Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari pertama pelaksanaan peraturan VDS di 66 masjid berjalan lancar: MUIS

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari pertama pelaksanaan Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) di 66 masjid tempatan, berjalan lancar. 

Demikian menurut MUIS sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

Pelaksanaan VDS bermakna jemaah yang tidak divaksin tidak dibenarkan menyertai solat jemaah bagi solat waktu ataupun solat Jumaat, bermula hari ini (1 Feb).

Di Masjid Alkaff Kampung Melayu misalnya, sepanjang hari ini sejak waktu solat subuh lagi, ia langsung tidak menerima sebarang kunjungan dari jemaah yang belum divaksin. 

Namun demikian, sekitar lima kakitangannya terus giat memeriksa status vaksinasi para jemaah yang masuk ke masjid ini. 

"Pertama sekali saya yakin ia adalah untuk kepentingan umum, bukan setakat jemaah masjid tapi untuk seluruh masyarakat Singapura termasuk Islam dan yang bukan Islam," kata Pengurus M Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohd Taufiq Ismail.

Menjawab pertanyaan kami, MUIS menyatakan bahawa persiapan untuk melaksanakan VDS dibuat sejak bulan Disember lagi dalam usaha mengekang penularan varian COVID-19 dan hari ini (1 Feb), ia bermula dengan baik.

"Alhamdulillah, pelaksanaan (VDS) di 66 masjid yang menawarkan solat berjemaah adalah licin sejauh ini, dengan majoriti besar jemaah sudahpun lengkap divaksin.

"Pejabat Mufti juga sudah mengeluarkan panduan dan keyakinan kepada jemaah yang tidak sihat dari segi perubatan untuk memenuhi syarat-syariat VDS," menurut MUIS.

INDIVIDU TIDAK DIVAKSIN MASIH BOLEH SOLAT DI MASJID, TETAPI...

Sebelum ini, ada enam buah masjid yang menawarkan satu zon 50 orang untuk solat berjemaah tanpa mengira status vaksinasi.

Kini dengan VDS berkuat kuasa, keenam-enam zon itu ditukar kepada status VDS.

Ini sekali gus bermakna bahawa individu yang sudah lengkap divaksin mempunyai lebih banyak ruang untuk menunaikan solat Jumaat. 

Secara keseluruhannya, masjid-masjid kini menawarkan hampir 65,200 slot solat Jumaat setiap minggu bermula 4 Feb ini. 

Bagaimanaun golongan individu yang belum divaksin atas pilihan mereka sendiri masih sebenarnya boleh bersolat di masjid, tetapi hanya selepas sesi-sesi solat berjemaah selesai. 

"Sekiranya mereka datang, kami minta jemaah ini untuk tunggu sebentar sehingga solat berjemaah itu selesai," kata Ustaz Taufiq. 

"Kemudian, kita akan membawa mereka ke tempat khusus yang tidak digunakan dan terasing, dan di situ, mereka akan dapat solat bersendirian," tambah beliau lagi.

RUANG KECIL YANG SAMA UNTUK MUSLIMIN/MUSLIMAH TIDAK DIVAKSIN

Di Masjid Alkaff Kampung Melayu, hanya lima orang sahaja dibenarkan solat di ruang jemaah tidak divaksin itu pada satu-satu masa di ruang khas yang disediakan. 

Ruang yang sama ini juga akan digunakan untuk jemaah muslimah yang belum divaksin. Jadi golongan tidak divaksin ini perlu bergilir-gilir menggunakannya.


"Bila jemaah ini datang lebih dari lima, yang keenam itu perlu tunggu. Tempat itu juga secara umum digunakan oleh muslimin dan muslimat," kongsi Ustaz Taufiq. 

"Jadi jika ada jemaah muslimah yang datang dan jemaah muslimin sedang solat, jemaah muslimin itu perlu selesai solatnya dahulu sebelum muslimah itu dapat menggunakan tempat tersebut."

Selain itu, satu tempat wudhu juga disediakan buat golongan yang belum divaksin.

BAGAIMANA JIKA JEMAAH BELUM DIVAKSIN DATANG MAHU IKUT JEMAAH?

Bagi Jumaat (4 Feb) ini pula, yang merupakan sesi solat Jumaat pertama VDS dilaksanakan, pihak masjid sudah bersedia seandainya ada yang mahu melanggar peraturan.

"Mungkin sesekali itu akan ada satu, dua yang kurang faham atau mungkin ada yang mencuba nasib mereka tetapi secara jujurnya, kita akan nasihatkan mereka dengan baik," ujar Ustaz Taufiq.

"Saya yakin ia adalah untuk kepentingan umum, bukan setakat jemaah masjid tetapi juga untuk seluruh masyarakat Singapura termasuk Islam dan yang bukan Islam," tambah beliau.

Beliau juga berharap agar para jemaah dapat memenuhi peraturan yang ditetapkan ini, serta mendapatkan vaksinasi dengan segera untuk mempermudahkan ibadah mereka. 

SOKONG PENGENALAN VDS DI MASJID 

Jemaah masjid yang BERITAmediacorp temui di Masjid Alkaff Kampung Melayu juga nampaknya menyokong pengenalan VDS di masjid, mentelah lagi ini sedang varian Omicron kini semakin menular.

"Semua orang yang datang masjid, kalau boleh kita ingin jauhkan diri daripada bermacam-macam penyakit," kongsi Encik Mohd Akbar Hashim.

"Kalau kita sudah terkena, susah pula kerana ini bermakna kita tidak boleh datang ke masjid pada lain waktu," tambah jemaah yang berusia 60 tahun itu. 

Bagi Encik Akbar, jika seseorang itu divaksin, lebih senang untuk mereka ke masjid untuk menunaikan solat pada bila-bila masa sahaja. 

Ada pengecualian kepada peraturan VDS itu, iaitu individu yang tidak divaksin atas sebab perubatan, mereka yang sudah pulih daripada COVID-19 serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. 

MUIS hari ini menambah bahawa ia akan terus memantau keadaan COVID-19 yang sentiasa berubah-ubah dan kekal komited untuk memastikan bahawa masyarakat dapat menyambung semula kegiatan-kegiatan lain di masjid-masjid dengan cara berhati-hati.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan