Hartawan SG Robert Ng & 3 anaknya kini ditetapkan sebagai 'individu penting dari segi politik' di bawah FICA
Pengerusi Sino Group, Robert Ng, dan tiga anaknya - Encik Daryl Ng, Cik Nikki Ng dan Encik David Ng - ditetapkan sebagai "individu penting dari segi politik" di bawah undang-undang bagi menangani campur tangan asing.

(Ikut arah jam dari kiri, atas) Encik Robert Ng Chee Siong, Encik Daryl Ng Win Kong, Encik David Ng Win Loong dan Cik Nikki Ng Mien Hua. (Gambar: Temasek, LinkedIn/Daryl Ng, David Ng, Nikki Ng)
Langkah itu diambil sekitar dua minggu selepas mereka menerima notis yang menyatakan hasrat pihak berkuasa untuk membuat penetapan tersebut dan mereka tidak mengemukakan sebarang perwakilan untuk membantahnya, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa (22 Apr).
Berdasarkan keanggotaan mereka dalam badan perundangan atau organisasi politik asing seperti yang diisytiharkan, pihak pendaftar mendapati mereka wajar ditetapkan sebagai "individu penting dari segi politik" di bawah Seksyen 48(1) Akta Parlimen (Langkah Tindak Balas) Campur Tangan Asing, atau FICA.
Digubal pada 2021, undang-undang tersebut merangkumi "langkah tindak balas untuk mencegah, mengesan dan menggugat campur tangan asing dalam politik domestik (Singapura)".
“Penetapan yang dimaksudkan bagi keempat-empat individu tersebut bukan kerana mereka telah terlibat dalam sebarang aktiviti yang buruk,” menurut MHA.
Encik Daryl Ng, Cik Nikki Ng dan Encik David Ng masing-masing memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi, pengarah bukan eksekutif dan pengarah bersekutu kumpulan di Sino Group.
Semakan Mediacorp mendapati keempat-empat anggota keluarga Ng itu memegang jawatan dalam Majlis Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), iaitu badan penasihat politik tertinggi China.
Berbeza dengan Kongres Rakyat Kebangsaan, CPPCC tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang. Namun, cadangannya boleh mempengaruhi pembentukan dasar.
Sebagai individu yang ditetapkan, mereka diwajibkan untuk menyerahkan laporan tahunan kepada Pendaftar tentang sumbangan politik yang mereka terima melibatkan jumlah S$10,000 atau lebih. Mereka juga perlu mengisytiharkan sebarang hubungan dengan pihak asing dan faedah berkaitan penghijrahan.
Encik Robert Ng dan anak-anaknya mengisytiharkan penglibatan mereka tidak lama sebelum 1 Mac 2024, iaitu tarikh akhir bagi warga Singapura untuk mengisytiharkan keanggotaan mereka dalam badan perundangan asing atau pertubuhan politik asing.
Warga Singapura yang sudah menjadi anggota sebelum 1 Februari 2024 perlu berbuat demikian sebelum 1 Mac tahun itu.
Sehingga 31 Mac, tujuh warga Singapura telah mengisytiharkan keanggotaan mereka dalam badan perundangan asing atau pertubuhan politik asing.
Encik Ng dan anak-anaknya menerima notis berkaitan pada 7 April, menurut MHA.
MHA turut menjelaskan pada 9 April bahawa tiga individu lain tidak diberi notis kerana Pendaftar bagi Pendedahan Asing dan Politik mendapati mereka tidak memenuhi syarat penetapan.
Ini adalah kali kedua MHA menetapkan individu di bawah peruntukan FICA.
Individu pertama yang menerima notis sedemikian ialah ahli perusahaan warga Singapura, Philip Chan Man Ping, yang kemudian ditetapkan sebagai individu penting dari segi politik pada 26 Februari 2024.
Pada masa itu, Encik Chan - yang berhijrah dari Hong Kong dan kemudian menjadi warga Singapura - diketahui mempunyai hubungan dengan CPPCC. Beliau juga aktif dalam kegiatan akar umbi dan pengumpulan dana di Singapura selama lebih sedekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.