Hari Wanita Sedunia: Saling sokong, cetus aspirasi dua wanita ceburi sektor didominasi kaum Adam
Itulah pegangan dua wanita, Cik Juliana Mattar dan Cik Hajar Manaf yang berjaya membolosi industri penganjuran acara yang didominasi kaum Adam.
Bagi mereka, persahabatan dan juga perkongsian minat serupa sedikit sebanyak bantu mendorong mereka untuk lebih maju lagi dalam bidang masing-masing.
Lazimnya persahabatan dengan pengurus ataupun 'bos' anda hanya sekadar hubungan profesional sahaja, namun buat Cik Juliana Mattar dan Cik Hajar Manaf, mereka berjaya memecahkan benteng stereotaip itu.
Juliana Mattar merupakan Pengerusi dan Pengasas Motion: For Impact manakala Hajar Manaf pula adalah Ketua Pegawai Pengalaman syarikat tersebut.
Persahabatan yang terjalin selama hampir 20 tahun antara pengurus dan majikannya ini pastinya sesuatu yang luar daripada norma.
Cik Hajar yang bermula sebagai Eksekutif Acara di syarikat berkenaan ketika berumur 20-an tahun, baru berjinak-jinak dalam industri Acara dan Pengurusan.
RAHSIA DI SEBALIK PERSAHABATAN LEBIH 20 TAHUN
Meskipun ada pasang surutnya dalam persahabatan mereka, Cik Juliana dan Cik Hajar akur masalah yang dihadapi bersama, sama ada berhubung dengan masalah di pejabat ataupun persahabatan mereka sudah membuatkan hubungan mereka lebih kukuh.
Dengan itu, Cik Hajar sangat bersyukur dapat melalui pelbagai fasa dalam kehidupannya bersama dengan Cik Juliana.
"Apabila anda kenali seseorang, mereka akan mewarnakan kehidupan anda dengan kesan mereka berikan kepada anda dan orang di sekeliling mereka - warna yang terang, warna neutral, warna gelap dan lebih lagi", ujar Cik Hajar.
Mereka menggelarkan diri mereka sebagai Ying dan Yang.
Yin dan Yang adalah konsep dalam falsafah Cina yang membawa maksud, kuasa yang bertentangan tetapi saling melengkapi satu sama lain.
"Saya melengkapinya dengan baik. Saya pemandu komersil manakala Hajar membuat
strategi dan konteks kreatif. Saya boleh berikan tumpuan untuk menjadi pemimpin perniagaan yang baik manakala beliau akan mengaturkan konteks dan bagaimana kumpulan kami boleh beri tumpuan kepada pengalaman buat para pelanggan," kata Cik Juliana Mattar.
Mereka sering menyokong antara satu sama lain dalam perniagaan dan kehidupan masing-masing.
PANDUAN BAGI WANITA CAPAI IMPIAN SEBAGAI SEORANG PENIAGA
Cik Juliana yang sudah mendirikan syarikatnya sendiri buat 19 tahun juga berkongsi dengan BERITAMediacorp beberapa panduan buat wanita-wanita yang mungkin masih ragu-ragu untuk membuka perniagaan mereka sendiri.
Menurut beliau, tip pertama adalah untuk memulakan dengan diri sendiri.
"Saham yang paling baik adalah saham buat kehidupan anda sendiri," kata Cik Juliana.
"Saya pernah bergelut dengan konsep ini, walaupun ia kelihatan seperti ia mementingkan diri sendiri, saya kini faham bahawa anda tidak boleh memberikan yang terbaik kepada orang lain ketika diri anda sendiri tidak dalam keadaan yang baik. Jadi kami harus terus memberikan ruang buat diri sendiri untuk berkembang dan kemudian menyalurkan yang terbaik buat orang lain ," tambah beliau.
Kedua adalah untuk menjadi pelajar seumur hidup dan akhir sekali adalah untuk mendengar.
"Ada banyak yang boleh anda pelajari dengan mendengar pendapat orang di sekeliling anda, ini terutama sekali mereka yang bermakna kepada anda. Anda boleh menimba ilmu daripada pengalaman orang lain. Jadi, anda seharusnya bersyukur jika seseorang memutuskan untuk mengongsikan pengalamannya dengan anda," ujar Cik Juliana.
Sempena Hari Wanita Sedunia pada Rabu (8 Mac), Cik Juliana dan Cik Hajar berharap lebih ramai wanita akan bangkit dan mengorak langkah ke hadapan demi mencapai cita-cita.
"Saya harap wanita lebih percaya dengan diri sendiri dan percaya dengan kekuatan dan kebolehan mereka, " ujar Cik Hajar.
Bagi Cik Juliana pula, wanita adalah ciptaan yang sangat unik.
"Wanita memainkan pelbagai peranan dalam waktu seharian dan kami adalah pemberi semula jadi kepada masyarakat, keluarga dan bumi. Apa yang membuatkan kami hebat adalah kami memilih untuk memainkan semua peranan ini dengan penuh adab dan belas ihsan tetapi masih dengan kehadiran dan ketegasan," kata Cik Juliana.
Dua wanita ini berharap pengalaman mereka dalam bidang perniagaan selama hampir 20 tahun menjadi pemacu semangat buat wanita di seluruh dunia untuk percaya kepada kebolehan diri sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.