Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hasil cukai hartanah, korporat lebih tinggi tingkat pendapatan Pemerintah

 Sumbangan "sihat" daripada cukai korporat dan cukai berkaitan hartanah pada tahun ini menyumbang kepada pendapatan  Pemerintah, dan membolehkan langkah-langkah sokongan COVID-19  dilaksanakan tanpa menggunakan rizab lalu, menurut pakar ekonomi. 

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil cukai hartanah, korporat lebih tinggi tingkat pendapatan Pemerintah

Gambar: Calvin Oh

Diterbitkan : 05 Nov 2021 10:08AM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 10:11AM

SINGAPURA: Sumbangan "sihat" daripada cukai korporat dan cukai berkaitan hartanah pada tahun ini menyumbang kepada pendapatan Pemerintah, dan membolehkan langkah-langkah sokongan COVID-19 dilaksanakan tanpa menggunakan rizab lalu, menurut pakar ekonomi.

Kutipan cukai lebih tinggi ini disokong pasaran hartanah yang rancak, pertumbuhan berterusan yang dinikmati beberapa industri seperti perkilangan serta pertumbuhan hasil kasar dalam negeri (GDP) Singapura tahun ini, tambah mereka.

Singapura kini berada di tengah-tengah "fasa penstabilan" dengan peraturan COVID-19 lebih ketat dilaksanakan seperti had dua orang bagi perhimpunan sosial dan duduk makan di luar.

Pertama kali dilaksanakan pada 27 September lalu, rancangan awalnya adalah untuk melaksanakan protokol lebih ketat ini selama sebulan bagi mengekang lonjakan kes jangkitan tempatan COVID-19. Namun dengan sistem jagaan kesihatan negara terus tertekan ekoran kes harian baru empat angka, peraturan tersebut dilanjutkan sehingga 21 November.

Bagi membantu perniagaan dan pekerja, satu pakej bernilai S$650 juta berupa subsidi gaji, pelepasan sewa dan bentuk sokongan lain dilancarkan pada lewat September. Apabila sekatan lebih ketat dilanjutkan bulan lalu, Pemerintah mengumumkan pusingan kedua bantuan bernilai S$640 juta.

Langkah-langkah sokongan terbaru ini, berjumlah hampir S$1.3 bilion, dan akan dibiayai menerusi pendapatan lebih tinggi daripada jangkaan yang dikumpulkan sehingga kini, tanpa perlu mengeluarkan lagi rizab negara, menurut pihak berkuasa.

Ahli ekonomi memberitahu Mediacorp hasil pendapatan Pemerintah berkemungkinan mendapat suntikan daripada kutipan cukai lebih tinggi daripada beberapa bidang pada tahun kewangan 2021.

“Memang benar kutipan hasil pendapatan belanjawan buat masa ini lebih tinggi daripada jangkaan... khususnya cukai korporat dan peribadi yang sihat, cukai hartanah, cukai setem serta cukai kastam dan eksais," kata Ketua Penyelidikan dan Strategi OCBC, Selena Ling.

"Bahkan, jumlah kutipan (cukai-cukai ini) buat tahun ini setakat ini sudah melepasi tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik," tambah beliau.

Sejak tahun kewangan bermula April, kutipan cukai pendapatan korporat sehingga September meningkat kepada sekitar S$12.8 bilion, menurut data terkini daripada Jabatan Akauntan Negara yang disediakan di laman Jabatan Statistik Singapura.

Jumlah itu seganda lebih tinggi berbanding S$5.7 bilion yang dikutip sepanjang tempoh yang sama pada tahun kewangan lalu.

Kutipan hasil cukai pendapatan peribadi sejauh ini berjumlah S$8 bilion, naik sedikit berbanding S$6.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Kutipan cukai hartanah pula meningkat empat kali lebih banyak kepada hampir S$2 bilion berbanding S$508 juta sebelumnya.

Sementara itu, cukai setem dari April hingga September berjumlah S$3.2 bilion, juga jauh lebih tinggi daripada S$1.2 bilion pada tahun kewangan lalu.

APA YANG RANGSANG KENAIKAN HASIL CUKAI?

Ketika ditanya mengapa hasil cukai pendapatan korporat melonjak meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19, Cik Ling menjelaskan beberapa industri seperti perkilangan mencatatkan prestasi lebih baik daripada jangkaan sejauh ini. Ini mungkin membantu mengimbangi kemelesetan yang dihadapi industri-industri lain.

Ahli ekonomi kanan DBS, Irvin Seah, bersetuju sambil menambah bahawa "pemulihan tidak sama rata" disebabkan beberapa sektor menyaksikan peningkatan daripada permintaan luar dan trend seperti pendigitalan. Faktor lain seperti perjalanan dan pelancongan terus dihambat oleh keadaan tidak menentu disebabkan pandemik.

Sebab-sebab yang sama mendukung daya ketahanan dari segi hasil cukai pendapatan peribadi, kata dua ahli ekonomi itu.

Bagaimanapun, Cik Ling menarik perhatian peningkatan itu "agak memeranjatkan" dan merujuk kepada Skin Bantuan Pekerjaan (JSS) serta langkah-langkah pemerintah lain yang mungkin menyediakan sokongan bagi pasaran buruh.

Pasaran hartanah yang rancak dipacu oleh kenaikan harga dan urus niaga memperkukuhkan hasil kutipan daripada cukai hartanah dan cukai setem.

Encik Seah berkata permintaan bagi hartanah terus bertahan kerana dua sebab.

Pertama, kesan ekonomi akibat pandemik "amat buruk" dengan golongan berpendapatan rendah yang menanggung bebannya.

Aturan bekerja dari rumah juga mungkin mendorong sesetengah orang untuk mempertimbangkan rumah lebih besar, kata Encik Seah.

PENDAPATAN CUKAI LEBIH BAIK DIJANGKA BERTERUSAN

Kutipan cukai lebih tinggi dalam kategori-kategori sama ini mungkin terberterusan ekoran ekonomi Singapura yang semakin pulih.

Ahli Ekonomi CIMB Song Seng Wun berkata: "Semuanya berbalik pada ekonomi. Jika sekatan dilonggarkan, lebih banyak aktiviti fizikal dan lebih banyak pengambilan pekerja boleh berlaku, ia seharusnya meningkatkan sentimen keseluruhan".

Awal tahun ini, Pemerintah mengumumkan pakej sokongan bernilai lebih S$2 bilion bagi mereka yang terjejas oleh dua tempoh "kewaspadaan dipertingkat" dari Mei hingga Julai. Ia dibiayai melalui peruntukan semula belanjawan dari bidang-bidang yang kurang digunakan akibat pandemik.

Encik Seah berkata Pemerintah lebih cenderung ke arah bersikap konservatif ketika membuat anggaran dan defisit belanjawan sebelum ini ternyata lebih kecil daripada yang diunjurkan.

Pemerintah menjangkakan defisit belanjawan sebanyak S$11 bilion, atau 2.2 peratus GDP pada FY2021.  

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa