinya mencurigakan.
Mereka juga harus memberi perhatian kepada kiriman SMS meragukan yang mengandungi kesalahan tatabahasa dan pautan yang mengarahkan para penerima ke laman-laman tanpa domain “.iras.gov.sg” atau “go.gov.sg”.
Akhir sekali, orang awam tidak seharusnya mendedahkan butiran peribadi mereka seperti butiran akaun bank dan kata laluan.
Bulan lalu, IRAS memberi amaran kepada orang awam tentang satu penipuan yang menyamar sebagai Pesuruhjaya Hasil Mahsul Ng Wai Choong.
Ini menyusuli satu siri percubaan penyamaran di mana para penipu berpura-pura sebagai pegawai agensi pemerintah, polis, mahkamah dan bank.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.