Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari pertama pelaksanaan vaksin bagi kanak-kanak 6 bulan hingga 4 tahun berjalan lancar

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Keadaan hari pertama pelaksanaan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak berusia antara enam bulan dengan empat tahun berjalan lancar dan teratur hari ini (25 Okt).

Di sebelah pagi, waktu menunggu di Pusat Vaksinasi di Hab Tampines Kita misalnya, tidak lebih daripada lima minit.

Rata-rata golongan ibu bapa yang ditemui BERITAmediacorp meluahkan rasa lega kerana setelah anak mereka divaksin.

Antaranya ialah Cik Fatimah Ameer Hamsa, 41 tahun yang datang bersama bayi perempuannya yang berusia 13 bulan untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menurutnya, cahaya matanya pernah dijangkiti COVID-19 ketika berusia lima bulan.

Mujur, katanya dia tidak sakit teruk dan cepat pulih.

Namun Cik Fatimah berkata bahawa beliau kini berasa lebih bimbang mengenai keselamatan anaknya dek peningkatan jumlah kes COVID-19 di Singapura.

"Saya berpendapat ia (vaksinasi) penting memandangkan pelbagai virus yang ada di luar ini dan oleh kerana pemerintah menggalak untuk mengambilnya, saya berasa ia lebih baik untuk keselamatannya," kata Cik Fatimah kepada BERITAmediacorp.

Pendapat serupa turut dikongsi oleh Encik Muhammad Firdaus Mohamed Yusoff, 37 tahun.

Beliau berkata bahawa beliau memang mengharapkan anaknya yang berusia tiga tahun boleh turut menerima suntikan vaksin.

"Saya memang menunggu masanya untuk kita mendapat vaksin untuknya. Kami rasa lebih selamat dan ini yang terbaik untuknya," kata Encik Firdaus.

Bermula Selasa (25 Okt), kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun boleh menerima vaksin Moderna/Spikevax bagi dua dos pertama mereka.

Selain Tampines, mereka juga boleh mendapatkannya di salah satu daripada lima pusat vaksinasi di kawasan lain termasuk Punggol dan Queenstown.

"Saya berpendapat anak saya dapat lebih perlindungan kerana di sekolah, mereka lebih mudah jatuh sakit. Terutamanya sekarang jumlah kes COVID-19 melonjak. Jadi ia (vaksin) hanya satu langkah berjaga-jaga," kongsi Cik Jihan Abdat, seorang lagi ibu kepada anak berusia empat tahun.

KANAK-KANAK 5 -11 TAHUN BOLEH DAPAT SUNTIKAN DOS PENGGALAK

Di samping itu, kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun juga boleh menerima suntikan vaksin dos penggalak mereka mulai hari ini (25 Okt).

Bagi golongan tersebut, mereka menerima vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty bagi dos penggalak mereka.

Antara ibu bapa yang membawa anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak ialah Cik Nurul Huda Selamat, 30 tahun.

Katanya, beliau sekeluarga merancang untuk bercuti ke luar negara pada musim cuti sekolah akan datang.

Oleh itu, suntikan vaksin dos penggalak itu merupakan satu langkah pencegahan tambahan bagi mereka.

Malah menurutnya, anaknya sendiri yang meminta agar beliau menemaninya untuk mendapatkan suntikan dos penggalak tersebut.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan