Hartawan S'pura Peter Lim ikrar S$30 juta sokong belia tempatan
Hartawan Singapura Peter Lim mengikrarkan S$30 juta untuk membantu golongan belia, termasuk para atlit tempatan dan mereka yang kurang bernasib baik.

Hartawan Singapura Peter Lim (tengah). (Gambar: Reuters/Peter Cziborra)
SINGAPURA: Hartawan Singapura Peter Lim mengikrarkan S$30 juta untuk membantu golongan belia, termasuk para atlit tempatan dan mereka yang kurang bernasib baik. Demikian diumumkan pada Rabu (3 Jul).
Sebanyak S$10 juta akan didermakan kepada Biasiswa Yayasan Olimpik Singapura (SOF)- Peter Lim, menurut pertubuhan-pertubuhan itu dalam satu kenyataan media bersama. Dana tersebut digunakan bagi menyokong para atlit muda tempatan selama 10 tahun dari 2021 hingga 2030.
Pada 2010, Encik Lim mendermakan S$10 juta kepada SOF untuk memulakan biasiswa sukan.
Sejak itu, sebanyak 2,642 biasiswa bernilai S$7.2 juta sudah diagihkan bagi empat kategori - Sekolah Rendah, Menengah, Pengajian Tinggi dan Prestasi Cemerlang bawah 18 tahun.
Para penerima, yang sudah memenuhi kriteria termasuk meraih keputusan konsisten dalam pertandingan sukan yang relevan, boleh menggunakan wang itu untuk membayar perbelanjaan pertandingan, membeli peralatan sukan serta menampung perbelanjaan berkaitan dengan sekolah.
Tahun ini, 280 atlit pelajar dalam 44 sukan dari 83 sekolah menerima S$781,000.
Encik Lim juga akan menderma S$20 juta untuk melancarkan projek masyarakat bagi membantu kanak-kanak dari keluarga kurang bernasib baik agar dapat mencapai potensi masing-masing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.