Hari pertama agihan oksimeter percuma di farmasi, pasar raya berjalan lancar
Barisan panjang kelihatan di farmasi dan pasar raya dengan orang ramai beratur untuk mengambil alat oksimeter percuma mereka pada hari pertama agihannya dilaksanakan. Menurut rangkaian farmasi Watsons, lebih ramai orang datang ke cawangannya yang terletak di kawasan kejiranan pada Isnin (5 Jul).
SINGAPURA: Barisan panjang kelihatan di farmasi dan pasar raya dengan orang ramai beratur untuk mengambil alat oksimeter percuma mereka pada hari pertama agihannya dilaksanakan.
Menurut rangkaian farmasi Watsons, lebih ramai orang datang ke cawangannya yang terletak di kawasan kejiranan pada Isnin (5 Jul).

Antaranya adalah cawangannya di Compass One di Sengkang. Sejak dibuka pada 10 pagi, cawangan itu tidak henti-henti dikunjungi pelanggan.
Selain membeli barangan keperluan, ramai juga yang datang untuk mengambil oksimeter percuma yang diberikan oleh Yayasan Temasek.
Untuk menebusnya, orang ramai hanya perlu menunjukkan risalah yang sudah dihantar melalui pos ke semua isi rumah kepada kakitangan yang bertugas. Kakitangan tersebut kemudian akan mengambil dan menyimpan 'slip tebusan' dan memberikan alat oksimeter itu.

Bermula 5 Julai, orang ramai boleh mengambil oksimeter percuma sehingga 5 Ogos dari lebih 300 lokasi.
Maklumat lanjut mengenai lokasi dan waktu operasi boleh didapatkan di laman www.stayprepared.sg/oximeter.
Alat itu bagaimana pun tidak boleh dibeli dan hanya boleh diambil sekiranya individu tersebut membawa risalah berkenaan.
WATSONS: CUKUP STOK, LEBIH KAUNTER DI BEBERAPA CAWANGAN POPULAR
Bagi menampung jumlah pengunjung yang lebih ramai dalam tempoh sebulan itu, Watsons membuka dua kaunter untuk melancarkan lagi proses penebusan di samping menjaga keselamatan.
Menurut Watsons, ia juga sudah menyediakan lebih banyak stok di cawangan-cawangan kejiranannya.

Antara orang ramai yang ditemui BERITAmediacorp semasa kunjungan kami ke farmasi itu semasa waktu makan tengah hari, menyambut baik pemberian itu.
"Saya dan suami adalah warga emas, saya berusia 68 tahun, suami saya sudah berusia 70 tahun jadi kita boleh memantau tahap oksigen dalam badan kita. Saya seorang surimah dan mempunyai banyak masa untuk pulang untuk mempelajari apakah alat ini," kata Cik Rukiah Hj Ali.
Ada juga yang tidak mahu ketinggalan seperti Cik Sofia.
"Tempoh satu bulan diberikan jadi saya datang sini dan mengambil alat ini. Takut nanti terlupa atau terjatuh, terhilang ke apa jadi tidak ada peluang untuk ambil lagi," jelas Sofia.
Melihat sambutan baik orang ramai, Ahli Farmasi Klinik Utama, Watsons, Cik Joy Chong berkata "Yang paling penting mereka kena tahu apa kegunaannya. Jadi apabila mereka datang mengambil oksimeter, saya akan nasihatkan mereka 'Okey, ini untuk mengukur tahap oksigen dalam darah dan juga kadar denyutan nadi'. Lepas itu saya akan kongsi dengan mereka macam mana menggunakannya. Jadi sangat mudah."
BAGAIMANA OKSIMETER BOLEH KESAN COVID-19
Alat oksimeter ini diagihkan sebagai salah satu alat yang boleh membantu mengesan COVID-19. Namun, apakah kaitannya dengan COVID-19?
Untuk mendapatkan jawapan itu, BERITAmediacorp telah mendapatkan pandangan daripada Pengarah dan Doktor Perubatan Banyan Clinic @ JW, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan.
"Apabila seseorang itu terkena masalah COVID-19 ia akan menyebabkan radang paru-paru di mana penyerapan oksigen dalam badan jadi kurang. Jadi untuk dapat tahu sama ada oksigen kita cukup ataupun tidak cukup, kita perlu gunakan alat oksimeter ini. Apabila kita rasa kurang sihat macam rasa sesak nafas atau dada yang kurang selesa, kita boleh gunakannya. Tidak kira berapa kerap sehari," kata Dr Zuraimi, yang juga bekas Presiden Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA).

Bagi mendapat bacaan yang lebih tepat, penggunaan alat ini haruslah betul dan begini cara-cara penggunaannya menurut Dr Zuraimi.
Pertama, gosokkan kedua-dua tapak tangan untuk pastikan tangan tidak berasa sejuk.
Seterusnya, masukkan jari telunjuk ke dalam oksimeter. Pastikan jari dimasukkan sedalam yang boleh.
Selepas memicit butang untuk menghidupkan oksimeter, tunggu sebentar untuk membiarkan alat mengesan kadar oksigen dalam darah.
Pengguna dinasihatkan untuk tidak menggerakkan tangan dan jari-jemari semasa menggunakan oksimeter.
Selepas beberapa saat, dua bacaan akan tertera pada skrin oksimeter - tahap oksigen dan degupan jantung.

Dr Zuraimi menjelaskan bacaan itu: "Apabila tahap oksigen di antara 95 peratus hingga 100 peratus, itu dalam lingkungan yang normal. Jika angkanya di antara 90 peratus hingga 94 peratus, ia dalam lingkungan yang kurang memuaskan dan anda perlu berjumpa dengan doktor. Jika angkanya di bawah 90 peratus, itu adalah satu petanda yang tidak baik dan harus bergegas pergi ke pusat kecemasan."
PERLU TETAP JUMPA DOKTOR WALAUPUN BACAAN NORMAL SEKIRANYA RASA KURANG SIHAT
Selain tahap oksigen, oksimeter juga berupaya membaca kadar degupan jantung seseorang.
"Jika degupan jantung di antara 50 hingga 100, itu dalam lingkungan biasa tetapi kalau degupan jantungnya lebih daripada 100, ini maknanya, jantung berfungsi terlalu cepat. Mungkin disebabkan perasaan cemas, atau disebabkan baru habis senaman, ia akan naik sementara. Jadi apabila anda berehat, ia akan turun semula ke bawah 100," kata Dr Zuraimi.
"Jika angkanya sentiasa di atas paras 100 selama seminit, tanya pada doktor anda mengapa degupan jantungnya terlalu deras dan jika degupan jantungnya di bawah 50, ini maknanya terlalu perlahan. Anda juga perlu tanya pada doktor adakah ini normal atau tidak," tambah Dr Zuraimi lagi.
Namun, bagi mereka yang mengalami simptom-simptom, Dr Zuraimi berpesan supaya mereka segera berjumpa doktor walaupun bacaan oksimeter dalam lingkungan normal.
Menurutnya lagi, oksimeter lebih sesuai digunakan oleh orang dewasa dan boleh digunakan pada jari tangan mahupun kaki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.