Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasil pengilangan Singapura catat pertumbuhan lebih perlahan 2.2% pada Jun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura berkembang pada rentak lebih perlahan sebanyak 2.2 peratus pada Jun beranding tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan pengeluaran semikonduktor dan farmaseutikal lebih lemah.

Tidak termasuk pengilangan bioperubatan, keluaran pada Jun meningkat 4.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut data Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) pada Selasa (26 Jul).

Pertumbuhan bulan Jun lebih perlahan daripada 10.4 peratus yang disemak pada Mei.

Berdasarkan penyesuaian musiman, hasil pengilangan jatuh 8.5 peratus pada Jun. Tidak termasuk pengeluaran bioperubatan, keluaran susut 6.9 peratus.

KELOMPOK

Hasil pengilangan kelompok kejuruteraan pengangkutan meningkat paling tinggi pada bulan Jun, berkembang 32 peratus berbanding tahun lalu.

Segmen kejuruteraan marin dan lepas pantai meningkat 44 peratus, disokong tahap kerja lebih tinggi yang dilakukan dalam pembaikan kapal dan projek lepas pantai.

Segmen aeroangkasa menyaksikan pertumbuhan 32.2 peratus, berikutan pengeluaran bahagian pesawat yang lebih tinggi dan lebih banyak kerja penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih daripada syarikat penerbangan komersil ekoran pelonggaran sekatan perjalanan udara global, kata EDB.

"Dalam enam bulan pertama tahun ini, keluaran kelompok kejuruteraan pengangkutan berkembang 17.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021," kata lembaga pembangunan itu dalam satu kenyataan media.

Keluaran pembuatan am meningkat 10.1 peratus pada bulan Jun, dengan semua segmen mencatatkan peningkatan.

Segmen percetakan, makanan, minuman dan tembakau masing-masing meningkat 12.2 peratus dan 9.7 peratus, dengan segmen F&B mencatat pengeluaran lebih tinggi bagi produk minuman dan susu.

Segmen pelbagai industri meningkat 9.5 peratus dengan pengeluaran produk logam struktur dan pakaian yang lebih tinggi.

Pengeluaran bagi kelompok kejuruteraan jitu meningkat 5.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Segmen jentera dan sistem meningkat 6.4 peratus, sebahagian besarnya disebabkan pengeluaran peralatan berkaitan semikonduktor yang lebih tinggi.

Segmen modul jitu dan komponen meningkat 4.7 peratus dengan pengeluaran komponen plastik dan logam yang lebih tinggi.

Pengeluaran elektronik meningkat 2.3 peratus manakala segmen infokom dan elektronik pengguna, serta peranti komputer dan segmen storan data mencatatkan peningkatan keluaran sebanyak 38.3 peratus dan 4.7 peratus.

Bagaimanapun, keluaran segmen semikonduktor jatuh 2.6 peratus manakala segmen modul dan komponen elektronik lain jatuh 23.5 peratus dengan pesanan eksport yang lebih rendah dari China.

Kelompok pengeluaran bioperubatan menyaksikan penurunan 9.2 peratus manakala farmaseutikal menguncup 24.9 peratus disebabkan oleh campuran berbeza bahan farmaseutikal aktif yang dihasilkan, kata EDB.

Bagaimanapun, segmen teknologi perubatan berkembang 14.3 peratus, dengan permintaan yang lebih tinggi bagi peranti perubatan dari AS dan China.

Pengeluaran dalam kelompok bahan kimia merosot 11 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalus. Segmen bahan khas meningkat 3.9 peratus disebabkan pengeluaran bahan tambahan makanan yang lebih tinggi.

Keluaran segmen petroleum, petrokimia dan bahan kimia lain masing-masing merosot 2.4 peratus, 15.7 peratus dan 27.6 peratus.

Segmen petrokimia juga mencatatkan pengeluaran lebih rendah di tengah-tengah penutupan penyenggaraan loji manakala segmen kimia lain melaporkan pengeluaran bahan wangian yang lebih rendah, kata EDB.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan