Hari Raya tahun ini lebih meriah, bukan lagi 'bertemu' melalui Zoom
Gambar: Muhammad Ridhwan Ismail Johari
SINGAPURA: Dengan sekatan-sekatan COVID-19 sepanjang dua tahun lalu menghadkan jumlah individu yang dibenarkan berkumpul, Encik Muhammad Ridhwan Ismail Johari, 28 tahun, terpaksa meraikan sebahagian besar sambutan Hari Raya melalui kaedah online.
Malangnya, kaedah online, khususnya sidang video online, terbukti mencabar baginya.
"Kami akan cuba membimbing dan mengajar ahli keluarga lanjut usia dalam keluarga besar kami mengenai bagaimana untuk menggunakan wadah Zoom sebaik mungkin, malangnya kadangkala mereka tidak dapat mengaktifkan kamera mereka dan akhirnya kami setakat mendengar suara mereka melalui Zoom," dedah Encik Ridhwan kepada Mediacorp pada Selasa (3 Mei).
Terdapat juga isu-isu teknikal lain seperti apabila sesetengah anggota keluarga memutarkan kamera dengan cara yang salah.
"Mutu mikrofon yang berlainan antara keluarga yang berbeza juga bermakna kami akan sentiasa meminta mereka untuk mengulangi soalan mereka apabila suara mereka terlalu lembut atau perlahan untuk didengar."
Maka itu, tidak menghairankan jika Encik Ridhwan berasa gembira pada Selasa (3 Mei) setelah keluarga besarnya dapat sama-sama berkumpul dengan saudara-maranya secara fizikal untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Hari Raya tahun ini juga merupakan yang pertama ia dapat disambut dengan lebih meriah selepas sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan pada 26 April.
Menurut Encik Ridhwan, tidak dapat bertemu dengan 31 anggota keluarga besarnya secara fizikal juga menyebabkannya berasa terasing dari mereka memandangkan mereka biasanya akan bertemu dan saling bertanya khabar antara satu sama lain semasa pertemuan Hari Raya.
Semasa menggambarkan suasana pertemuan Raya di rumah datuk saudaranya di Kaki Bukit pada petang Selasa, Encik Ridhwan berkata: "Kami menjamu selera dengan hidangan-hidangan Hari Raya.'
"Ada keluarga yang membawa hidangan seperti serunding dan kepak ayam bersalut madu untuk mempelbagaikan hidangan yang disajikan. Kami berpeluang bertemu dan bermain dengan bayi yang baru lahir dan bertanya khabar dengan sepupu kami."
Apabila ditanya apakah yang paling dirinduinya tentang pertemuan Raya secara beramai-ramai, Encik Ridhwan menjawab: "Berinteraksi secara bertemu muka dengan ahli keluarga besar kami yang lain. Bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan memberikan duit raya serta bermain dengan bayi dan kanak-kanak kecil yang comel."
Tahun lalu, umat Islam di Singapura menyambut Hari Raya Aidilfitri di tengah-tengah sekatan COVID-19 yang lebih ketat, dengan pihak berkuasa menghadkan jumlah maksimum individu yang dibenarkan berkumpul dari lapan kepada hanya lima orang bagi membendung penularan lanjut COVID-19 yang kembali meningkat dalam masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.