Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari pertama perlaksanaan vaksin Bivalen lebih sibuk tapi teratur

Keadaan di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) lebih sibuk pada hari pertama suntikan vaksin bivalen Moderna/Spikevax ditawarkan hari ini (14 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keadaan di Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) lebih sibuk pada hari pertama suntikan vaksin bivalen Moderna/Spikevax ditawarkan hari ini (14 Okt).

Bagaimanapun masa menunggu lebih pendek dengan lebih banyak kaunter dibuka.

Di JTVC Woodlands misalnya, seramai 344 orang sudah mendapatkan suntikan vaksin bivalen.

Antaranya ialah Cik Salma Ismail, 60 tahun yang segera mendapatkan dos penggalaknya yang kedua kerana prihatin akan kes-kes COVID-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Suri rumah sepenuh masa itu tergerak untuk mendapatkan dos keduanya itu sendiri kerana mahu melindungi orang-orang tersayang.



"Saya menjaga ibu saya yang sudah hendak masuk 97 tahun. Jadi saya tak nak kalau saya jangkit virus ini, saya tak nak ia terjangkit kepada ibu saya. Saya hendak beri perlindungan kepada ibu saya," kata Cik Salma, ibu tiga orang anak dan nenek kepada tiga orang cucu.

"Memandangkan sekarang ada (varian) virus yang baru, jadi saya tak nak terjangkit virus itu," tambahnya.



Pendapat serupa turut dikongsi Encik Rasib Koong Heram, 60 tahun, seorang pesara.

Bapa tiga orang anak itu didorong anaknya untuk dapatkan vaksin tersebut.

"Sejak kebelakangan ini wabaknya bertambah marak. Jadi sebagai perlindungan untuk diri. Ini yang vaksin yang 'tercanggih' insya-Allah. Jadi kita cuba," kata Encik Rasib.

VAKSIN JENIS LAIN MASIH LAGI DITAWARKAN DI JTVC

Vaksin bivalen Moderna/Spikevax diberikan di sembilan JTVC setakat ini.

Pendaftaran atau tempahan slot terlebih dahulu tidak diperlukan.

Prosesnya juga tidak berbeza daripada proses mendapatkan vaksin sebelum ini.

Di setiap JTVC, seseorang juga boleh memilih antara dua jenis vaksin yang ingin diambil.



Bagi Cik Hairani Berah, 55 tahun, beliau yang pada awalnya memilih vaksin Pfizer/Comirnaty, bertukar kepada vaksin bivalen selepas mendapatkan lebih banyak maklumat tentang vaksin jenis itu daripada pegawai di sana.

"Kesan untuk Pfizer dengan Moderna sama. Cuma hari ini yang baru ini untuk perlindungan lebih baik insya-Allah. Majoriti orang pilih Moderna. Jadi bila saya dekat tempat kaunter jururawat, bila saya tanya, dia cakap ada kebaikannya. Okey, saya cuba," jelas Cik Hairani.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), selain varian Omicron, vaksin bivalen Moderna/Spikevax dapat memberikan perlindungan yang lebih baik terhadap varian-varian baru COVID-19.

Perlaksanaannya sepatutnya bermula Isnin depan, namun dipercepatkan kerana segalanya sudah siap dari segi operasi.

Ini di tengah-tengah penularan subvarian XBB Omicron dengan jumlah kes yang meningkat.

Mereka yang berusia 50 tahun ke atas atau yang belum mendapat perlindungan maksimum, boleh mendapatkan vaksin tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan