Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Harmoni di sebalik perbezaan kunci kemajuan S'pura, kata Nadia Samdin

Kejayaan Singapura terletak kepada keupayaan rakyatnya hidup secara harmoni di sebalik perbezaan masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kejayaan Singapura terletak kepada keupayaan rakyatnya hidup secara harmoni di sebalik perbezaan masing-masing.

Singapura juga berada di tahapnya sekarang kerana mengutamakan toleransi dan saling hormat menghormati.

Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Nadia Ahmad Samdin berkata demikian dalam ucapan sulungnya di Parlimen hari ini (3 Sep).

PERBEZAAN ANTARA GENERASI PERLU CAPAI PERSEFAHAMAN

Cik Nadia menyentuh tentang isu perbezaan ketara yang dialami pelbagai generasi yang boleh menyebabkan perbalahan antara mereka.

Malah, ini juga menghambat ruang persefahaman antara yang muda dan lanjut usia, tidak kira di tempat kerja mahupun di rumah.

"Jika kita benar-benar mahu memanfaatkan potensi belia, dan mendakapi pengalaman warga emas, kita tidak boleh menolak pemikiran, impian dan kebimbangan mereka," jelas Cik Nadia.

TARUHAN DALAM KEMAJUAN S'PURA

Cik Nadia juga berkongsi semasa berada di lapangan, beliau mendapati wujud golongan yang terperangkap dalam jurang sosial dan ketidaksamaan.

Menurutnya mereka mungkin berasa sukar untuk menukar nasib mereka.

"Meskipun tidak mungkin dapat melenyapkan ketidaksamarataan di dunia, ia bergantung sepenuhnya kepada tanggungjawab kita bagi memastikan rakyat Singapura dari semua latar belakang dapat merebut peluang-peluang yang ada," kata Cik Nadia.

MASYARAKAT BERSATU-PADU

Dalam saat-saat mencabar ini, Cik Nadia menarik perhatian masyarakat Melayu menonjolkan sikap perpaduan untuk saling bantu-membantu untuk maju bersama.

Ini dapat dilihat menerusi sikap gotong-royong dan kerjasama antara rangkaian M³ - MUIS, Yayasan MENDAKI dan MESRA bersama badan-badan Melayu/Islam di bawah inisiatif SG Teguh Bersatu, melalui guru-guru bersara dan pemimpin perniagaan bertauliah yang tampil membantu masyarakat serta golongan belia yang meluangkan masa memulakan inisiatif dan berbakti kepada masyarakat.

Cik Nadia berkata: "Apabila saya melihat masyarakat kita, saya kagum kerana masyarakat Melayu kita adalah sebuah masyarakat yang berdaya tahan.

"Kita menghargai tunjuk ajar dari generasi yang lama dan menaruh kepercayaan kepada belia kita untuk mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih cerah."

Cik Nadia juga mengalu-alukan usaha pemerintah dalam meningkatkan bantuan sosial supaya keluarga memerlukan menerima perkhidmatan lebih menyeluruh seperti yang dibentangkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli.

"Ia meningkatkan jangkauan pemerintah untuk menghubungkan penduduk kepada tahap perkhidmatan terakhir atau 'last-mile service delivery'. Saya akur bahawa bantuan yang diberikan tepat pada waktunya boleh merubah jalan hidup kita," jelas beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan