Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Warisan 2023 libatkan orang awam; lantik lagi tiga Teman Warisan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Yayasan Warisan Melayu (MHF) melibatkan sama orang awam dalam acara Hari Warisan 2023 yang berlangsung di Wisma Geylang Serai pada Sabtu (20 Jan).

Sebelum ini, acara itu hanya dibuka kepada tetamu undangan.

Langkah itu juga bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan seniman-seniman Melayu tempatan.

"Ia juga menjadi satu wacana untuk mereka berinteraksi, bertukar-tukar pemikiran dan kami berharap juga melalui acara ini, ia akan menggalakkan lebih ramai lagi aktivis muda untuk tampil ke hadapan dan menyumbang kepada budaya dan warisan tanah air dengan cara mereka yang tersendiri," kongsi Pengurus Besar Taman Warisan Melayu, Asmah Alias.

Edisi ketiga Hari Warisan itu juga merupakan kali pertama acara itu diadakan secara besar-besaran selepas pandemik COVID-19.

"Suasana kali ini amat meriah kerana kami mengajak dan menjemput orang ramai untuk sama-sama meraikannya dengan kami. Kami juga tampilkan juga aktiviti-aktiviti menarik," kata Cik Asmah.

Mereka yang hadir juga berpeluang pelajari
cara menyediakan lauk-pauk warisan Melayu seperti Ayam Masak Merah dan Bubur Pulut Hitam daripada Cef Mel Dean pada sesi sebelah petang.

aa

Sebuah persembahan Dikir Barat dan Gamelan juga disajikan untuk menghiburkan para penonton.

BUDAYA MELAYU KEKAL RELEVAN DULU & SEKARANG

Dalam ucapannya, tetamu terhormat acara, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong menggariskan peri pentingnya untuk ada kepimpinan pemikiran yang baik bagi memastikan sejarah dan budaya dapat terus dilestarikan oleh generasi muda.

"Kepimpinan pemikiran yang kukuh membantu kami memudahkan pengalihan pengetahuan antara generasi. Kita sedar bahawa belia mewakili generasi seterusnya jadi jika kita libatkan dan memperkasa mereka, kita ada peluang baik untuk memastikan budaya kita dapat terus dilestarikan generasi seterusnya. Ini akan menyumbang secara signifikan kepada pemeliharaan dan pemasyhuran budaya," kata Encik Edwin Tong.

a

Beliau juga menarik perhatian kepada betapa budaya Melayu kekal relevan dahulu dan sekarang.

"Tema tahun ini Tempo Dulu dan Sekarang. Tema ini menurut pandangan saya memaparkan secara tepat betapa budaya Melayu di Singapura adalah suatu tapestri menarik yang disulam menyusuri masa. Ia berdaya tahan, memperkayakan dan selalu relevan," tambah beliau.

PELANTIKAN 3 LAGI TEMAN WARISAN

Encik Tong juga menyampaikan sijil pelantikan kepada Teman Warisan tahun ini.

Dalam usaha untuk mendekati lebih ramai belia untuk melibatkan diri dalam budaya dan warisan Melayu, MHF melantik lagi tiga Teman Warisan baharu.

(Gambar: Nurfazirah Azman) Dari kiri: Tyara Chynta Puteri Noor Azhar, Sarah Syazlina Mohammed Darni.
Gelaran 'Teman Warisan' diberikan kepada individu-individu bawah usia 35 tahun yang bergiat aktif dalam bidang budaya dan warisan, di samping mempamerkan potensi kepimpinan.

Antaranya adalah Tyara Chynta Puteri Noor Azhar yang menjadi Teman Warisan termuda yang dilantik setakat ini.

Meski baru berusia 12 tahun, bakatnya dalam bidang tarian balet dan bangsawan menarik tumpuan dan diiktiraf MHF.

Tyara memulakan perjalanan seninya seawal 5 tahun ketika menyertai 'The Ballet School Singapore' iaitu salah sebuah sekolah tarian yang berprestij di Singapura.

Pada usia 8 tahun pula, Tyara menyertai Kumpulan Junior Anggerik Temasek Bangsawan Singapura.

"Saya berasa amat bersyukur, besar hati dan berterima kasih kepada Yayasan Warisan Melayu kerana saya dapat dilantik sebagai teman warisan. Sebagai teman warisan saya ingin berkongsi pengalaman saya dalam tarian balet dan juga seni bangsawan kepada generasi muda," kata Tyara Chynta.

Dia juga menanam harapan agar lebih ramai anak muda boleh melibatkan diri dalam bidang seni Melayu.

Seorang lagi Teman Warisan yang dilantik kali ini ialah Sarah Syazlina Mohammed Darni, Teman Warisan, 18 tahun.

Penyanyi dan pelakon berbakat itu sudah mengeluarkan beberapa 'single' antaranya "FASA", "BENAR BENAR LUPA", dan "RISAU" yang mendapat perhatian dan pendengar bukan sahaja di Singapura malah juga di Malaysia dan Indonesia.

"Sarah berasa sangat berbesar hati sebab inilah satu peluang yang besar untuk Sarah. Sarah harap Sarah boleh memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menyayangi budaya Melayu seperti saya.

"Di antaranya adalah untuk melibatkan diri Sarah lebih di masyarakat dan kongsikan ilmu yang Sarah ada tentang budaya Melayu kepada kawan-kawan Sarah," kata Sarah.

Lagi seorang Teman Warisan yang dilantik tahun ini ialah kurator Taman Warisan Melayu dan Sahabat Sastera, Zinnurain Nasir, 32 tahun.

PELANCARAN BUKU BAHARU MHF

Dalam kesempatan itu juga, sebuah buku terbitan MHF turut dilancarkan pada Sabtu (20 Jun).

Pelancaran buku bertajuk "Nilawarisan: Budaya, Bahasa, Sastera, and Seni Berlanggam" itu dirasmikan oleh Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
"Ini merupakan kompilasi esei daripada sekumpulan anak muda, sahabat sastera yang berani mencuba untuk mengambil pendekatan yang berbeza dan juga menulis daripada luar kotak pemikiran mereka. Jadi kami sangat-sangat mengalu-alukan sumbangan mereka," kongsi Cik Asmah.

Penulis sastera Melayu, Pak Hamed Ismail juga diberi tanggungjawab untuk memberi ulasan buku itu.

"Di sini membuktikan bahawa tenaga-tenaga muda seperti mahasiswa atau graduan, mereka berani untuk mengetengahkan dengan teori-teori alternatif yang memberikan pengkajian tentang karya-karya sastera Melayu khususnya di Singapura ini. Jikalau mereka teruskan usaha mereka yang baik, mereka mungkin akan menjadi pengkaji yang berbakat," ujar Encik Hamed Ismail.

Buku itu boleh didapatkan menerusi MHF.

Di acara itu, para hadirin juga dipelawa untuk menyertai perbincangan berjudul "Legasi dalam Usul: Mengeratkan Generasi Melalui Warisan Melayu" bersama barisan panelis Mohd Fared Jainal, Asmah Alias dan Afi Hanafi.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan