Harimau, beruang matahari ikut serta dalam sambutan Krismas di Mandai Wildlife Reserve
Seekor harimau Malaya dengan kalung bertemakan Krismas yang disediakan oleh penjaga haiwan di Rainforest Wild Asia. (Gambar: CNA/Joyee Koo)
Di Mandai Wildlife Reserve, haiwan-haiwan juga disertakan dalam sambutan perayaan Krismas yang menampilkan pelbagai aktiviti bertema di kesemua taman-taman Mandai Wildlife Reserve.
Di Rainforest Wild Asia, iaitu taman terbaharu dibuka di Mandai pada awal tahun ini, para penjaga haiwan menyediakan pelbagai aktiviti pengayaan menyeronokkan yang bertemakan musim perayaan, seperti snek yang dibungkus seperti hadiah, pokok Krismas yang dihiasi dengan "baubles" lobak merah dan kalungan bagi haiwan-haiwan termasuk beruang matahari Malaya, rusa axis, kura-kura dan harimau Malaya.
"Krismas itu tentang meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dan merancang aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama. Di sini dengan haiwan, kami mahu mereka merasakan perkara yang sama," kata penjaga haiwan junior Nur Sarah Ahman, yang juga berkongsi sedikit fakta tentang beruang-beruang bersama para pengunjung yang berada di kandang beruang.
"Bagi beruang, kami menyediakan aktiviti penggayaan yang diilhamkan daripada ikon-ikon Krismas seperti snowman dan kami membungkus snek haiwan seperti hadiah Krismas. Beruang kita yang paling muda ini paling lincah ketika membuka hadiah, kerana ia seperti seorang remaja. Beruang yang lebih berusia pula lebih lemah lembut."
Walaupun aktiviti-aktiviti penggayaan itu mungkin bertemakan perayaan, para penjaga haiwan memastikan ia tetap sesuai bagi tingkah laku semula jadi haiwan, di samping memastikan mereka dirangsang secara mental dan fizikal.
"Aktiviti penggayaan sedemikian merangsang harimau-harimau kita, dan juga menggalakkan mereka untuk menggunakan kumpulan otot yang berbeza, termasuk kaki belakang dan depan mereka," kata penjaga haiwan Julette Tay.
"Mereka juga sebahagian daripada keluarga kami kerana kami sudah menjaga mereka selama tempoh yang agak lama. Rasanya seperti meluangkan masa dengan keluarga, menikmati musim perayaan bersama-sama dan juga berkongsi keseronokan itu dengan para pengunjung," kata Cik Tay.
Para pengunjung boleh menyaksikan haiwan-haiwan itu bermain dengan "hadiah Krismas" masing-masing semasa sesi perkongsian penjaga haiwan pada 24 hingga 28 Disember.
Sesi bersama harimau Malaya akan berlangsung pada pukul 10.30 pagi hingga 11.00 pagi, manakala sesi bersama beruang matahari Malaya bermula pukul 4.00 petang hingga 4.15 petang.
Sesi tambahan disediakan pada 24 dan 25 Disember bagi kedua-dua haiwan.
Sementara itu, Santa's Adventure Quest mengajak para pengunjung untuk mencari token-token Krismas yang disembunyikan di sekitar laluan Forest Trek, dengan hadiah bernilai sehingga S$70,000 untuk dimenangi.
Di Taman Haiwan Singapura, keluarga-keluarga boleh mengambil bahagian dalam satu misi khas 'Join the Wild Patrol!', diilhamkan oleh filem Disney, Zootopia 2, di mana para pengunjung cilik dapat membantu watak Zootopia 2, Judy Hopps dan Nick Wilde menyelesaikan misteri untuk mencari teman baharu mereka, iaitu Gary De' Snake.
Para pengunjung juga boleh menikmati sesi perkongsian penjaga zoo tambahan yang menampilkan musang fennec di Pusat Kelakuan dan Penggayaan Haiwan (Animal Behaviour and Enrichment Centre) serta menyaksikan sesi memberi makanan kepada haiwan reptilia di RepTopia.
Sementara itu di Bird Paradise, para pengunjung boleh mengambil gambar burung penguin yang dikelilingi dengan gambaran kepingan salji sedang mereka berenang di sekitar Ocean Network Express Penguin Cove.
Para pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam Penguin Christmas Hunt untuk mencari token dan mendapatkan hadiah istimewa.
Persembahan Wings of the World juga diberikan suntikan istimewa sempena musim perayaan kali ini, di mana burung-burung akan terbang sambil menghantar surat dan hadiah daripada Santa semasa persembahan itu.
Untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai acara Festive Wild-erland, anda boleh kunjungi laman Mandai Wildlife Reserve.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.