Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harry Elias, pengasas bersama Skim Bantuan Guaman Jenayah, meninggal dunia pada usia 83

Peguam veteran Harry Elias, yang terkenal melalui peranannya sebagai pengerusi pengasas Skim Bantuan Guaman Jenayah bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan khidmat peguam meninggal dunia pada usia 83 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Harry Elias, pengasas bersama Skim Bantuan Guaman Jenayah, meninggal dunia pada usia 83

Encik Harry Elias ketika berusia 80 tahun (Gambar: Monica Kotwani)

Diterbitkan : 27 Aug 2020 02:51PM Dikemas Kini : 27 Aug 2020 03:00PM

SINGAPURA: Peguam veteran Harry Elias, yang terkenal melalui peranannya sebagai pengerusi pengasas Skim Bantuan Guaman Jenayah bagi mereka yang tidak mampu mendapatkan khidmat peguam meninggal dunia pada usia 83 tahun.

Firma guamannya, Harry Elias Partnership, dalam satu kenyataan pada Khamis (27 Ogos) menyatakan bahawa Encik Elias, yang meninggal dunia pada Rabu, "terkenal atas belas ihsan dan sumbangannya kepada masyarakat".

Rakan urusan Philip Fong dari Harry Elias Partnership berkata mendiang melambangkan "seorang peguam yang berani dan pejuang kelas pertama" dan "perintis dengan warisan yang berkekalan".

"Bagi kami secara peribadi, Harry adalah seorang sahabat sejati, guru dan insan yang baik dan murah hati. Kami berbesar hati dapat mengenali dan bertugas dengannya sepanjang hayatnya yang penuh bermakna."

Antara peguam terkemuka di Singapura, pemergian mantan Peguam Kanan itu adalah "satu kehilangan yang besar bagi Persatuan Guaman", menurut presiden Persatuan Guaman (LawSoc) Gregory Vijayendran kepada Mediacorp.

Encik Elias dilantik sebagai presiden LawSoc pada 1984.

BANTU MEREKA YANG TIDAK MAMPU DAPATKAN KHIDMAT PEGUAM

Encik Elias turut mengasas bersama Skim Bantuan Guaman Jenayah (CLAS) setahun kemudian, sambil menghulurkan bantuan guaman kepada mereka yang berdepan dengan tuduhan jenayah dan tidak mampu untuk mendapatkan khidmat peguam. Kerja-kerja pro bono dalam bentuk itu belum wujud di Singapura ketika itu.

"Sekarang terdapat kekosongan dalam Persatuan Guaman dengan pemergian salah satu permatanya. Tetapi warisannya dapat dilihat di mana-mana saja terutama sekali dalam bidang litigasi sivil dan litigasi jenayah," kata Peguam Kanan Vijayendran.

Peninggalan terbesar Encik Elias untuk LawSoc adalah beliau "menegakkan keadilan bagi golongan yang paling lemah dalam masyarakat" dan namanya akan sentiasa dikaitkan dengan CLAS, tambahnya.

"LawSoc dan masyarakat amnya meraih manfaat daripadanya. CLAS adalah permata LawSoc hanya kerana SC (Peguam Kanan) Harry Elias memiliki ciri-ciri yang sungguh hebat sehingga berupaya mengenal nilainya dan sanggup bekerja keras untuk menghasilkan permata yang tidak ternilai ini."

"GERGASI GUAMAN"

Peguam veteran Peter Low memberitahu Mediacorp bahawa Encik Elias adalah bosnya selama bertahun-tahun semasa beliau adalah seorang peguam muda di Drew & Napier.

Beliau menyifatkan Encik Elias sebagai "peguam yang berani" dan mendiang tidak gentar berdiri menentang Lee Kuan Yew dalam sebuah jawatankuasa pilihan untuk membela mantan hakim daerah kanan Michael Khoo, dengan menegaskan bahawa Encik Khoo memiliki rekod prestasi yang baik sebagai seorang hakim.

Peguam Doris Chia, yang pernah bertugas di firma Encik Elias, berkata beliau mengajarnya, antara lain, "kewibawaan, profesionalisme, hormat kepada sistem kehakiman" dan "mengutamakan kepentingan anak guam dan bukan keuntungan".

Menyifatkan Encik Elias sebagai "tokoh guaman yang hebat", peguam Josephus Tan menukil Nelson Mandela untuk menggambarkan mendiang peguam itu, dengan berkata: "Baik hati dan luhur adalah satu kombinasi yang sangat hebat."

CLAS akan menjadi "warisannya yang paling berkekalan untuk para pengamal undang-undang dan golongan kurang bernasib baik dalam kalangan kita", kata Encik Tan.

Beliau berkata firma yang diasaskan oleh Encik Elias menghasilkan "banyak personaliti undang-undang yang hebat" dan merupakan sebuah firma terkemuka dengan ramai peguam muda mahu menjadikannya sebagai batu loncatan untuk memulakan kerjaya dalam bidang guaman.

MASIH BUAT KERJA PRO BONO HINGGA USIA 80-AN TAHUN

Encik Elias, yang masih melakukan kerja-kerja pro bono ketika berusia 80 tahun, sebelum ini berkongsi dengan Mediacorp bahawa pendiriannya yang mahu memastikan semua orang mendapat pembelaan yang sewajarnya di mahkamah tidak pernah berubah, tidak kira betapa keji jenayah yang dilakukan.

"Bukan (hak) kita untuk menghakimi. Seluruh sistem berfungsi dengan adanya seorang hakim," kata Encik Elias. "Jika hakim menganggap anda telah melakukan kesalahan, maka dengarkanlah (pembelaan saya) dan jatuhkanlah hukuman yang (setimpal)."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan