Skip to main content

Singapura

Hartawan hartanah Ong Beng Seng berkait kes S Iswaran didiagnos hidap barah sumsum tulang

Anggaran Waktu Membaca:
Hartawan hartanah Ong Beng Seng berkait kes S Iswaran didiagnos hidap barah sumsum tulang

Ong Beng Seng di Mahkamah Negara pada 4 Okt 2024. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Hartawan hartanah Ong Beng Seng, yang berdepan dua tuduhan berkait kes mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran, didiagnos dengan barah sumsum tulang.

Demikian dimaklumkan kepada Mediacorp oleh dua individu yang rapat dengan Encik Ong.

Salah seorang daripada mereka berkata beliau mengalami mieloma berbilang (multiple myeloma).

Ia adalah barah sumsum tulang yang jarang berlaku dan dicirikan oleh pengembangan sel plasma malignan yang tidak normal dalam sumsum tulang, menurut Institut Barah Universiti Nasional.

Hartawan berusia 79 tahun itu sedang menjalani kemoterapi dan sebelum ini bertanya kepada mahkamah sama ada beliau boleh melakukan perjalanan ke luar negara bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Jurucakap Encik Ong dan Hotel Properties Limited, di mana Encik Ong adalah seorang pengarah urusan, enggan mengulas mengenai kesihatannya.

Selain kedudukannya yang terkenal sebagai ahli perniagaan dalam bidang perhotelan, Encik Ong juga dikenali sebagai individu yang membawa masuk Formula 1 ke Singapura pada 2008.

Encik Ong, yang merupakan seorang warga Malaysia tetapi berpangkalan di Singapura, dikenakan dua tuduhan berkaitan kes Iswaran pada 4 Oktober tahun lalu.

Tuduhan pertama mendakwa beliau bersubahat dengan mantan menteri itu untuk mendapatkan perjalanan yang dibiayai sepenuhnya bernilai sekitar S$20,850 pada Disember 2022.

Satu lagi tuduhan mendakwa Encik Ong bersubahat untuk menghalang keadilan dengan secara sengaja membantu Iswaran pada Mei 2023, apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) memulakan siasatannya, dengan membayar S$5,700 kepada Singapore GP bagi tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura bagi perjalanan yang sama.

Tuduhan itu selaras dengan dua kesalahan yang Iswaran mengaku bersalah.

Mantan menteri itu dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan pada 3 Oktober tahun lalu.

Iswaran mula menjalani hukuman penjara empat hari kemudian dan diletakkan di bawah Skim Tahanan di Rumah pada Jumaat (7 Feb).

Kes Encik Ong masih di peringkat sidang praperbicaraan, dengan tiada penunjuk sama ada beliau akan mengaku bersalah atau mencabar tuduhan-tuduhan itu.

Sidang praperbicaraan merujuk kepada perbicaraan pentadbiran yang diadakan di dalam bilik mahkamah.

Sidang praperbicaraan beliau pada Jumaat ditangguhkan ke 28 Februari bagi membolehkan pihak pembela menyemak semula kedudukannya.

Rekod mahkamah juga menunjukkan bahawa Encik Ong sudah memberi jawapan kepada perwakilan, dan ikat jaminnya sudah dilanjutkan.

Menyusuli tuduhannya, Encik Ong memohon izin mahkamah untuk melakukan perjalanan ke London dan Amerika Syarikat bagi rawatan perubatan.

Meskipun keadaannya tidak dijelaskan di mahkamah pada waktu itu, permohonannya diluluskan pada 30 Oktober.

Jika didapati bersalah kerana bersubahat dengan Iswaran di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Encik Ong boleh berdepan hukuman penjara selama dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Tuduhan menghalang keadilan di bawah Seksyen 204A membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita