Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasil cukai SG naik 13.1% berikutan pemulihan ekonomi selepas COVID-19 berakhir

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hasil cukai sejumlah S$68.6 bilion dikutip bagi tahun kewangan 2022/2023 di Singapura, iaitu kenaikan 13.1 peratus berbanding 2022.

Kenaikan S$7.9 bilion itu mencerminkan pemulihan ekonomi negara berikutan berakhirnya pandemik COVID-19, dedah Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) pada Rabu (6 Sep).

Kadar tunggakan bagi cukai pendapatan, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai hartanah jatuh kepada S$363.1 juta, atau 0.59 peratus, berbanding 0.64 peratus pada tahun kewangan sebelumnya.

"Cukai yang diperolehi digunakan untuk menyokong ekonomi dan program sosial Singapura untuk mencapai pertumbuhan bermutu dan masyarakat inklusif," menurut IRAS dalam satu kenyataan media.

Kutipan hasil cukai meningkat rentas semua jenis cukai.

"Daripada kenaikan kutipan S$7.9 bilion, cukai hasil korporat menyumbang S$4.9 bilion disebabkan keuntungan korporat yang memberangsangkan," tambah IRAS.

"GST naik S$1.5 bilion disebabkan penggunaan lebih tinggi dan pemulihan pada kedatangan pelancong antarabangsa, manakala cukai pendapatan individu naik S$1.3 bilion disebabkan pendapatan peribadi lebih tinggi."

Kutipan duti setem merosot, walau bagaimanapun, ia turun S$800 juta atau 12 peratus, disebabkan urus niaga lebih rendah dibandingkan pada 2022.

S$4.6 BILION DIAGIHKAN

Pada tahun kewangan 2021/2022, IRAS mengagihkan geran sebanyak S$4.6 bilion kepada lebih dari 120,000 perusahaan untuk menyokong pengambilan pekerja tempatan dan pertumbuhan gaji warga Singapura, dedah pihak berkuasa itu.

Geran tersebut berada di bawah skim seperti Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI), Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS), Kredit Pekerjaan Warga Emas (SEC) dan Geran Pemulihan Perniagaan Kecil (SBRG).

Daripada jumlah tersebut, S$2.7 bilion diberikan kepada lebih dari 68,000 perniagaan yang mengambil pekerja tempatan di bahawa JGI. IRAS menyatakan ia akan membantu mencipta pekerjaan yang baik buat warga Singapura pada tempoh jangka panjang.

Di bawah PWCS yang dipertingkatkan, S$1 bilion diberikan untuk menyediakan sokongan peralihan kerja bagi lebih 70,000 majikan, dengan pembiayaan bersama oleh pemerintah bagi pekerja bergaji rendah.

Di bawah SEC, S$319 juta disalurkan kepada lebih 95,000 majikan yang menggajikan pekerja warga Singapura. IRAS menyatakan langkah tersebut akan membantu mereka menyesuaikan diri kepada kenaikan kos disebabkan kadar persaraan dan usia pengambilan kerja semula yang tinggi.

S$136 juta di bawah SBRG diagihkan untuk menyokong lebih 41,000 perniagaan kecil yang terjejas oleh sekatan COVID-19. Perniagaan tersebut diberikan pembayaran tunai sekali sahaja pada Jun 2022.

Cukai pendapatan korporat membentuk bahagian terbesar dalam kutipan hasil IRAS, iaitu S$23.1 bilion, atau 33.7 peratus.

Ia diikuti dengan cukai pendapatan individu pada S$15.5 bilion, atau 22.6 peratus. IRAS menyatakan bahawa 83 peratus daripada angka itu berasal dari pembayar cukai dengan pendapatan tahunan melebihi S$150,000.

GST menyumbang S$14.1 bilion, atau 20.5 peratus, manakala duti setem menyumbang S$6 bilion atau 8.7 peratus.

Cukai hartanah (S$5.1 bilion), cukai pertaruhan (S$2.8 bilion) dan cukai pegangan (S$2.1 bilion) menyumbang kepada baki hasil cukai.

IRAS menambah bahawa ia mengaudit dan menyiasat 9,019 kes pada tahun kewangan 2022/23 dan memperolehi kira-kira S$499 juta dalam bentuk cukai dan hukuman.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan