Hartawan SG Robert Ng, 3 anaknya ditetapkan sebagai 'individu penting dari segi politik' di bawah FICA
Empat individu daripada salah satu keluarga terkaya di Singapura akan ditetapkan sebagai "individu penting dari segi politik" di bawah undang-undang bagi menangani campur tangan asing, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (7 Apr).
(Dari kiri) Encik Robert Ng Chee Siong, Encik Daryl Ng Win Kong, Encik David Ng Win Loong dan Cik Nikki Ng Mien Hua. (Gambar: Temasek, LinkedIn/Daryl Ng, David Ng, Nikki Ng)
Pengerusi Sino Group Robert Ng dan tiga orang anaknya - Encik Daryl Ng, Cik Nikki Ng dan Encik David Ng - mengisytiharkan kepada Pejabat Pendaftaran Pendedahan Asing dan Politik pada 2024 bahawa mereka merupakan anggota badan perundangan asing atau pertubuhan politik asing.
Berdasarkan keahlian mereka, pendaftar menilai bahawa mereka harus ditetapkan sebagai "individu penting dari segi politik" di bawah Seksyen 48(1) Akta Parlimen (Langkah Tindak Balas) Campur Tangan Asing, atau FICA.
Digubal pada 2021, undang-undang tersebut merangkumi "langkah-langkah balas untuk mencegah, mengesan dan mengganggu campur tangan asing dalam politik domestik (Singapura)", menurut MHA.
Pemeriksaan oleh Mediacorp menunjukkan bahawa keempat-empat individu tersebut memegang jawatan dalam Majlis Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), badan penasihat politik tertinggi China.
Berbeza daripada Kongres Rakyat Kebangsaan, CPPCC tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang. Namun, cadangannya boleh mempengaruh pembentukan dasar.
Encik Ng dan anak-anaknya telah diberikan notis pada 7 April, menurut MHA.
"Untuk makluman, penetapan yang dimaksudkan bagi keempat-empat individu tersebut bukan kerana mereka telah terlibat dalam sebarang aktiviti yang buruk," jelas kementerian itu dalam satu kenyataan media.
Encik Robert Ng dan anak-anaknya mengisytiharkan penglibatan mereka tidak lama sebelum 1 Mac 2024, iaitu tarikh akhir bagi warga Singapura untuk mengisytiharkan keanggotaan mereka dalam badan perundangan asing atau pertubuhan politik asing.
Warga Singapura yang sudah menjadi anggota sebelum 1 Februari 2024 perlu berbuat demikian sebelum 1 Mac tahun itu.
"Kami mengambil sedikit masa untuk menilai pengisytiharan tersebut dengan teliti selepas itu, untuk menentukan sama ada mereka menjangkaui ambang bagi penetapan," menurut MHA dalam jawapannya kepada pertanyaan Mediacorp.
"Individu penting dari segi politik" boleh merangkumi parti politik, pemegang jawatan politik, Anggota Parlimen, calon pilihan raya dan Ejen Pilihan Raya mereka.
Sebagai individu yang ditetapkan, mereka diwajibkan untuk mendedahkan setiap tahun kepada pendaftar sebarang sumbangan politik sebanyak S$10,000 atau lebih yang diterima.
Mereka juga perlu mengisytiharkan sebarang hubungan dengan pihak asing dan manfaat berkaitan penghijrahan.
Sehingga 31 Mac, tujuh warga Singapura telah mengisytiharkan keanggotaan mereka dalam badan perundangan asing atau pertubuhan politik asing, menurut MHA.
Daripada tujuh individu yang membuat pengisytiharan tersebut, kementerian hanya mengeluarkan notis kepada empat ahli keluarga Ng, tambahnya.
Encik Robert Ng, 72, adalah pengerusi Sino Group, salah satu pemaju hartanah terkemuka di Hong Kong dengan kepentingan dalam hartanah kediaman, komersial, hospitaliti dan runcit.
Beliau juga merupakan anak sulung kepada mendiang hartawan Ng Teng Fong dan, bersama-sama dengan adiknya Philip Ng, mengawal Far East Organization - pemaju dan tuan tanah hartanah swasta terbesar di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.