Harungi ketidaktentuan, S Iswaran tegaskan pentingnya beri fokus terhadap perkara asas
Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran menekankan peri pentingnya memberikan tumpuan kepada perkara-perkara asas dalam mengharungi keadaan global yang tidak menentu.
SINGAPURA: Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran menekankan peri pentingnya memberikan tumpuan kepada perkara-perkara asas dalam mengharungi keadaan global yang tidak menentu.
Encik Iswaran berkata demikian dalam satu acara sambutan Hari Vesak yang mana beliau menyertai lebih 300 penganut Buddha menyaksikan pelbagai upacara.
"Kita perlu memberikan tumpuan kepada perkara asas - tidak kira di peringkat ekonomi, keusahawanan, individu dan saya akan menambah di peringkat masyarakat juga dari sudut memastikan kita kekal harmoni serta kohesif sebagai sebuah masyarakat," kata beliau.
Encik Iswaran menambah perkara itu adalah sesuatu yang perlu diteruskan sebagai pemerintah dan rakyat kerana hujung pangkalnya, ia yang akan menjamin kejayaan berterusan Singapura serta kebolehan negara untuk mengharungi ketidaktentuan yang mungkin dihadapi.
Dalam ucapannya, Encik Iswaran berkata segala teknologi infokom di samping Internet dan media sosial sudah menjadikannya tidak mustahil untuk menyebarkan dan mengakses ucapan kebencian yang boleh menggugat keharmonian kaum lantas mencetuskan konflik keagamaan.
Hal ini, menurut beliau, jelas disaksikan dalam kedua-dua serangan pengganas di Christchurch dan Sri Lanka akibat hasutan daripada penyebaran keganasan agama serta ucapan kebencian online.
Detik-detik hitam itu, kata Encik Iswaran, adalah satu peringatan kepada semua tentang kesan yang harus dihadapi jika masyarakat membenarkan ucapan tidak bertanggungjawab sedemikian menyebarkan kebencian serta keganasan bukan sahaja dalam negeri bahkan di seluruh negara.
Di Singapura, hal itu dikekang menerusi undang-undang dengan Pemerintah meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) beberapa minggu lalu. Rang undang-undang itu bermatlamat untuk membendung penyebaran berita palsu secara online dengan menggunakan kaedah kawal selia dan sekatan-sekatan dalam bentuk undang-undang.
Bagaimanapun, Encik Iswaran menekankan, "undang-undang sahaja tidak mencukupi". Tidak dapat dinafikan, undang-undang adalah penting supaya tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya perlu.
Namun, beliau menambah, usaha mengekang berita palsu juga memerlukan kerjasama segenap lapisan masyarakat.
"Kita memerlukan pendidikan awam, kita memerlukan pemeriksaan fakta dan kita memerlukan usaha seperti apa yang anda lakukan untuk membina persefahaman antara masyarakat serta untuk kekal teguh dan setia dalam komitmen kami terhadap keharmonian pelbagai kaum," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.