Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Wanita Sedunia: Bijak cari keseimbangan, kawal jangkaan diri sendiri boleh bantu wanita hadapi cabaran

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Wanita Sedunia: Bijak cari keseimbangan, kawal jangkaan diri sendiri boleh bantu wanita hadapi cabaran

Hari Wanita Sedunia: Bijak cari keseimbangan, kawal jangkaan diri sendiri boleh bantu wanita hadapi cabaran. (Gambar: Masjid Sultan)

SINGAPURA: Cabaran yang dihadapi wanita bukan sahaja berpunca dari faktor-faktor luaran tetapi juga dalaman juga.

Ini termasuk pengkritik hebat dan punyai jangkaan yang terlalu tinggi bagi diri sendiri.

Perkara-perkara itu menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hayaa' Network, oleh Liyana Musfirah Network (LMN), Ustazah Liyana Musfirah Anwar boleh merumitkan lagi cabaran yang ditanggung wanita hari ini.

"Ada konsep 'Superwoman' atau 'Wonder Woman', kita mahu lakukan semuanya, kita nak uruskan segala-galanya. Kita juga selalu mahu lakukan yang terbaik dan menjadi yang pertama untuk kritik diri sendiri," kata Ustazah Liyana yang juga seorang ibu.

(Gambar: Ustazah Liyana Musfirah/Instagram)

Oleh itu tambah beliau, penting untuk golongan wanita lebih berlembut dengan diri sendiri dan usah bebankan diri dengan pemikiran negatif yang berlebihan.

Dalam mengatasi cabaran hari ini, Ustazah Liyana juga berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa ibu yang bekerja perlu mencari keseimbangan dan kesesuaian dalam kesemua peranan yang dimainkan.

"Yang paling penting adalah untuk mencari penyesuaian. Semua orang boleh ada anak, pekerjaan, perniagaan tetapi jika ia tidak melengkapi gambar, wanita itu akan jatuh dan putus asa," kongsi Ustazah Liyana yang mempunyai tiga orang anak.

"Jadi apa yang perlu kami buat ialah kami perlu mencari sesuatu yang sesuai. Untuk ibu yang bekerja, (mereka) perlu mengimbangi masa di rumah dan kerja dan perlu sedar bahawa semua tanggungjawab ini tentunya sama penting," tambahnya.

Beliau juga mengingatkan kepada para wanita di luar sana untuk bijak menilai keadaan bagi menentukan keutamaan pada masa dan ketika itu.

Ini menurut Ustazah Liyana sesuatu yang sukar buat ramai wanita. Lantas, mempunyai sistem sokongan atau kumpulan yang menggalakkan juga dapat membantu.


(Gambar: Masjid Sultan)

Beliau akan berkongsi lanjut mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi wanita hari ini dalam sebuah forum yang akan diadakan sempena Hari Wanita Sedunia pada Ahad (12 Mac) ini di Masjid Sultan.

Selain beliau, para hadirin juga akan dapat mendengar perkongsian dari perspektif seorang anak, isteri dan ibu oleh anggota panel lain iaitu seorang kaunselor Nurul Faizzah dan Ustazah Nurul Izzah.

"Apa yang saya ingin kongsikan semasa forum ini ialah kita semua mempunyai satu kisah tetapi kita tidak tahu berapa banyak cerita atau naratif satu kisah itu pegang. Jadi jawapannya tidak seharusnya satu hab atau penyelesaian untuk semua masalah," ujar Ustazah Liyana, 30 tahun.

DENGAR DARI ASATIZAH DAN KAUNSELOR TENTANG ISU-ISU SEMASA BERHUBUNG PERANAN WANITA

Sepanjang sesi selama empat jam itu, para peserta juga boleh menjangkakan perkongsian kisah dan pengalaman sebenar menerusi bengkel yang dikendalikan.

"Forum ini (memberi) lebih banyak tumpuan terhadap mengiktiraf dan menangani isu-isu semasa yang dihadapi oleh Muslimah di Singapura. Para peserta akan mendengar daripada asatizah dan kaunselor jemputan yang mana akan mengupas isu-isu semasa mengenai peranan wanita," kongsi Bendahari dan Anggota Lembaga Pengurusan Masjid, Cik Norlizah Yusof.

"Ini diharap dapat membuka minda peserta untuk lebih prihatin, memahami akan peranan dan tanggungjawab Muslimah dalam menangani isu-isu," tambah beliau.

(Gambar: Masjid Sultan)

Selain peranan wanita yang perlu mengimbangi waktu bekerja dan tanggungjwab dalam rumah tangga, peranan wanita sebagai penjaga ibu bapa, serta yang menghadapi masalah krisis rumah tangga juga akan dikupas.

"(Ini) diharap dapat mencipta suasana yang membangkitkan semangat, memberi motivasi antara satu sama lain dalam persekitaran yang selamat," ujar Cik Norlizah.

Ia di samping membina keyakinan menghadapi isu-isu masa kini serta lebih peka tentang pusat-pusat yang menyediakan khidmat untuk membantu mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan