Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haruskah wanita jalani NS sekarang? Kos sosial 'jauh melebihi kebaikannya', tegas Ng Eng Hen

Anggaran Waktu Membaca:
Haruskah wanita jalani NS sekarang? Kos sosial 'jauh melebihi kebaikannya', tegas Ng Eng Hen

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

Diterbitkan : 09 May 2022 03:12PM Dikemas Kini : 09 May 2022 03:12PM

SINGAPURA: "Kos sosial" sekiranya kaum wanita mendaftar untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS) kini "jauh melebihi manfaatnya", kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di Parlimen pada Isnin (9 Mei). 

"Kemasukan wanita ke dalam pasaran tenaga kerja akan tertangguh. Kesan ketaranya dapat dilihat pada kemerosotan saiz tenaga kerja tempatan dan kekurangan pendapatan keluarga," kata Dr Ng. 

"Sekalipun wanita dibenarkan untuk memainkan peranan bukan tentera dalam NS untuk mempertingkatkan khidmat jagaan kesihatan dan sosial, ia mungkin akan menyebabkan kekurangan tenaga kerja dalam industri-industri lain. Dalam jangka panjang, ia bukan saja akan membebankan kaum wanita tetapi juga keluarga, anak-anak dan pasangan mereka serta masyarakat secara keseluruhannya." 

"Adakah kos itu wajar untuk menyampaikan sebarang isyarat atau mengubah tanggapan? Daripada perspektif Pemerintah, tidak. Saya rasa kebanyakan rakyat Singapura pun akan mengatakan tidak, dari sudut keselamatan." 

Dr Ng berkata demikian semasa menjawab pertanyaan AP Carrie Tan (PAP-Nee Soon) yang bertanya tentang pendaftaran wanita untuk NS dan pertimbangannya selain mempunyai anggota NS yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pertahanan negara. 

Dr Ng turut menarik perhatian kepada saranan-saranan yang diusulkan semasa perbahasan Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita yang menyarankan agar kaum wanita menyertai NS atas sebab kesaksamaan jantina bagi peranan-peranan seperti jururawat atau guru. 

"Selepas mencapai kedudukan yang kukuh ini, perlukah kita atas dasar kesaksamaan jantina memperkenalkan NS kepada kaum wanita?" tanya Dr Ng sambil menekankan bagaimana Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), meskipun berdepan dengan kekurangan tenaga manusia, tetap bersiap sedia untuk beroperasi dengan menggunakan teknologi dan memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber. yang tersedia 

"Sebab utama" untuk menyertai NS mestilah untuk melatih seorang askar agar dia berupaya mempertahankan Singapura dan bagi mencegah atau menewaskan musuh yang cuba menyerang negara kita, tegas Dr Ng. 

Begitu juga bagi NS dalam Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang mestilah berdasarkan keperluan untuk kecemasan dan keselamatan negara.

"Ia jauh berbeza daripada saranan-saranan untuk mengerahkan wanita bagi memainkan peranan seperti penjaga dan petugas jagaan kesihatan atau setakat untuk menyampaikan mesej mengenai kesaksamaan jantina," tambah Dr Ng. 

"Ini adalah alasan-alasan yang tidak cukup munasabah untuk mewajibkan seseorang itu menggantung kebebasan haknya sebagai anggota orang awam, menghabiskan dua tahun dan jika tidak, mereka akan dikenakan hukuman penjara kerana mahkamah kita  menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang mengelak menjalani NS." 

Maka itu, wanita menurut Dr Ng, tidak seharusnya menjalani NS untuk  melaksanakan peranan di luar SAF, SPF dan SCDF sekalipun ia mencapai "“beberapa kebaikan sosial". 

"Buat masa ini tiada keperluan untuk wanita menjalani Perkhidmatan Negara," tegas Dr Ng. 

Namun, sekiranya Singapura berdepan dengan "ancaman terhadap penakatan negara ini" dan terdapat pula "keperluan yang mendesak" untuk mempertingkatkan keupayaan angkatan tenteranya, Dr Ng berkata beliau pasti Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan SAF akan menggesa Pemerintah supaya mengerahkan bukan saja wanita tetapi juga remaja dan lelaki yang lebih tua untuk mempertahankan, melindungi dan menyelamatkan Singapura. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa