Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Raya Haji 'istimewa, dekat di hati' Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin; imbas kenangan Aidiladha bantu mangsa tsunami Aceh

"Sedang kita membincangkan isu-isu kaum dan agama, siapa kita sebagai rakyat Singapura, bagaimana kita menyambut bermacam-macam perayaan secara bersama, Hari Raya Haji tetap istimewa dan sentiasa dekat di hati saya."

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Raya Haji 'istimewa, dekat di hati' Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin; imbas kenangan Aidiladha bantu mangsa tsunami Aceh

(Gambar: Facebook/Tan Chuan-Jin)

SINGAPURA: "Sedang kita membincangkan isu-isu kaum dan agama, siapa kita sebagai rakyat Singapura, bagaimana kita menyambut bermacam-macam perayaan secara bersama, Hari Raya Haji tetap istimewa dan sentiasa dekat di hati saya."

Demikian menurut Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dalam catatan Facebooknya hari ini (20 Jul) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Dalam catatan itu, beliau turut berkongsi kenangan meraikan Hari Raya Haji pada 2005 semasa terlibat dalam operasi bantuan kemanusiaan "Operation Flying Eagle" Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bagi membantu para penduduk Aceh yang dilanda bencana tsunami yang meragut lebih 200,000 nyawa pada 26 Disember 2004.

Pada ketika itu, Encik Tan berpangkat Kolonel dan beliau adalah Komander Briged Singapura ke-7.

Setelah tiga minggu menjalankan misi bantuan kemanusiaan "Operation Flying Eagle", beliau dan lagi sekitar 1,000 askar sedang membuat persiapan untuk berangkat pulang dari Meulaboh, Aceh.

Namun menurut Encik Tan, secara kebetulan pula Hari Raya Haji jatuh pada hari yang sama mereka bakal berangkat pulang.

Justeru, beliau memutuskan untuk menyambut Hari Raya Haji di sana bersama para askar SAF yang beragama Islam dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Indonesia.

"Setelah segala yang telah kami lalui, setelah segala kematian dan kemusnahan yang dialami oleh rakan-rakan kami dari Indonesia, dan setelah segala usaha bantuan dan operasi menyelamat, ia sangat menyedihkan namun bermakna kerana kami dapat menyambut hari istimewa ini bersama satu sama lain," kata Encik Tan.

Pada hari tersebut, para askar SAF yang beragama Islam dalam pasukannya berpeluang mendirikan solat Aidiladha bersama para penduduk tempatan.

Sebanyak 20 ekor kerbau disembelih dan daging-daging korban diagihkan kepada para askar dan rakan-rakan sejawatan dari Indonesia dan juga para penduduk tempatan.

"Ia satu penghormatan apabila saya dipelawa untuk mengambil bahagian dalam ibadah korban dan menyembelih seekor kerbau," kata Encik Tan berhubung pengalamannya menyaksikan ibadah korban di Aceh.

Namun di tengah-tengah sambutan itu, Encik Tan berkata peristiwa buruk yang melanda Aceh masih berlegar-legar di benak fikiran mereka.

Para askar SAF kemudian mengadakan upacara meletakkan karangan bunga di sebuah tanah perkuburan sebelum mereka berangkat pulang.

Menurut Encik Tan, beliau juga telah mengarahkan kesemua askarnya untuk berkumpul di bahagian dek ketiga-tiga kapal yang turut serta dalam misi bantuan kemanusiaan itu iaitu RSS Endurance, RSS Persistence dan RSS Endeavour untuk menaburkan bunga di laut.

"Dan setelah misi itu berakhir dan berpeluang menyambut Hari Raya Haji bersama dengan rakan-rakan Muslim kita pada hari itu, ia benar-benar menunjukkan kepada saya apa maksudnya menjadi seorang warga Singapura.

"Saya tidak pernah merasa begitu bangga menjadi seorang rakyat Singapura," kata Encik Tan sebelum mengakhiri catatannya itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan