Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasil karya 47 penulis disenarai pendek bagi Hadiah Sastera S'pura

Hasil karya 47 penulis berbilang bahasa disenarai pendek bagi Hadiah Sastera Singapura tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hasil karya 47 penulis berbilang bahasa disenarai pendek bagi Hadiah Sastera Singapura tahun ini.

Lima penulis, dengan dua daripadanya nama yang tidak asing lagi dalam dunia persuratan Melayu - Suratman Markasan dan Jamal Ismail - berjaya mendapatkan dua karya mereka dimasukkan ke dalam senarai itu.

PENDENGARAN, PENGLIHATAN & HATI SURATMAN MARKASAN

"Tuhan memberikan tiga perkara penting kepada manusia - pendengaran, penglihatan dan hati," ujar Encik Suratman dengan penuh bermakna.

Berpaksikan pegangan tersebut hasil karya Encik Suratman Markasan, sasterawan mapan yang cukup disegani itu sekali lagi disenarai pendek bagi Hadiah Sastera Singapura tahun ini.

Kali ini, dua buku sasterawan yang sudah berpengalaman sejak tahun 1950-an itu akan dinilai menjelang 27 Ogos ini - kumpulan puisi Pencarian dan Penemuan serta Mengasah Kalam: Membina Kritikan Sastera di Singapura (Jilid 1).

Encik Suratman yang bakal mencecah usia 90 tahun, berkongsi: "Kerja saya menulis. Apakah mereka membaca atau tidak – itu sudah tidak lagi jadi pemikiran saya. Saya terus menulis untuk kemudian hari.

"Mungkin bila saya dah tak lagi ada, barang kali baru orang sedar, apa yang dicakapkan oleh beliau ini, ada, telah ada."

TULISAN HARUS UMUM

Buku Mengasah Kalam: Membina Kritikan Sastera di Singapura (Jilid 1) menyentuh tentang situasi kritik sastera yang tandus serta hasil tulisan cerpen yang masih lemah.

Kumpulan puisi Pencarian dan Penemuan pula lebih berbentuk peribadi mengenai dirinya dengan keluarga, masyarakat serta keadaan di sekeliling termasuk gambarannya tentang politik dan ekonomi.

Yang pasti, meskipun sudah lama berkarya, Encik Suratman terus berhasrat menjadi jambatan bagi menyampaikan sesuatu mesej yang memberi manfaat kepada masyarakat.

"Kalau seorang penulis tulis mengenai dirinya sahaja, maka dia tidak akan dapat menyampaikan sesuatu tentang umum, dan tulisan ini harus umum dan bukan untuk diri kita sahaja, dan sebab itu saya katakan, mata, telinga kita gabungkan, lalu kita fikirkan untuk kita cernakan di dalam tulisan kita," jelas Encik Suratman yang masih tajam ingatannya.

'BAHASA VISUAL' JAMAL ISMAIL

Bagi Encik Jamal Ismail, karyanya yang bertajuk GOD(A) dan Tunjuk Langit menandakan kemunculannya semula dalam bidang penulisan sastera selepas 21 tahun bergiat dalam dunia penyiaran.

Kumpulan cerpen GOD(A) diilhamkan daripada pengalaman dan pengamatan beliau tentang isu-isu kemanusiaan.

Tunjuk Langit pula berlatarkan rumah tumpangan yang dikongsi penghuni pelbagai kaum dan agama dan wujud seorang 'wira' yang memperjuangkan nilai-nilai universal - pegangan yang menawarkan keamanan, kemajuan dan keadilan.

Encik Jamal berkata: "Kawan-kawan selalu menyebut, 'kau menulis berbeza, kau menggunakan bahasa visual' sebab saya orang sastera dan saya juga orang penyiaran.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Bila orang membaca, mereka boleh dapat satu layar atau imaginasi. Saya bangunkan begitu, sebab saya orang visual, jadi bagi kejadian dalam cerita saya, ia satu layar minda."

52 HASIL KARYA WAKILI 12 KATEGORI

Sebanyak 52 hasil karya akan dipertandingkan dalam 12 kategori bagi Puisi, Cereka dan Bukan Cereka Kreatif dalam empat bahasa.

Acara tahun ini juga terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan pendanaan wang hadiah yang merosot. Berbeza daripada tahun-tahun lalu, pemenang setiap kategori akan membawa pulang S$3,000, berbanding S$10,000 sebelumnya.

"Berbohong kalau saya cakap saya tak kecewa. Tetapi bukan itu yang penting, yang penting karya itu dinilai," kata Encik Jamal.

"Saya cadangkan supaya karya-karya yang menang ini diberi 'ganti rugi'. Walaupun hadiahnya kurang, terjemahkannya, kerana itu hadiah lebih besar, lebih daripada S$10,000, kerana kita akan mendapat pembaca yang luas, mudah-mudahan dapat gambarkan Singapura sebegini rupa dan dunia boleh menilai."

Buat pertama kalinya, acara penyampaian Hadiah Sastera Singapura akan diadakan secara online di Facebook dan YouTube Majlis Buku Singapura (SBC) pada 27 Ogos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan