Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasil positif dorong NEA perluas Projek Wolbachia kepada 1,400 blok HDB

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jun 2022 12:35PM Dikemas Kini : 15 Jun 2022 10:32PM

SINGAPURA: Sebuah projek untuk melawan denggi, dengan melepaskan nyamuk-nyamuk yang dibiak secara khas, akan diperluaskan kepada lapan lagi lokasi perumahan awam, meliputi tambahan 1,400 blok HDB. 

Pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan di kawasan-kawasan baru itu akan bermula pada Julai, umum Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Rabu (15 Jun). 

Berucap pada hari ketiga dan terakhir Sidang Puncak Denggi Asia yang diadakan di Singapura, Cik Fu berkata langkah itu akan memberi perlindungan kepada 300,000 rumah, naik berbanding 160,000 rumah sekarang ini. Perlindungan terhadap denggi juga akan meningkat dari 19 peratus kepada kira-kira 31 peratus bagi semua blok HDB. 

Projek Wolbachia-Singapura melibatkan pelepasan nyamuk-nyamuk jantan yang dijangkiti kuman Wolbachia. Apabila nyamuk yang dibiak khas ini mengawan dengan nyamuk Aedes aegypti betina yang tidak dijangkiti Wolbachia, telur mereka tidak akan menetas.

Nyamuk Wolbachia-Aedes juga akan dilepaskan di beberapa tapak pembinaan dan tapak perumahan bukan HDB di kawasan-kawasan berisiko tinggi menghadapi denggi, tambah Cik Fu. 

"Selain mengurangkan jumlah nyamuk Aedes aegypti di kawasan-kawasan tersebut, perluasan ini akan membolehkan kami untuk memahami kesan penggunaan tecknologi Wolbachia berskala besar di pelbagai tempat terhadap jumlah kes denggi," katanya. 

Lapan lokasi baru itu adalah Bedok North, Bedok Reservoir, Yew Tee, Geylang, Hougang, Punggol Sengkang dan Woodlands iaitu estet-estet perumahan yang dianggap "kawasan berisiko tinggi", menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataan media berasingan. 

Setakat ini, projek tersebut meliputi sekitar 1,800 blok HDB di tapak-tapak kajian di Yishun, Tampines, Choa Chu Kang serta Bukit Batok dan dalam lima kilometer persegi estet perumahan privet di Marine Parade, merangkumi sekitar 160,000 rumah.

Untuk menyokong peluasan itu, NEA akan meningkatkan jumlah nyamuk Wolbachia-Aedes jantan yang dibiakkan setiap minggu dari dua juta sekarang kepada lima juta menjelang akhir tahun. Ini dilakukan menerusi kerjasama dengan rakan-rakan kongsi Orinno Technology, Verily Life Sciences dan Program Robotik Nasional. 

Dalam tempoh hanya enam bulan sahaja, jumlah kes denggi tahun ini - sebanyak 14,000 - sudahpun menjangkaui jumlah keseluruhan bagi 2021 apabila 5,528 kes dilaporkan, menurut NEA. 

JUMLAH NYAMUK DENGGI SEMAKIN BERKURANGAN 

Peluasan projek itu, yang dimulakan pada 2016, didorong oleh kejayaan di kawasan-kawasan sedia ada, menurut NEA.

Sejak April tahun ini, NEA sudahpun mencapai perlindungan penuh pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan di Tampines serta Yishun dan memulakan pelepasan berskala besar di estet perumahan berhalaman di Marine Parade. 

"Hasilnya amat meyakinkan sejauh ini," menurut NEA. 

Di Tampines dan Yishun, di mana nyamuk Wolbachia-Aedes jantan sudah dilepaskan selama lebih setahun, NEA mendapati sebelum ini bahawa jumlah nyamuk denggi merosot sehingga 98 peratus manakala jumlah kes denggi pula jatuh sehingga 88 peratus. 

"Hasil positif kajian lapangan di tapak-tapak pelepasan ini menunjukkan bahawa pelepasan nyamuk jantan Wolbachia-Aedes boleh mengawal jumlah nyamuk betina Aedes aegypti di Singapura dengan berjaya," menurut NEA lagi.

Profesor Madya Ng Lee Ching, Pengarah Kumpulan Institut Kesihatan Sekitaran NEA, menggesa masyarakat awam untuk memainkan peranan mereka dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk kerana sekiranya terdapat sumber-sumber pembiakan nyamuk di tempat-tempat masyarakat, ia akan menjejas kesan yang boleh dicapai menerusi teknologi pembiakan dan pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes itu. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan