Hari pertama rentas sempadan M'sia-S'pura berjalan lancar, sebahagian pekerja rasa berbelah bagi
Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) berjalan lancar pada hari pertama pelaksanaannya pada Isnin (17 Ogos).
SINGAPURA: Pembukaan sempadan Malaysia-Singapura di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) berjalan lancar pada hari pertama pelaksanaannya pada Isnin (17 Ogos).
Ini merupakan kali pertama dalam tempoh lima bulan, rakyat kedua-dua negara boleh memasuki sempadan satu sama lain.
Tinjauan BERITAmediacorp ke Koswe awal hari ini mendapati ramai pekerja warga Malaysia bercampur-campur perasaan mereka untuk menyeberangi sempadan - namun ia perlu dilakukan.
SIAP DUDUK LEBIH LAMA DI S'PURA
Keadaan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar Johor Bahru pagi tadi menyaksikan ramai membawa bagasi-bagasi besar, ada yang kelihatan seperti dalam perjalanan untuk pergi bercuti.
Namun, mereka sebenarnya rakyat Malaysia yang dibenarkan menyeberangi Koswe untuk sambung bekerja di Singapura.
Hakikatnya mereka masing-masing membawa bekalan dan salinan pakaian tambahan sebagai persiapan untuk tinggal di Singapura bagi tempoh lebih lama - sekurang-kurangnya tiga bulan.
BERITAmediacorp difahamkan ramai yang ke kompleks CIQ sebelum 7.00 pagi kerana bimbang perlu beratur lama.
Bagaimanapun keadaannya tidak sesak sama sekali.
TIADA PENGANGKUTAN AWAM
Mereka bagaimanapun terpaksa berjalan kaki sekitar 1 kilometer ke Singapura kerana tiada pengangkutan awam beroperasi.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menyatakan para pegawainya dikerah demi membantu mereka ke destinasi seterusnya memandangkan mereka yang tiba dari Malaysia tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam sebagai langkah pencegahan COVID-19.
Mereka sebaliknya hanya dibenarkan menaiki kenderaan privet, teksi ataupun bas yang disediakan majikan mereka.
Para pekerja Malaysia juga perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari dan menetap di sini sekurang-kurangnya 90 hari.
Beberapa warga Malaysia yang sebelum ini menetap ke Singapura meluahkan rasa tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman.
"Saya sudah tujuh bulan tidak pulang ke Malaysia. Jadi saya sangat rindukan mereka dan tidak sabar untuk bersama mereka," kata Encik Mohd Safii Mohd.
Bagi warga Malaysia yang melangkah ke Singapura untuk sambung bertugas pula, ada yang merasa berbelah bagi kerana terpaksa berpisah dari keluarga untuk tempoh yang belum dapat ditentukan.
Salah seorang daripada mereka ialah Encik Mohd Shafiq Masruhin, seorang teknisyen.
Beliau berkongsi bahawa beliau sedang bercuti apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Saya tidak sempat memasuki semula Singapura sebelum PKP dilaksanakan kerana keadaan sangat sesak di Tambak Johor," kata beliau.
Meskipun gembira dapat kembali bekerja, Encik Ang Kok Lin berasa sebak kerana terpaksa meninggalkan anak dan isteriya untuk tempoh yang agak lama.
"Perasaan saya bercampur baur kerana anak saya masih kecil lagi tetapi saya terpaksa kerana mencari rezeki di sini," kata beliau.
Seorang lagi yang terpaksa meninggalkan anaknya yang berusia setahun ialah Cik Nurul Hidayah, seorang operator pengeluaran.
"Syarikat saya sudah uruskan untuk kami berada di sini untuk selama 6 bulan. Rasa berat hati tetapi kerana kerja, saya gagahkan diri juga," kongsi beliau.
Setiap hari, hanya 2,000 orang sahaja dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan melalui Koswe dan Link Kedua di bawah skim PCA.
Di bawah skim RGL pula, 400 orang dari Malaysia dan Singapura dibenar menggunakan kemudahan itu setiap minggu.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.