Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari pertama kemasukan Darjah 1 Madrasah Irsyad berjalan lancar bagi 200 murid

Kemasukan lebih 200 pelajar Darjah 1 Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah berjalan lancar pada hari pertama penggal persekolahan baru 2022 pagi tadi (4 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemasukan lebih 200 pelajar Darjah 1 Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah berjalan lancar pada hari pertama penggal persekolahan baru 2022 pagi tadi (4 Jan).

Tidak seperti tahun lalu, para ibu bapa kali ini dibenarkan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka bagaimanapun hanya boleh memasuki hingga ke bahagian tempat letak kereta, sebelum anak masing-masing disambut oleh kakitangan madrasah untuk dibawa ke pekarangan sekolah.

Ini juga tahun pertama Madrasah Irsyad mula dipimpin seorang pengetua baru iaitu Ustazah Warintek Ismail. Mudirah berusia 45 tahun itu mula menyandang jawatan tersebut sejak Sabtu lalu (1 Jan) bagi menggantikan Encik Noor Isham Sanif yang sudah memimpin Madrasah Irsyad selama sedekad.

LEBIH BANYAK PELUANG PELAJAR BERINTERAKSI AKAN DIWUJUDKAN

Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke madrasah tersebut untuk meninjau proses kemasukan murid-murid Darjah 1 itu, para ibu bapa yang BERITAmediacorp temui rata-rata berpandangan optimis meskipun sekolah dibuka di tengah-tengah penularan varian Omicron COVID-19 sekarang ini.

Mereka berharap persekolahan anak mereka dapat diteruskan seperti sediakala, agar kanak-kanak tersebut tidak hilang pengalaman berharga persekolahan - bermakna menyambung semula lebih banyak aspek kehidupan sekolah dengan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Ustazah Warintek memberitahu BERITAmediacorp, pihaknya sedar peri pentingnya memberi lebih banyak peluang kepada para pelajarnya untuk berinteraksi antara satu sama lain.

--

Lantaran itu menurut beliau, Madrasah Irsyad akan secara bertahap-tahap merancang aktiviti-aktiviti yang memberi peluang kepada para pelajarnya berbuat demikian. Mentelah lagi murid Darjah 1 hingga 3 akan juga mula menjalani vaksinasi COVID-19 bermula 5 Januari ini.

Buat masa ini, setiap minggu setiap kelas diperuntukkan satu sesi untuk makan di kantin semasa waktu rehat.

Setiap pelajar bagaimanapun akan diberikan tempat duduk tertentu di kantin - berdasarkan nombor indeks masing-masing. Sekiranya keadaan bertambah baik, lebih banyak sesi akan diadakan pada penggal kedua kelak.

UPACARA NAIKKAN BENDERA MUNGKIN DIADAKAN

Menurut Ustazah Marintek lagi, pihaknya juga merancang untuk mengadakan upacara menaikkan bendera mulai 21 Mac nanti. Ini supaya para pelajar terutamanya pelajar-pelajar Darjah 1 dapat mengalaminya.

--

Ustazah Warintek berkata: "Kami ingin mengadakan perhimpunan pada waktu pagi di mana sebahagian pelajar berada di dalam kelas dan sebahagian pelajar berada di halaman sekolah supaya terutama pelajar-pelajar Darjah 1, mereka dapat merasakan bagaimana perhimpunan di madrasah sebenarnya. Dan juga dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memberi ucapan di hadapan sebagai satu latihan untuk pidato umum."

Namun begitu, beliau tidak menafikan akan perlu menggantung mahupun menghentikan aktiviti atau acara berkumpulan sekiranya keadaan pandemik COVID-19 bertambah teruk.

Bagi memastikan keselamatan kesemua pelajar dan kakitangan Madrasah Irsyad, para pelajar dikehendaki membersihkan tempat duduk masing-masing pada akhir sesi pembelajaran mereka.

Ini diamalkan meskipun para pekerja pembersihan juga akan membersihkan bilik darjah setiap hari dengan menggunakan cecair pembasmi kuman.

PERKEMBANGAN SOSIAL ANAK KEPRIHATINAN UTAMA IBU BAPA

Antara yang akan masuk Darjah 1 ialah adik Niehaadh Masudin. Menurut ibunya, Cik Norjanah Ramli, meskipun risau akan penularan varian Omicron, beliau tidak begitu bimbang kerana anaknya sudah faham dengan pemakaian pelitup dan peri pentingnya menjaga kebersihan.

--

Sebaliknya, beliau lebih memikirkan mengenai perkembangan sosial anaknya.

"Harapan saya adalah supaya Nieehad dapat bertemu dengan ramai kawan, guru-guru sebab selama dua tahun COVID, saya rasa peluang berinteraksi agak kurang. Jadi saya berharap apabila masuk Darjah 1, dia akan dapat lebih berkawan, dapat belajar kemahiran sosial dan berinteraksi dengan kawan-kawan," kongsi Cik Norjanah kepada BERITAmediacorp.

"Saya berharap MOE dan pihak madrasah boleh menjalankan sekolah seperti sediakala. Saya berpendapat bahawa ia amat penting bagi para pelajar mengalami pengalaman persekolahan yang normal. Ini seperti, menghadiri perhimpunan pada waktu pagi dan mengambil bahagian dalam Kegiatan Luar Darjah (CCA)," ujar seorang lagi ibu bernama Cik Nur Sakinah. Anak beliau juga baru memulakan Darjah 1 di Madrasah Irsyad.

--

BERITAmediacorp juga sempat menemu bual sendiri beberapa kanak-kanak apa perasaan mereka dapat mula bersekolah di Madrasah Irsyad hari ini.

Ahmad Irfan Al-Fateh, anak Cik Nur Sakinah, berkata: "Saya ghairah dan gementar kerana ia adalah hari pertama saya di sekolah."

Adik Niehaadh Masudin pula berkata dia "teruja ke sekolah kerana dapat jumpa kawan-kawan saya".

--

Seorang lagi murid, Muhammad Safwan Muhammad Baqi, ketika ditanya soalan serupa dengan penuh ghairah dan yakin menjawab dengan lantang: "Gembira!"

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan