Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Polis: Tekad mahu ikut langkah ayah dan datuk, ASP Haisroniezam Ab Rasid tak putus asa mohon jadi pegawai polis 8 kali

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Polis: Tekad mahu ikut langkah ayah dan datuk, ASP Haisroniezam Ab Rasid tak putus asa mohon jadi pegawai polis 8 kali

Gambar: Syawal Yusoff

SINGAPURA: Sambutan Hari Polis kali ini lebih bermakna buat Penolong Suprintendan Polis (ASP) Haisroniezam Ab Rasid, 46 tahun.

Beliau mula berkhidmat dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Februari 1997 dan kini memimpin seramai 60 pegawai sebagai Ketua Kumpulan di Divisyen Polis Lapangan Terbang.

Lebih manis lagi, divisyennya itu memenangi Anugerah Unit Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara Terbaik kali ini.

Namun, impiannya untuk menjadi seorang pegawai polis mulanya dihambat dengan pelbagai rintangan.

"Permohonan saya tidak diterima sebanyak tujuh kali tapi pada kali yang kelapan, Alhamdulillah diterima untuk menjadi seorang pegawai polis," kata ASP Haisroniezam.

"Saya tidak pernah putus asa kerana kita harus sentiasa mencuba."

Minatnya untuk menjadi seorang pegawai polis berputik sejak beliau kecil lagi, ketika beliau sekeluarga tinggal di Kuarters Polis Pearl's Hill.

"Arwah datuk, arwah bapa saya dan saya membesar di kuarters polis. Jadi secara tidak langsung, kehidupan sebagai seorang pegawai polis itu jadi sebahagian daripada hidup saya," tambah ASP Haisroniezam.

Membesar dalam persekitaran itu juga, beliau terpegun melihat keakraban dan persahabatan serta kemesraan yang dipamerkan dalam kalangan para pegawai polis di situ.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga adalah satu-satunya yang memilih kerjaya sebagai pegawai polis.

profile
Gambar: Syawal Yusoff

ASAM GARAM SEPANJANG 26 TAHUN KERJAYA

Sepanjang 26 tahun berkhidmat dengan SPF, ASP Haisroniezam sudah memegang hampir 10 jawatan dalam pelbagai unit termasuk sebagai seorang perunding krisis dan pegawai pusat polis kejiranan.

Memberitahu BERITAmediacorp, beliau berkata jawatan sebagai pegawai polis trafik adalah antara yang digemarinya kerana 'dapat menaiki motosikal yang berkuasa besar'.

"Kita dapat melakukan 'escort', iringi VIP untuk bukan sahaja VIP-VIP di Singapura tetapi VIP-VIP daripada luar negara," kata ASP Haisroniezam, sambil tersenyum.

Namun begitu, beliau akur akan perlunya menghadapi asam garam yang sudah sebati dalam kerjayanya itu.

"Antara kes-kes yang pernah kita lalui adalah seperti kes kematian, kes bayi dibuang, kes di mana pegawai polis perlu meleraikan sesuatu pergaduhan.

"Inilah yang apa kita bila kita tandatangani atau apabila kita terima lantikan sebagai seorang pegawai polis, ini adalah sesuatu yang kita perlu hadapi dan kita tak seharusnya buang tanggungjawab itu atau lepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain," ujar ASP Haisroniezam.

Beliau menambah, ada kalanya, kes-kes yang dihadapi meninggalkan kesan terlalu mendalam sehingga 'terbawa-bawa emosi yang sama kepada keluarga'.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana isteri dan tiga cahaya matanya sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan.

INGIN 'SUMBANG BALIK' KEPADA PEGAWAI LEBIH MUDA

Memandang ke hadapan, ASP Haisroniezam berharap beliau dapat kembali semula menjadi seorang pelatih untuk membimbing pegawai-pegawai muda.

Sebelum ini, beliau pernah dua kali menjadi pelatih di pusat latihan SPF selama empat tahun secara keseluruhannya.

Ia diibaratkan beliau sebagai sumbangannya untuk memberi semula kepada mereka yang lebih muda.

"Saya rasa sudah tiba masanya saya kongsi pengalaman-pengalaman saya kepada pegawai-pegawai yang lebih muda dan bercerita pada mereka yang menjadi seorang pegawai polis ini bukan hanya satu kerja tetapi adalah satu tugasan dan amanah yang kita harus lakukan," tambah beliau.

ASP Haisroniezam merupakan antara lebih 2,000 pegawai polis yang menghadiri upacara Perbarisan Hari Polis hari ini (3 Jun) yang diadakan secara fizikal buat pertama kalinya sejak dua tahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan