Hati-hati beli-belah online, beri perhatian kepada tanda rait
Para pelanggan perlu berwaspada terhadap kotak-kotak yang sudah dibubuhkan dengan tanda merait terlebih dahulu ketika membeli barangan secara online. Demikian nasihat Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (19 Jun).

Petikan gambar laman rasmi Jetstar.
SINGAPURA: Para pelanggan perlu berwaspada terhadap kotak-kotak yang sudah dibubuhkan dengan tanda merait terlebih dahulu ketika membeli barangan secara online. Demikian nasihat Persatuan Pengguna Singapura (CASE) hari ini (19 Jun).
Dalam makluman yang dimuat naik ke laman rasminya, persatuan itu menyatakan bahawa kotak-kotak sedemikian lazimnya digunakan oleh syarikat-syarikat untuk mendapatkan persetujuan para pelanggan untuk membeli barangan, mendapatkan khidmat lain atau melanggani bahan-bahan pemasarannya.
Para pelanggan mungkin tidak menyedari bahawa mereka perlu menyatakan pilihan mereka untuk tidak membeli barangan atau mendapatkan khidmat syarikat berkenaan.
CASE menyatakan awal tahun ini bahawa ia menerima aduan para pelanggan tentang insurans pelancongan yang disertakan secara automatik dalam pembelian pelanggan. Para pelancong mengakui tidak menyedari akan perkara ini dan akhirnya terpaksa membayar insurans yang tidak mereka inginkan mahupun perlukan.
"CASE menyampaikan keprihatinan para pelanggan kepada SIA tentang kurang ketelusan bagi harga-harga untuk pilihan ini. Setelah menimbangkan isu ini, pilihan untuk membeli insurans di lamannya tidak lagi disertakan secara automatik dalam pembelian pelanggan.
Persatuan itu turut mendekati syarikat penerbangan bajet Scoot dan Jetstar. Scoot tidak lagi menyertakan pilihan insurans dalam pembelian para pelanggannya secara automatik bermula 31 Mei. Sebaliknya, para pelanggannya boleh membuat pilihan itu sendiri. Jetstar bagaimanapun enggan mengambil langkah serupa, sambil menyatakan bahawa "setiap pilihan jelas menarik perhatian para pelanggan untuk memeriksa tempahan/pembelian mereka," menurut CASE.
"Ini tidak boleh diterima CASE dan kami akan terus berunding dengan Jetstar tentang hal ini," menurutnya.
CASE juga menarik perhatian kepada "beratus-ratus aduan" yang diterimanya pada 2015 berkaitan laman seperti StreetDeal.sg, RivaLife.com, OlaPrice.com dan Straitsdeal.com.
"Para pelanggan secara automatik melanggani keanggotaan syarikat mereka ketika pelanggan membuat bayaran.
"Selepas CASE campur tangan, Asia Deal Group digesa menandatangani Perjanjian Pematuhan Sukarela supaya tidak lagi mempunyai kotak-kotak pilihan yang sudah ditandakan terlebih dahulu sebagai tanda setuju untuk mendapatkan tambahan lain dalam pembelian pelanggan," menurutnya.
CASE menekankan bahawa tindakan menggunakan kaedah sedemikian tidak beretika kerana ia tidak memberi peluang kepada para pelanggan untuk memberi persetujuan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.