Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasil penjualan buku BRAVE10 disalurkan bagi bantu wanita Muslim ceburi bidang teknologi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kisah perjalanan dan cabaran para pengasas dan pemimpin teknologi Singapura dirakam dalam sebuah buku yang dilancarkan hari ini (6 Ogos).

Berjudul 'BRAVE10: The Singapore Edition', antologi yang ditulis oleh Pemodal Teroka dan hos podcast Jeremy Au, bertujuan untuk memberi inspirasi kepada para pemimpin generasi seterusnya untuk mengharungi cabaran di rantau ini.



Kisah-kisah itu diolah daripada podcast Encik Au sendiri iaitu 'BRAVE Southeast Asia Tech'.

Beliau mengambil masa sekitar dua tahun untuk menerbitkan buku itu.

Antara cabaran yang unik kepada usahawan teknologi di Singapura khususnya menurut Encik Au adalah untuk menarik modal dan bakat global.

"Bermula dari Singapura sebagai asas yang kuat memberi banyak manfaat kepada modal dan bakat global yang datang ke Singapura," kongsi Encik Au.



"Namun begitu, terdapat tahap kemahiran yang tertentu di mana para pengasas Singapura perlu tingkatkan," tambahnya lagi.

Ini menurutnya bukan sahaja dari aspek pengumpulan dana dan memberi saranan tetapi juga kemahiran dalam berkomunikasi dengan pihak-pihak berkepentingan media.

Buku setebal 150 muka surut itu juga turut mengandungi topik kepelbagaian dalam sektor teknologi.

"Saya berharap buku yang menampilkan koleksi dan beberapa cerita ini dapat memberi inspirasi kepada anda atau sesiapa sahaja, untuk belajar daripada perjalanan ini dan bantu dalam mengubah kehidupan ribuan orang di Asia Tenggara," ujar Encik Au.

HASIL KUTIPAN DISALURKAN BAGI BANTU WANITA MUSLIM CEBURI BIDANG TEKNOLOGI



Seramai 10 pengasas dan pemimpin teknologi Singapura dipaparkan dalam buku itu termasuk pengasas pertubuhan bukan untuk keuntungan, (NGO) The Codette Project, Nurul Jihadah Hussain.

Antara perkongsiannya dalam buku itu termasuk bagaimana beliau bekerjasama dengan para pemimpin dan eksekutif untuk meningkatkan lagi kepelbagaian dan perwakilan di seluruh peringkat syarikat.

Hasil kutipan daripada penjualan buku itu juga akan disalurkan kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO), The Codette Project, untuk menyokong golongan minoriti dan wanita Muslim dalam bidang teknologi.



"Saya rasa bahawa sokongan dan persekutuan adalah sesuatu yang penting untuk mendapat lebih banyak kejayaan dan peluang untuk semua dalam bidang teknologi," ujar Cik Nurul Jihadah

"Dengan sokongan ini, kita akan dapat meneruskan projek-projek yang kita ada seperti program Codette Cares dan lain-lain lagi untuk masa hadapan," tambahnya lagi.

Menurut pengasas itu, ia sedang menjalankan edisi ketiga bagi program Codette Cares iaitu program biasiswa untuk menggalak lebih ramai wanita minoriti Islam menceburi bidang teknologi.

"Kita juga ada beberapa bengkel yang akan diadakan minggu hadapan dan minggu seterusnya dalam bidang data analitik dan juga program mentor," kata Cik Nurul Jihadah.

Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan, Alvin Tan juga mengalu-alukan langkah itu.



"Saya sangat gembira Jeremy dan pasukan di BRAVE10 juga memastikan hasil kutipan akan disalurkan kepada Nurul dan The Codette Project kerana kami amat percaya secara mendalam bahawa dalam ekosistem 'luar angkasa', kita bukan sahaja perlukan 'angkasawan' yang berani tapi juga pasukan yang pelbagai agar kita dapat lancarkannya (perniagaan)," kata Encik Tan.

Menurut Encik Tan, terdapat hampir 4,000 syarikat permulaan atau 'startup' dalam bidang teknologi di Singapura.

EKOSISTEM YANG KUKUH PERLUKAN INDIVIDU YANG BERANI

Akur akan pentingnya dana dalam memastikan Syarikat Pemula Niaga dapat berkembang, Encik Tan menekankan komitmen pemerintah untuk memberi sokongan.



"Kami sedang berusaha dapatkan lebih S$150 juta pelaburan dalam bidang teknologi mendalam, Perkilangan Maju dalam bidang-bidang kesihatan, sains bioperubatan, huraian untuk Bandar dan Kemampanan," menurut Encik Tan dalam ucapannya.

Beliau berkata bahawa sebuah ekosistem yang kukuh perlu dibangunkan dan memerlukan individu-individu yang berani dan memastikan adanya jambatan bagi seberapa mungkin mewujudkan masyarakat yang rencam.

Buku antologi yang berharga S$50 itu boleh didapatkan di laman ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan