Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hartinah Ahmad juara Anugerah Pena Emas ke-14 NAC kategori puisi Melayu

Penulis lirik terkenal Hartinah Ahmad, dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Pena Emas (GPA) 2019 dalam genre puisi Melayu. Anugerah Pena Emas adalah sayembara menulis cerpen dan sajak yang ulung di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penulis lirik terkenal Hartinah Ahmad, dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Pena Emas (GPA) 2019 dalam genre puisi Melayu. Anugerah Pena Emas adalah sayembara menulis cerpen dan sajak yang ulung di Singapura.

Dengan kemenangannya, Cik Hartinah membawa pulang hadiah wang tunai S$4,000, sijil, trofi dan geran pengayaan bernilai S$6,000.

Geran pengayaan yang diterima akan membantunya memperhalusi kemahiran menulis menerusi penilaian manuskrip, khidmat editorial, pelibatan dalam seminar-seminar penulisan, bengkel dan pendedahan di luar negara.

Bagi kategori sama, tempat kedua jatuh kepada Cik Khaziah Yem dengan karya bertajuk 'Menangkap Senyap' sementara Encik Djohan Abdul Rahman menang tempat ketiga dengan puisi 'Ikrar Cinta Si Perajurit Kata'.

(Gambar-gambar: NAC)

Mereka masing-masing mendapat hadiah wang tunai dan sijil.

Pertandingan dwitahunan anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu bermatlamat menyuburkan bakat penulis yang baru dan mewujudkan sekitaran membina bagi pemikiran yang kreatif dan ekspresi sastera di Singapura.

PUISI CERITAKAN ZAMAN SUSAH TAMBAT HATI JURI

Puisi Cik Hartinah yang berjaya menambat hati panel juri, bertajuk "Sekati Tamban, Secekak Bayam Dalam Bakul Rotan". Puisinya itu dilampirkan di hujung artikel ini.

Secebis puisi tulisannya berbunyi: "Malam semalam hujan lebat, longkang kecil tersumbat... sampah sarap, papan kayu, tilam bantal, anjing, kucing... terbongkang hanyut dibawa arus terus ke laut."

Menurut Cik Hartinah: "Kisah itu berlaku di kampung pada tahun 1960-an. Saya melalui zaman kesusahan dahulu. Dengan meletakkan cerita-cerita dahulu untuk tatapan generasi akan datang, saya harapkan mereka menghargai apa yang dahulu berlaku di Singapura."

Hakikatnya, ini bukan kemenangan pertama beliau dalam sayembara GPA. Beliau pernah merangkul tempat ketiga GPA pada tahun 2013 dan menerima Sebutan Khas semasa GPA 2017.

Namun kejayaan kali ini lebih manis kerana beliau diisytiharkan sebagai juara.

Antara syarat untuk menyertai pertandingan ini adalah peserta tidak boleh menghantar karya solo yang pernah diterbitkan dalam genre yang ingin disertai.

KEISTIMEWAAN KARANG PUISI BAGI HARTINAH AHMAD

Sebagai seorang penulis yang sudah berkarya sejak tahun 1971, pencapaian Hartinah sememangnya luas. Beliau pernah mendapat perhatian ramai, menerusi drama Anak Metropolitan dan Mengejar Mentari.

Sebagai penulis lirik pula, Cik Hartinah sudah menghasilkan lebih 150 lirik lagu yang dinyanyikan ramai penyanyi popular termasuk kumpulan Sweet Charity, Lefthanded, 'Papa Rock' Ramli Sarip dan Ella.

Meskipun demikian, Cik Hartinah menganggap pencapaian GPA 2019 ini manis baginya kerana beliau hanya berjaya menjadi juara sayembara ini pada percubaan ketiga.

Beliau juga akur, penulisan puisi bermakna baginya kerana hasil karya itu dapat diabadikan.

"Bila saya menulis puisi, ia diabadikan di dalam buku kemudian menjadi satu catatan dalam sejarah hidup saya mahupun kehidupan generasi akan datang," tambah beliau.

JUMLAH PENYERTAAN KESELURUHANNYA NAIK

Tahun ini NAC menerima lebih 1,200 penyertaan keseluruhannya bagi empat bahasa rasmi Singapura. Menariknya, ramai dalam kalangan peserta adalah golongan belia - 60 peratus penulis berusia bawah 35 tahun.

Mereka yang mencuba nasib dalam sayembara ini tidak semuanya mempunyai pengalaman menulis. Peserta termuda berusia hanya 6 tahun!

"Sebenarnya, kita dapat melihat penulis-penulis baru mengemukakan tema-tema menarik seperti tentang sejarah dan budaya, jelas salah seorang juri bagi kategori cerpen Melayu, Encik Farihan Bahron.

"Meskipun demikian, mereka yang menang mempunyai susunan karya lebih kemas, pengolahan cerita yang lebih baik dan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada pembaca."

Bahkan, salah seorang pemenang kategori cerita pendek Melayu bagi edisi ke-14 Anugerah Pena Emas merupakan seseorang yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kesusasteraan.

Tempat ketiga bagi kategori itu dimenangi Encik Muhamad Farhan Abdul Kahar, seorang kakitangan awam yang berkhidmat dalam Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA). Cerpennya bertajuk Harapan.

Mohamed Naguib Ngadnan dinobatkan sebagai pemenang kategori cerpen Melayu menerusi karya tulisannya bertajuk 'Saudagar Pagar'.

Nurbayah Ismail pula mendapat tempat kedua dengan hasil karyanya bertajuk Sang Perawat.

Berikut karya tulisan Hartinah Ahmad:  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan