Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Haruskah SG tarik balik pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam, persekitaran jagaan kesihatan?

Sedang situasi COVID-19 di Singapura dan seluruh dunia bertambah stabil, para pakar penyakit berjangkit di sini berpendapat bahawa sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk memansuhkan peraturan memakai pelitup dalam pengangkutan awam dan persekitaran jagaan kesihatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Haruskah SG tarik balik pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam, persekitaran jagaan kesihatan?

Para penumpang dalam kereta api semasa waktu sibuk pada 2 Jun 2020 - hari pertama Fasa 1. (Gambar: Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Sedang situasi COVID-19 di Singapura dan seluruh dunia bertambah stabil, para pakar penyakit berjangkit di sini berpendapat bahawa sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk memansuhkan peraturan memakai pelitup dalam pengangkutan awam dan persekitaran jagaan kesihatan.

Singapura berjaya mengawal penularan COVID-19 sehingga penyakit itu terkawal dan hanya meragut nyawa segelintir orang berbanding demam selesema, menurut pakar yang ditemui Mediacorp.

Menurut para pakar, dengan orang ramai dibenarkan bergaul secara terbuka di tempat-tempat awam, peraturan memakai pelitup seolah-olah "tidak lagi diperlukan".

Dalam Amanat Tahun Barunya baru-baru ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Pemerintah sedang memantau perkembangan situasi COVID-19 dengan teliti dan mungkin menarik balik sekatan sedia ada jika situasinya kekal stabil.

Pada Jumaat lalu (27 Jan), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata jumlah kes jangkitan lazimnya melonjak selepas hujung minggu yang panjang, namun jumlah kes COVID-19 sepanjang cuti Tahun Baru Cina adalah rendah, sekali gus menandakan bahawa situasi sudah stabil.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan bagi negara-negara lain di seluruh dunia .

Rumah Putih di Amerika Syarikat menyatakan pada Isnin (30 Jan) bahawa perisytiharan darurat COVID-19 di negara itu akan ditamatkan secara rasmi pada 11 Mei.

Pada awal bulan ini, Dr Liang Wannian, ketua panel respons COVID-19 China di bawah Suruhanjaya Kesihatan Nasional negara itu berkata lonjakan kes COVID-19 di sana telah merosot dan negara itu sudah "mengharungi gelombang jangkitan terburuk".

PANDANGAN PAKAR MENGENAI SITUASI COVID-19 DI SG

Profesor Madya Alex Cook, naib dekan kajian dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata, risiko berlaku kematian angkara COVID-19  di Singapura telah merosot.

Dr Paul Tambyah, Presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan bagi Asia Pasifik pula menarik perhatian kepada situasi COVID-19 di sini yang lebih terkawal, sambil berkata langkah-langkah sekatan yang lain sudah boleh dimansuhkan.

Pandangan itu juga dipersetujui oleh Dr Leong Hoe Nam dari Klinik Rophi dan Pusat Spesialis Mount Elizabeth Novena, yang berkata ini disebabkan oleh kadar vaksinasi yang tinggi di Singapura, imuniti kumpulan yang munasabah disebabkan oleh imuniti kelompok dan akses kepada ubat-ubatan antivirus.

BAGAIMANA SG SEHARUSNYA TANGANI COVID-19

Ketiga-tiga pakar itu berkata bahawa sekarang ini sudah selamat untuk menarik balik langkah sekatan COVID-19 berhubung pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam dan persekitaran kesihatan awam.

Pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan di tempat-tempat tertutup selain tempat-tempat tersebut mulai 29 Ogos tahun lalu.

Ini kerana ia merupakan tempat di mana khidmat penting disediakan di persekitar tertutup yang sesak dan lazimnya digunakan oleh golongan yang mudah terjejas.


Dr Leong berpendapat sekatan-sekatan dalam pengangkutan awam sudah "lapuk dan tidak relevan" memandangkan orang ramai bebas bergaul tanpa sekatan jarak selamat.

Menurutnya, individu yang mengalami jangkitan serius COVID-19 dan perlu dimasukkan ke hospital hanyalah mereka yang sistem imun mereka terjejas dan mereka akan terus terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19 dan penyakit lain tidak kira sama ada langkah-langkah sekatan itu dilaksanakan ataupun tidak.

"Saya tidak fikir jika kita tunggu lagi tiga hingga enam bulan (untuk tarik balik sekatan COVID-19) ia akan mewujudkan situasi lebih baik di mana jumlah kes berkurangan. Langkah sekatan  tidak seimbang yang dikenakan terhadap penduduk tidak akan mengurangkan secara ketara jumlah individu yang lemah sistem imun mereka," kata Dr Leong.

APAKAH LANGKAH BERJAGA-JAGA COVID-19 YANG PERLU DIKEKALKAN

Namun para pakar berkata koronavirus yang menyebabkan COVID-19 bukan setakat satu lagi virus selesema bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan rakyat Singapura tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya untuk mengurangkan penularan penyakit berjangkit.

"Kita perlu kekal berwaspada dengan melaksanakan pemantauan menyeluruh, vaksinasi yang sesuai bagi kumpulan berisiko tinggi dan penyiasatan aktif terhadap penularan jangkitan pernafasan terutama sekali dalam kalangan golongan mudah terjejas seperti penghuni rumah jagaan," kata Dr Tambyah.

Dr Leong menambah: "Kita boleh menggunakan istilah "virus seperti selesema" bagi COVID-19, namun kita perlu ingat bahawa masih ada ramai warga emas atau mereka yang kurang daya tahan imun di mana virus COVID-19 dan sebarang jangkitan influenza lain mungkin berbahaya bagi mereka.

"Mereka yang kurang daya tahan imun atau berisiko, maka anggota keluarga mereka perlu terus memakai pelitup dan mendapatkan vaksin terkini secara kerap."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan