Hasil pengilangan S'pura naik 3.3% pada Ogos; paling perlahan tahun ini
Hasil pengilangan Singapura tumbuh 3.3 peratus pada Ogos 2018 berbanding setahun lalu, menurut perangkaan yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Rabu (26 Sep). Perangkaan terbaru itu adalah kadar pertumbuhan paling perlahan tahun ini.

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Hasil pengilangan Singapura tumbuh 3.3 peratus pada Ogos 2018 berbanding setahun lalu, menurut perangkaan yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) pada Rabu (26 Sep).
Perangkaan terbaru itu adalah kadar pertumbuhan paling perlahan tahun ini, berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.7 peratus pada Julai dan 8.1 peratus pada Jun.
EDB menyatakan, tidak termasuk kejuruteraan bioperubatan, hasil pengilangan tumbuh 3 peratus pada Ogos.
Berdasarkan penyesuaian dari bulan ke bulan, hasil pengilangan susut 2 peratus pada Ogos 2018.
Hasil pengeluaran sektor kimia tumbuh 5.7 peratus pada Ogos berbanding setahun lalu. Segmen produk khusus tumbuh 14.2 peratus selepas pertumbuhan rendah tahun lalu akibat penutupan loji bagi tujuan penyenggaraan.
Sektor kimia lain naik 4.3 peratus, dengan penghasilan lebih tinggi bagi segmen wangian. Namun demikian segmen petrokimia dan petroleum masing-masing mencatat kemerosotan 2.4 peratus dan 4.7 peratus kerana penutupan loji bagi tujuan penyenggaraan.
Dalam sektor kejuruteraan jitu, hasil pengeluaran tumbuh 5.6 peratus, menurut perangkaan EDB.
Segmen komponen jitu berkembang 16.5 peratus disebabkan penghasilan lebih tinggi alat-alat optikal.
Sebaliknya, segmen mesin dan sistem menguncup 1.4 peratus disebabkan permintaan eksport lebih rendah bagi alat-alat berkaitan semikonduktor.
Kelompok kejuruteraan jitu tumbuh 8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi kelompok kejuruteraan pengangkutan, hasil pengilangan meningkat 4.7 peratus bulan lalu berbanding setahun sebelumnya. Dalam sektor ini, kejuruteraan marin dan luar pesisir tumbuh 15.4 peratus didorong lebih banyak projek luar pesisir.
Segmen aeroangkasa naik 1.3 peratus sementara segmen pengangkutan darat menjunam 19.5 peratus menurut perangkaan yang dikeluarkan.
Hasil pengilangan bioperubatan tumbuh 4.2 peratus bulan lalu manakala hasil farmaseutikal tumbuh 8.7 menyusuli penghasilan produk biologikal dan farmaseutikal yang lebih tinggi.
Sementara itu, segmen teknologi perubatan susut 8.2 peratus.
Secara keseluruhannya kelompok pengilangan bioperubatan tumbuh 7.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kelompok elektronik juga tumbuh 3.6 pada bulan Ogos berbanding setahun lalu.
Pertumbuhan kelompok ini dipacu pertumbuhan dalam segmen komponen elektronik serta semikonduktor, yang masing-masing mencatat pertumbuhan 19.4 peratus dan 7.8 peratus, menurut EDB.
Segmen elektronik yang lain mencatat penguncupan.
Kelompok pengilangan umum susut 6 peratus bulan lalu, dengan semua sektor mencatat penguncupan.
Segmen makanan, minuman dan tembakau menguncup 5.3 peratus disebabkan penghasilan lebih rendah susu bayi dan produk minuman.
Industri lain dan segmen cetakan masing-masing menguncup 5.7 dan 9.9 peratus.
Kelompok itu tumbuh 0.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.